MASYAALLAH! Timbul rasa kagum. Kejujuran aku semalam tidak memberi impak langsung. Lihatlah, Raid elok berborak seperti biasa. Tak ada pun sesi perbalahan. Tiada juga sesi bermasam muka. Malah dia boleh tersenyum sampai lenyap mata galaknya.
Sajalah tu nak kikis dendam aku dengan sifat budiman dia. Kononnya nak gantikan sifat dendam aku kepada rasa sayang. Maka, ada dua perkataan yang ingin aku sampaikan. Jangan harap! Kesalahan dia sulit untuk dimaafkan. Perlukan jangka masa yang panjang untuk pulih.
"Argh!" Aku mengaduh. Tangan naik pegang kepala. Badan perlahan-lahan pusing belakang.
Bahana mengata suami sendiri, bala pun turun dengan kadar segera. Tak semena-mena pandangan jadi berpinar sejenak. Lupa terus perihal Raid.
"Sorry auntie."
Auntie? Aku belum jejak 30an lagi. Tua sangat ke rupa aku di mata budak itu?
"Tudung auntie dah kotor."
Tangan automatik meraba kepala tertutup dengan tudung. Hampir berjurai air mata bila ada sisa tanah melekat. Tudung mahal aku ternoda! Hal yang sangat sensitif bagi aku.
"Kenapa main bola dekat sini?" Tak marah, tetapi sekadar menasihati supaya tiada yang jadi mangsa seperti aku. Dibuatnya ada yang bocor kepala macam mana? Siapa nak bertanggungjawab?
"Sorry." Tunduk kepala budak itu.
Lima saat aku tenung, timbul rasa serba salah. Ini tempat awam. Kawasan terbuka. Semua rakyat jelata bebas untuk bermain. Sepatutnya aku sedia maklum risiko berada di tempat awam. Terdedah dengan berbagai jenis kemalangan kecil mahupun besar.
Aku tunduk kutip bola lalu diserahkan padanya selepas puas bermuhasabah diri secara paksa.
"Nah."
Budak itu teragak nak sambut. Mata dia melilau. Tak berani bertentang mata dengan aku.
"Lain kali hati-hati ya." Titip aku bersama senyuman. Nak usir rasa takutnya.
Nampak saja senyuman aku, bukan main elok budak itu tayang gigi penuh. Elok juga dia berlari ke arah rakan-rakannya yang sedang menunggu tidak jauh dari sini. Melihat reaksi tersebut buatkan aku hela nafas panjang. Lega? Mungkin.
"Ada apa Heera?" Suara Raid menyapa buatkan aku menoleh.
"Kenapa tu?" Tanya Raid sambil kerling tudung aku sekilas.
Tangan naik meraba kepala sekali lagi. Tak tahu sebesar mana kotoran tersebut. Sampaikan Raid pun boleh nampak, boleh jadi kotoran itu sebesar bola.
"Kena bola." Beritahu aku.
"Bola?"
"Ya."
"Sejak bila awak pandai main bola?"
Rawak sangat soalan Raid. Aku tak pandai main bola. Dan aku tak akan main bola. Itu bukan hobi mahupun minatku.
"Budak-budak tu tak sengaja sepak, terkena saya." Semoga penjelasan aku berjaya matikan niat Raid nak jadi detektif.
Tangan Raid naik menggosok kepala aku. Sebetulnya, dia cuba membersihkan kotoran di tudung. Puas aku mengelak, namun gagal gara-gara faktor ketinggian kami yang agak ketara.
"Tak boleh hilang." Kata dia perlahan.
"Nak balik ke?" Dia pandang muka aku.
Jika pulang, maka terbatal semua aktiviti malam ini. Kesian pula bila Raid sudah bersusah payah, aku senang-senang ajak dia balik gara-gara hal sekecil ini. Aku tak sekejam itu. Masih ada empati disebalik marah.
"Saya nak pergi tandas. Nak cuba basuh dengan air. Mana tahu boleh hilang."
"Sure?" Tanya dia kurang percaya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Hello Mr Freeze
RomanceAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...
