5.3.1 Tinggal Dengan Nicky

196 15 1
                                    

Ahad 19/12/1999

Seperti yang dijanjikan, Cathy sampai ke rumahku pada pukul 5.00 petang. Ketibaannya disambut mesra oleh Umi dan adik-adikku. Aku yang berada di dalam bilik bergegas turun tetapi kegembiraanku terpaksa aku sorokkan buat masa ini. Umi sudah menyiapkan bubur caca, satu juadah yang pertama kali dirasanya di rumahku dan terus menjadi kegemarannya selain dari laksa. Mungkinkah Umi merasakan kehilangan seri dalam rumah ini sejak Cathy tidak lagi bersama-sama kami selepas tamat Peperiksaan itu, aku harap begitulah. Aku sendiri sudah terasa amat sunyi tanpanya. Kami semua menunggu kepulangan Walid untuk makan bersama.

"Wan, tunggu apa lagi. Baca la doa. Kak Cathy dah lapar ni." Buat kali pertamanya Cathy menyuruh Zakuan membaca doa makan. Dia sudah faham benar dengan resam keluarga kami yang membaca doa dahulu sebelum menjamah juadah.

Zakuan teragak-agak kerana selalunya Walid dan aku sahaja yang membaca doa.

"Ha, Wan. Kan Kak Cathy suruh tu, baca la. Pendek pun takpa." Walid pula menambah.

Mendengar Walid berkata begitu, Wan terus membaca doa dengan lancar sekali. Setelah dia habis dan kami semua mengaminkannya, Cathy menepuk-nepuk belakang Zakuan.

"Lain kali boleh ajar Kak Cathy baca doa tak?"

"Orang perempuan mana boleh baca doa."

"Pasal apa tak boleh pula. Kalau semua perempuan, siapa yang nak baca doa?" Umi menyampuk. Wan hanya mengangguk.

"Kak Long nak pergi kerja sama kat Penang ka?"

"Tak. Nak hantar Abang Long ni saja. Lepas tu balik la."

"Pasal apa Cathy tak kerja kat Penang?" Walid pula bertanya.

"Cathy kena tolong Papa di kilang sini. Sebab tu Papa minta tolong Zek ni bantu Nicky di Penang. Lagi pun laki-laki dengan laki-laki senang. Kalau dengan Cathy ni, dia suka bergaduh."

"Biasa la Cathy, abang dengan adik. Selalu mengusik." Umi pula mencelah.

"Betul ka Papa Kak Cathy nak bagi gaji seribu dekat Abang Long?" Zahariah pula bertanya.

"Ak ah. Tak banyak sangat ka tu?" Umi menyambung.

"Papa cakap pun macam tu la, itu pun tak sampai setengah gaji orang yang dia ganti tu. Sebenarnya Zek ni ganti sementara untuk Nicky punya Assistant Manager. Kawan tu cabut macam tu saja sebab dapat offer yang lebih baik. Kelam kabut Nicky."

"Abang Long jadi Assistant Manager? Wow."

"Kerja sementara saja Wan oi." Aku membetulkan tanggapannya. "Keluar result nanti pencen la."

"Kira ok la tu. Abang Long dapat bilik aircon tak?"

"Mesti la! Mana boleh duduk sekali dengan kerani."

"Dapat gaji nanti jangan lupa belanja KFC tau."

Aku hanya tersenyum sahaja. Aku tidak tahu sama ada Cathy sedar atau tidak, tetapi Umi sudah menambah dua kali bubur caca itu ke dalam mangkuk Cathy. Selepas makan Walid masuk ke biliknya, mungkin untuk mandi dan bersolat. Kami yang lain mengambil angin di halaman rumah. Umi memasang paip air dan menyiram pokok-pokok bunganya, manakala kedua-dua adikku bermain badminton. Cathy datang duduk di sebelahku di buaian besi.

"You dah bersiap ka?"

"Apa yang nak disiapkan sangat. Boleh balik tiap minggu. Bukannya jauh sangat."

"Duit belanja hari-hari ada ka?"

"Ada. Duit simpanan I pun ada sikit."

"Papa ada kirim duit sikit untuk you. Nanti I bagi."

"Ish, buat apa?"

"Dia kata advance. Dah dapat gaji nanti, boleh bayar balik." Aku hanya mengangguk. Elok juga, aku pun takut juga kalau-kalau wang aku ada tidak mencukupi. Maklumlah setiap kali nak makan kena bayar dan aku pula tidak biasa dengan tempat itu.

"Abang Long, Kak Long. Mari kita main double." Zakuan memanggil kami berdua. Walaupun aku lebih suka kami bersembang begini, aku tidak mahu Zakuan menyindir kami pula jika aku tidak melayan permintaannya ini. Cathy juga bangun untuk bermain.

"Ala Kak Long pakai kain, mana boleh main. Tukar pakai seluar la."

"Pakai kain pun Wan tak boleh menang punya."

Riuh rendah suara Zakuan sewaktu bermain. Dan seperti kebiasaannya, aku dan Cathy sentiasa membuat high-5 ataupun sekadar menyentuh tangan apabila kami beroleh mata. Suatu yang Zakuan dan Zahariah pula tiru. Walid dan Umi yang sudah duduk di buaian memerhati sahaja kami berempat bermain. Mereka juga menumpang gembira. Malam itu Umi memasak dalca dan ayam masak merah untuk menjamu aku dan Cathy. Dia tahu pastinya aku tidak akan mendapat makanan yang sedap-sedap atau menyelerakan jika setiap hari bertandang ke kantin atau gerai.

Cathy & ZackWhere stories live. Discover now