SEHELAI kardigan hitam berbelang putih dicapai dari almari lalu disarungkan ke tubuhnya. Dipadankan dengan seluar longgar putih dan selendang berwarna kelabu. Penampilan diri dikerling melalui pantulan cermin bilik sebelum beg tangan Coach putih miliknya diambil.
Saat telefon berdering, Elnara menjawab panggilan lalu melekapkan telefon di telinga seraya kaki lekas mengatur langkah ke tingkat bawah.
"Ya, aku dah siap ni."
"Kau dah sampai? Ha, kejap. Aku keluar." Laju telefon disimpan ke dalam kocek seluar lalu sepasang kasut dicapai dari almari dan disarungkan ke kaki.
Lantas Elnara mengatup dan mengunci pintu lalu terus menghampiri sebuah kereta mewah yang sudah menanti di depan pagar rumah sewanya. Disebabkan dia malas hendak memandu, maka dia mengutuskan untuk Anyra saja yang mengambilnya di rumah.
"Susah betul nak dapat access nak masuk kawasan perumahan kau ni. Security bukan main," omel Anyra sebaik rakannya itu masuk ke dalam perut kereta.
"Dah rumah sewa aku bukan sebarang rumah sewa. Nak beritahu harga nanti, kau kata aku riak pula." Selamba Elnara berkata tanpa memandang Anyra.
Bibir Anyra mencebik seraya keretanya mula dipandu untuk keluar dari kawasan perumah tersebut. Susah dapat kawan bukan sembarangan jenis dan gaya kehidupan ini. Segalanya mementingkan kemewahan dan keselesaan walaupun memerlukan wang yang agak banyak untuk dilaburkan.
"Kita nak ke meet and greet kau ke ni?" soal Anyra.
"Ya, dekat PWTC."
Anyra sekadar mengangguk. Sudah sedia maklum mengenai Elnara yang memegang nama pena Hasyagrizelle itu di dalam dunia penulisan disebabkan tidak mahu kenalannya terutamanya ahli keluarganya mengetahui tentang pekerjaan sampingannya dan juga hobinya itu.
"Kau tahu, hari itu rupanya kakak ipar aku jadi editor novel kau yang baru keluar ni."
"Tahu. Aku tak sangka pula."
"Dia kata, dia minat sangat karya kau. Teringin nak jumpa gerangan Hasyagrizelle tu sebab kononnya misteri sangat. Padahal, aku tengok kau ni biasa aje. Tak adalah misteri sangat. Bising juga dekat social media tu." Selamba saja Anyra mengutuk kawannya sendiri depan-depan.
Namun Elnara menjeling saja rakan baiknya itu. Tidak terasa sedikitpun dengan bicara wanita itu kerana dia tahu Anyra cuma bergurau.
"Aku tak pernah claim pun aku terpaling misteri. Kau aje memandai!"
"Whatever. Kau tak nak beritahu dia ke yang kau sebenarnya pemilik karya yang dia baca tu?"
"Malu lah. Ini pun, aku kena pakai mask tau. Aku takut dianggap sombong dengan pembaca. Sedangkan aku malu aje."
"Malu tak kena tempat."
Elnara abaikan saja kata oleh Anyra. Sama ada kutukan atau gurauan, dia tidak kisah. Biarlah dia sebegini selama mana yang dia mahukan.
SENASKHAH buku dihulurkan oleh satu tangan kekar yang berkulit sawo matang. Elnara sudah dapat menebak bahwa pemilik tangan berurat tersebut ialah seorang pembaca lelaki. Dia terus menurunkan tanda tangan ke halaman kosong di dalam buku tersebut tanpa memandang terlebih dahulu gerangan yang menghulurkan buku.
Saat hendak bertanyakan nama jejaka yang berdiri di hadapannya itu, barulah dia mendongak lalu melihat seorang lelaki berbaju kemeja hitam lengan panjang yang disinsing ke lengan. Di atas pangkal hidungnya, terletak elok cermin mata petak.
Segak dan kemas.
Bibir Elnara disebalik pelitup muka, mencebik. 'Not bad.'
"Nama?" soalnya.
YOU ARE READING
Bahagia Tanpa Ragu
Romantizm[ON GOING] 7th story | Spin off Puspita Milik Ishaq | Elnara ialah seorang wanita yang penuh dedikasi terhadap kerjayanya, namun di sebalik kejayaan itu, hatinya kerap dirundung ragu. Menjadi salah satu asbab dia memilih untuk sendirian. Namun hadi...