Bab 8

776 55 0
                                    

AKHIRNYA Elnara tertidur semula dek keletihan yang mengambil alih seluruh dirinya. Aidan menghela nafas panjang, mengambil tempat duduk di kerusi di sisi katilnya. Walaupun masih ada banyak tugas yang menantinya, hatinya enggan beredar. Bukan selalu dia diberi peluang sebegini . Peluang untuk benar-benar ada di sisi Elnara.

Hingga beberapa jam berlalu, Elnara mula menunjukkan tanda-tanda sedar sekali lagi. Manakala Aidan masih berada di situ, tetap menunggunya. Saat matanya terbuka perlahan, dia disambut oleh senyuman lembut Aidan.

"Awak tak ada kerja lain ke, Dr. Aidan?" soal Elnara, nadanya lembut tapi ada sinar kehairanan di matanya.

Aidan tergelak kecil, menahan rasa segan yang sedikit muncul. "Untuk awak, El, saya boleh buat pengecualian."

Elnara menjeling sedikit, namun tidak dapat menahan senyuman yang terbit di wajahnya.

"Macam tu pula... Kenapa baik sangat ni?"

Aidan berdehem, mengalihkan pandangan sejenak. Hujung kening digaru seketika. Kebiasaannya apabila cemas atau dihurung rasa gundah. Lagikan pula melihat wajah manis itu memandangnya.

"Sebab saya ambil berat tentang awak, El. Dan... mungkin saya dah lama nak cakap benda ni, tapi tak pernah ada peluang."

Suasana di antara mereka tiba-tiba menjadi sepi, membuatkan Elnara menatap Aidan dengan sedikit terkejut. "Nak cakap apa?"

Aidan menarik nafas, mengumpulkan keberanian yang sekian lama disimpannya. Akhirnya, sepasang matanya membalas tatapan gadis itu dengan pelbagai rasa yang sukar hendak diungkapkan melalui kata-kata.

"Elnara, awak istimewa. Awak... selalu buat saya rasa nak jadi versi terbaik diri saya. Dan jujur, saya sebenarnya... ada perasaan pada awak."

Elnara terdiam, matanya memandang terus ke arah Aidan untuk cuba mencari keikhlasan dalam kata-katanya. Jantungnya berdebar, namun dia cuba untuk tidak menunjukkan rasa terkejut itu.

"Aidan..." Dia cuba mencari kata-kata, tetapi lidahnya kelu.

Aidan hanya tersenyum, seakan menerima apa jua respons yang akan keluar daripada Elnara. "Tak ap, El. Saya cuma nak awak tahu. Saya tak mengharapkan apa-apa... Cukuplah kalau awak tahu yang saya akan sentiasa ada, sebagai kawan atau lebih, kalau itu yang awak nakkan."

Disaat itu, Elnara masih keliru. Biarpun dalam hati, ada rasa hangat yang membuatkan dia merasa selesa. Walaupun dia tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini, dia tahu kehadiran Aidan di sisinya adalah sesuatu yang berharga.

"Terima kasih, Aidan..." bisiknya perlahan, pandangan mereka bertaut seketika dalam keheningan yang penuh makna.

Elnara menarik nafas perlahan, cuba menyusun perasaannya. Walaupun dia menghargai keprihatinan Aidan, ada batas yang tak mampu dia lepasi. Bukan kerana Aidan tak cukup baik, tetapi hatinya memang sukar terbuka untuk mana-mana lelaki.

"Tapi saya dah biasa urus diri sendiri. Saya tak apa-apa," sambung Elnara lagi.

Aidan mengangguk perlahan, namun jelas rasa kecewa dalam matanya. Dia cuba menyembunyikannya, tetapi Elnara cukup bijak membaca reaksi itu.

"Saya cuma... nak pastikan awak okay," katanya seraya mengendurkan nada. "Awak seorang yang sangat berdedikasi, El. Sebagai ketua jururawat, awak banyak bantu kami di sini."

Elnara tersenyum nipis, menghargai pujian itu tanpa terlalu memikirkannya. "Terima kasih, doktor. Saya memang sayang kerja ni... dan awak tahu, saya tak pernah ada niat lebih dari tu."

Aidan mengangguk lagi, menerima jawapan Elnara tanpa banyak soal. Dia menyedari hakikat bahawa hati Elnara sukar untuk dibuka, namun jauh di dalam, dia tetap berharap suatu hari nanti gadis itu mungkin akan melihatnya dengan cara yang berbeza.

Bahagia Tanpa Ragu Where stories live. Discover now