Di persidangan sedang berlangsung, Nash melarikan dirinya seketika dari kesibukan. Kebetulan, Ajib sahabat karibnya, berada di Pulau Pinang, mengunjungi rumah mertuanya. Kesempatan ini digunakan mereka untuk bertemu, berbual, dan berkongsi isi hati.
"Dia tak sama seperti perempuan lain," Nash mengeluh berat, menahan sebak yang cuba dirahsiakan.
"Habis tu, kau nak macam mana lagi? Haish, aku tak faham la dengan kau ni. Kau teruskan la gila macam ni. Aku malas nak layan lagi. Esok pagi aku balik KL. Kau nak stay sini sampai mereput, suka hati kau," bentak Ajib sebelum berlalu, meninggalkan Nash sendirian dengan beban emosinya.
Nash diam membatu. Dalam hatinya, hanya ada rindu yang menggunung kepada Adra, wanita yang kini hanya wujud dalam bayang-bayang ingatannya. Pedihnya mencintai seseorang yang tidak lagi mengenali dirinya-rasa itu lebih perit daripada kehilangan.
Di tepi pantai, Nash termenung di kerusi rehat. Matanya tertumpu pada pasangan yang bermain pasir tidak jauh tempat dia berada. Gelak tawa mereka mencipta visual dalam dunia khayalan Nash di mana dia dan Adra kembali bersama, ruang dimensi khayalan di mana penuh dengan raut kebahagiaan dan kerinduan yang telah berakhir.
Namun, apabila realiti kembali mengetuk pintu hati....Dia tunduk merenung permukaan pasir pantai lalu sebutir air mata gugur tanpa sedar. Sampai bila dia harus begini? Hidup dalam bayangan cinta yang sudah tidak mungkin kembali.
"Dia isteri orang, kau suami orang. Berpijaklah di bumi nyata, Nash," suara Ajib yang berulang-ulang terngiang di telinga, cuba membawanya kembali kepada realiti yang perit dan pedih.
Masih segar dalam ingatan Nash, saat pertama kali dia mengenali Adra. Tidak pernah dia peduli tentang inbox mesej di media sosial, apatah lagi membalasnya. Namun, entah kenapa hari itu, hatinya digerakkan untuk membuka mesej baru yang dihantar oleh Adra.
Ketika pertama kali membaca mesej itu, jantungnya berdegup kencang, adrenalin perasaannya seolah-olah memahami bahawa wanita ini akan membawa satu perubahan besar dalam hidupnya. Nash membalas mesej Adra dengan penuh berhati-hati, memilih kata-kata yang terbaik. Mujur, Adra tidak berkecil hati dengan kelewatannya membalas mesej.
Malam itu, perbualan mereka berlangsung berjam-jam lamanya, sehingga Adra mengucapkan selamat malam dan meminta diri untuk tidur. Namun bagi Nash, malam itu adalah permulaan kepada sebuah perasaan rindu dan gelisah yang tidak berpenghujung.
Esoknya, seawal pagi, mesej dari Adra tiba, menyapa dengan mesra:
Morning u. Bangun-bangun terus terjah phone ke apa eh?
Balasan Nash tiba hanya beberapa saat kemudian, menyebabkan Adra ketawa kecil, mengusik Nash tentang kegelojohannya. Sejak itu, perbualan mereka berkembang menjadi rutin harian, dan cinta pun mekar tanpa sedar.
Namun kini, cinta itu hanya tinggal kenangan.
***
Keesokan harinya, di penghujung persidangan, Nash berbincang dengan Firdaus, tentang perjalanan pulang mereka. Namun, Nash teringatkan sesuatu-pertemuannya dengan Ustaz Hambali di R&R beberapa hari lalu.
"Aku rasa nak cari dia. Tapi aku lupa nak ambil nombor telefon dia," Nash mengeluh, kecewa dengan kelalaiannya sendiri.
Firdaus hanya mengangguk, memahami kebimbangan pegawainya. "Mungkin ustaz tu akan hubungi encik nanti. Kalau ada rezeki, pasti bertemu lagi."
Namun, dalam hati Nash, ada firasat yang kuat Ustaz Hambali pasti mengetahui sesuatu.
***
Dalam perjalanan pulang, Nash tiba-tiba menerima panggilan daripada anak sulungnya, Adam.
ANDA SEDANG MEMBACA
Pawana Cinta
RomanceJika harus memilih, antara nafas dan cinta. Maka aku memilih nafas terakhir untuk mengatakan, "Aku cinta padamu." - Nash Kau begitu sempurna, dimataku kau begitu indah. Kau membuat diriku akan selalu memujamu.- Adra Kisah cinta terlarang antara Nash...
