TEMPOH percubaan terpaksa ditamat lebih awal. Semuanya gara-gara kejadian semalam. Kejadian yang membawa separuh jiwa pergi.
Aku pura-pura kuat. Pura-pura tenang di mata semua. Sedangkan di hati, hanya tuhan saja tahu bila nampak sebujur tubuh terbaring kaku. Mulut dan dadanya sarat dengan tali penyambung talian hayat. Mesin kiri dan kanan. Melihat itu saja sudah buat aku sesak nafas.
Mata tunduk terpandang kertas A4 yang dinoda dakwat hitam yang aku bawa ke mana dalam beg tangan. Hasil tulisan tangan Raid. Kemas. Sedap mata yang membacanya. Mengalahkan tulisan perempuan. Itu kerana Raid sangat pentingkan kesempurnaan. Sanggup bersengkang mata selagi semua hasil kerjanya tidak sempurna.
"Puan..."
Aku menoleh bila ada dua bayang berbaju putih. Di tangan salah seorang ada satu dulang besi lengkap dengan peralatan mencuci luka.
"Boleh puan tunggu dekat luar? Kami nak cuci luka suami puan."
Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Cuping telinga Raid yang pertama aku cari. Itulah cara aku dan Raid berkomunikasi sejak semalam. Aku yakin Raid dengar. Berkat keyakinan itulah, aku tak culas beri laporan ke mana pun aku pergi.
"Abang..." Ayatku terhenti. Pertama kalinya aku memanggil dia begitu. Buatkan kolam mata aku bertakung. Jari melekap dua saat pada mata bagi mengelak berlakunya kebocoran.
Nafas ditarik dalam-dalam. Tak nak pendengaran Raid tercemar dengan kesedihanku.
"Saya turun makan dulu. Nanti saya naik. Teman abang sampai malam." Titip aku dengan suara parau. Bibir cepat-cepat mengukir senyuman menutup rasa sedih.
"Ada apa boleh call saya." Titipku kepada dua orang jururawat tersebut setelah selesai menyampai pesan.
Sebaik saja aku melangkah jauh dari katil, terdengar langsir ditarik. Sempat aku melihat Raid sebelum langsir tertutup sepenuhnya. Begitulah rutin aku sejak menjadi pengunjung tetap hospital.
Perlahan-lahan aku menapak ke pintu lif. Cuba cekalkan hati. Cuba kuat mengharungi hari-hari tanpa Raid. Cuba terima hakikat yang sesiapa pun tak akan mampu nak terima. Hakikat bakal kehilangan orang yang kita sayang bila-bila masa.
"Heera..." Rai menerpa sejurus pintu lif terbuka.
Aku hanya mampu hadiahkan senyuman tipis.
"Macam mana Raid? Dah sedar?"
Maaf Raisya. Aku belum mampu hadiahkan berita gembira. Raid masih begitu sejak semalam. Masih tidur sepanjang hari.
Tubuh aku ditarik ke dalam pelukkannya bila tiada jawapan.
"Sabar Heera. Aku ada. InsyaAllah...Raid akan sedar."
Tangisan yang ditahan akhirnya tumpah tanpa sempat dibendung. Tangan naik membalas pelukan Raisya. Belakangku digosok lembut bila bahu bergegar teruk. Esakkan aku umpama lagu tiada hentinya lagi. Aku mengongoi di bahu Raisya.
Jenuh Raisya memujuk aku. Puas dipujuk, ditenang. Aku masih begitu. Masih meratapi kesedihan.
"Kau betul-betul okey Heera?" Soalan kedua Raisya ketika kami berada di ruang café hospital.
Aku masih tenang menyuap makanan setelah mengasingkan beberapa sayuran. Sikit pun tak angkat muka.
"Kalau Raid ada, dia dah tolong aku asingkan semua sayur ni siap-siap." Akhirnya aku bercerita. Soalan Raisya dibiar sepi.
"Dia selalu marah aku kerap minum ais. Kata dia tak bagus untuk tulang bila tua nanti."
Raisya diam. Tidak lagi bertanya. Dia tadah telinga dengar ceritaku tanpa mencelah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Hello Mr Freeze
RomanceAntara kerja dan cinta, mana yang lebih penting? Cinta itu pelengkap kehidupan. Kerja pula demi nafkah untuk meneruskan sebuah kehidupan sementara. Runsing! "Kau dah janji, deposit pun kau dah ambil. Aku bayar. Bukan guna khidmat secara percuma Heer...
