Bab 4

507 45 2
                                    

SETIBANYA di hadapan rumah yang disewa oleh kedua orang gadis itu, Hakim spontan menekan punat kunci kereta kepada tidak dikunci. Namun sempat dia menahan Elnara dengan menyeru nama gadis itu.

Lantas, Elnara berpaling dengan kening dijungkit sedikit.

"Boleh saya... nak nombor awak?"

Spontan, tergerak sedikit kepala Elnara seraya kening berkerut tipis. Ia terlalu tiba-tiba buatnya.

"Untuk?"

Hakim menggigit bibir bawahnya seketika sebelum bersuara. "Just to make friends? Tak boleh?"

Anyra di belakang yang berura hendak terus lekas meninggalkan kedua orang itu berbicara di dalam kereta. Dia tidak mahu Elnara atau Hakim bakal berasa kurang selesa dengan adanya keberadaan dia di situ.

"Kawan? Saya tak pernah ada kawan lelaki dan tak akan pernah biarkan ada lelaki jadi kawan saya, Ezra."

Hakim agak terkedu.

"Kenapa?"

"Saya tak selesa. Bercakap dengan awak ni pun, sebenarnya saya rasa kurang selesa."

Dinding pipi ditolak Hakim dari dalam. Agak tersentap. Sudah jelas di situ peluangnya untuk cuba mengenali hati budi dan peribadi gadis yang sekelip mata berjaya menarik perhatiannya itu agak tipis.

"Okay. Faham. Kalau tak nak kawan, maksudnya nak kahwin lah kan?"

Elnara tercengang.

"Heh?" soalnya dengan wajah bingung sebelum melepaskan tawa kecil yang jelas hambar. Sekadar untuk menutup rasa debar di dada.

Aip! Jantung, kenapa kau berdebar bukan main ni?

Barangkali kerana ini merupakan kali pertama dia dilamar sebegini rupa oleh seorang lelaki. Kerana hakikatnya, selama ini mana pernah ada yang cuba mendekati. Tambahan pula dengan dirinya yang sememangnya tidak pernah sekali membuka ruang pada sesiapa.

"Kenapa ketawa? Rasa saya main-main ke?"

"Eh, jangan macam ini. Kenal tak sampai sehari, tiba-tiba awak cakap pula benda macam ini. Awak penat ni. Sebab bahang tadi, ya? Saya keluar dulu lah."

Tidak sempat Elnara membuka pintu, tiba-tiba kedengaran sekali lagi namanya diseru. Bezanya kali ini, dengan nada yang lebih serius.

"Saya serius. Tak main-main. Umur saya makin lanjut. Andailah awak tahu pekerjaan sebenar saya nanti, pasti awak tak akan pelik kenapa saya terlalu drastik dan straight to the point begini, Elnara. Sampai hidup saya dah terbiasa untuk tidak melengahkan misi yang penting."

Misi?

Adakah Hakim mahu mengatakan bahawa dia lah misi penting buat lelaki itu sekarang ini? Malah, dia juga tertanya tentang pekerjaan sebenar Hakim.

Tidak semena-menanya, saliva yang melalui celahan kerongkongnya terasa perit lagikan pahit. Reaksi dan jawapan apakah yang patut diberikan sekarang ini? Adakah terlalu awal jika dia semudahnya memberi peluang untuk Hakim?

Tapi baru saja peluang.

"Okay. Boleh."

Kenyataannya, dia hanya mahu melihat kesungguhan seorang lelaki pertama yang hendak cuba mendekatinya saja.

Melebar terus senyuman di bibir merah jambu Hakim. Mata pula usah dikata, bersinar dek gembira dan teruja dalam pada masa yang sama.







"SERIUSLAH, Ara??" Nyaring kedengaran suara Anyra memenuhi ruang tamu. Matanya terbeliak pada si rakan dek kerana tidak percaya.

Namun Elnara di sebelah sekadar mengangguk tenang sambil tersenyum tipis.

Bahagia Tanpa Ragu Where stories live. Discover now