Selepas Adra sihat dan keluar dari hospital, Daniel telah memberitahu Adra dia sedang mengandung. Betapa gembiranya Adra mendengar khabar itu. Dalam ingatan Adra mereka masih belum pernah mempunyai anak walaupun realiti adalah sebaliknya. Adra sangat bersyukur dengan apa yang diimpikan setelah bertahun lamanya berumahtangga akhirnya kini dia berpeluang menjadi seorang ibu.
Sudah hampir 2 bulan dia dan Daniel tinggal di perumahan berhampiran dengan tempat kerja barunya. Semuanya diuruskan kakak Daniel memandangkan Adra sedang mengandung. Daniel tidak lagi berkhidmat sebagai seorang despatch. Dia melakukan kerja rider penghantaran barang secara freelance mengikut mood rajinnya. Kalau rajin, dia aktifkan apps. Kalau tidak dia hanya bermain telefon di rumah atau minum ketum bersama kawan-kawan barunya.
Hendak diharapkan suaminya menolong? Hanya di dalam mimpi. Dia tidak begitu peduli dengan keadaan Adra. Sekali sekala sahaja dia membantu kerana perlukan duit belanja dari Adra untuk membeli stok air ketum. Berbeza sungguh sewaktu Adra terlantar di hospital dahulu. Setiap masa Daniel menemani dan mengambil berat.
Kini tidak lagi.
Adra tidak faham dengan perangai suaminya. Mengapa dia masih bertahan hidup bersama Daniel juga dia tidak mengerti. Jiwa Adra merintih namun akhirnya mahu atau tidak dia tetap tunduk pada Daniel bagaikan kerbau dicucuk hidung.
Adra mengimpikan Daniel akan berubah ke arah yang lebih baik dalam menjalankan tanggungjawab seorang suami dan ayah selepas dia bersalin nanti.
Dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih dari kesan endemik covid-19 semua beban perbelanjaan lebih banyak bergantung pada Adra. Adra tidaklah berkira kerana niatnya hendak membantu suami namun kadangkala mengeluh juga di dalam hati.
Mujur syarikat Adra bekerja sangat mengutamakan kebajikan. Faedah perubatan semuanya ditanggung oleh insurans syarikat untuk satu keluarga. Adra bersyukur dengan kemudahan yang diperolehi. Dia sangat berterima kasih kepada kakak iparnya atas jasanya bersusah payah memberikan peluang pekerjaan untuk Adra. Kakak iparnya faham kesusahan yang dialami serta sudah muak dengan perangai adik kandungnya sendiri. Dia kasihankan Adra. Sebab itu dia tidak berkira dengan Adra. Lebih-lebih lagi Adra telah disahkan mengandung.
Selama 3 bulan Adra tidak bekerja kerana berehat panjang setelah kemalangan. Sehingga ke hari ini kes kemalangan Adra tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis akibat kekurangan bukti. Walaupun ada saksi video kemalangan, tetapi si pelaku tidak dapat dikesan kerana menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.
Adra redha dengan apa yang berlaku. Setidaknya dia masih meneruskan hidup bersama suami dan anak yang bakal lahir nanti. Tidak sabar rasa hati untuk menimang cahaya mata.
Hari ini Adra tidak bekerja. Waktu yang terluang dipenuhi dengan aktiviti mengemas rumah. Walau sedang sarat mengandung Adra masih aktif melakukan kerja rumah dan tidak betah duduk diam. Mungkin juga kerana pembawakan anak dalam kandungan menyebabkan dia menjadi begitu rajin mengemas rumah. Alahan sewaktu mengandung Adra tidak begitu teruk seperti sesetengah ibu mengandung lain.
Adra mengemas almari di dalam bilik yang kelihatan berhabuk. Dia memanjat kerusi untuk mengemas bahagian atas almari. Sebelum ini dia tidak pernah mengemas di situ. Hari ini Adra ada temujanji di klinik dan seperti biasa, dia akan memandu sendiri kerana Daniel dari awal pagi sudah keluar melakukan kerja penghantaran. Jadi dia perlu menyelesaikan kerja mengemas rumah dengan segera.
Ketika dia menyapu habuk di sudut hujung atas bucu almari tiba-tiba penyapunya terkena pada satu objek lalu terjatuhnya sebuah beg lusuh ke bawah. Adra memandang hairan. Dia tidak pernah melihat beg itu sebelum ini selama dia mengemas rumah. Mungkin kerana ia disimpan di tempat yang tersorok dan tidak pernah dikemas oleh Adra.
ANDA SEDANG MEMBACA
Pawana Cinta
RomansaJika harus memilih, antara nafas dan cinta. Maka aku memilih nafas terakhir untuk mengatakan, "Aku cinta padamu." - Nash Kau begitu sempurna, dimataku kau begitu indah. Kau membuat diriku akan selalu memujamu.- Adra Kisah cinta terlarang antara Nash...
