Namaku Arash. Seorang remaja normal yang menjalani hidup normal.
Namun, sesuatu telah berlaku pada diri aku. Hidup aku yang normal mendadak berubah dalam satu malam yang lepas. Aku sendiri keliru.
Malam itu, aku sendirian duduk di atas menara tangki air. Aku tak dapat tidur gara-gara ubat penahan kantuk yang aku makan petang tadi. Sampai tengah malam pun kesannya masih belum hilang. Puas aku berguling-guling di atas katil mencuba untuk tidur.
Sia-sia.
Sebab itulah, aku berakhir di atas tangki air ini untuk merenung langit malam. Dengan harapan kesejukan malam boleh buat aku mengantuk.
Malam itu langitnya cantik, penuh dengan bintang-bintang. Satu-satunya kecantikan alam yang masih terpelihara. Berbeza dengan keadaan bumi sekarang. Sebehagian besar menjadi dataran kontang ataupun tidak selamat untuk didiami kerana pencemaran kimia.
Langit malam masih cantik, kerana tidak dapat digapai tangan manusia.Kerana itu, memandang bintang ialah hobiku dan abangku, Eizham. Kalau abang ada, mesti dia suka tengok pemandangan malam itu. Sayangnya dia sudah tertidur awal. Dia sangat kepenatan selepas bekerja seharian di bengkel sebelah rumah kami. Tak sanggup pula aku menganggu lenanya.
Badan aku pun kepenatan sebenarnya. Tetapi, mata ini tak mahu bekerjasama! Menyesal aku makan ubat itu tadi. Litar elektrik yang kubuat sudah lama siap, tapi keletihanku masih berpanjangan.
"Nak tidur..." keluhku sendiri. Siapa lagi yang nak dengar kalau bukan diri aku juga. Aku mendesah sambil mendongak langit. Manalah tahu mengira bintang boleh buat aku mengantuk?
Sedang aku mendongak langit, tiba-tiba aku melihat ada objek yang sedang jatuh, terbakar dengan ekor api yang terang lalu berdentum menghentam bumi.
DBUMMM!
Gegarannya sampai terasa menggoyangkan tangki air tempat aku berdiri.
Meteor?!
Aku segera turun dari menara tangki air itu. Palang besinya menghantar getaran dari tanah ke tanganku yang memegang. Seriau aku dibuatnya. Tergesa-gesa aku turun.
Tepat-tepat ketika kakiku menjejak tanah, tiba-tiba ada gelombang cahaya melanggar tubuhku. Seakan-akan membawa tenaga yang besar, tubuhku tertolak ke belakang.
Keseimbangan tubuhku mulai hilang. Aku serta-merta pening. Tanah yang aku pijak rasa macam bergoyang-goyang. Aku cengkam kepalaku dengan kuat. Kepalaku rasanya macam mahu meledak!
Dbuk!
Sedar-sedar, aku tertiarap di atas tanah. Terasa partikel pasir melekat di pipiku.
Duniaku berputar ligat. Perkara terakhir yang aku nampak, gelombang cahaya itu terus meluncur dan tersebar menerangi kegelapan sebelum menghilang di kejauhan. Kemudian, kegelapan benar-benar merampas kesedaranku.
Gelap.
Gelap.
Gelap.
……………..…………………………
Aku terjaga tidak lama kemudian. Ketika itu langit semakin cerah namun bintang masih kelihatan.
Aku bangun dan menggagahkan diri untuk masuk ke dalam rumah. Terhuyung-hayang aku berjalan. Dua tiga kali aku nyaris jatuh tersembam.
Kepalaku terasa berdenyut-denyut hebat. Pandanganku juga samar-samar bagai diselindung kabus.
Hendak menapak empat anak tangga pun aku merangkak. Aku benar-benar tak larat walaupun untuk mengangkat kelopak mata. Katil, aku perlukan keempukan katil sekarang! Tapi, aku tak kuat lagi untuk berdiri. Jadi, aku memilih untuk merebahkan diri di atas sofa sahaja.
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...