Dalam Gelap

1.4K 142 30
                                    

Gerakan Raizhan pantas dan cekap. Ada kekuatan yang berlebihan ketika dia mengikat dua pisau pada tapak kasutnya. Keningnya hampir bercantum, membayangi matanya yang tajam dan dipenuhi fokus yang tidak tergugat. 

"Raizhan? Kau buat apa?" tanya Nikho. Raizhan hanya mendongak sebentar tanpa mengatakan apa-apa.

Dia membuka baju yang dipakainya, tinggal baju lapis tanpa lengan. Tidak semena-mena, bunyi fabrik dikoyakkan bergema di ruang besar itu. Baju yang sudah menjadi tali diikat pada pangkal lengannya bersama dua bilah pisau. 

Aku tahu, Raizhan sedang marah. Aku boleh nampak kemarahannya itu disalurkan pada keagresifan tendangan pertamanya pada dinding. Tertanam dalam pisau yang terikat dikakinya itu. Kemudian, dia berpijak di atas pisau itu lalu segera menyiku dinding, Pisau di sikunya pula yang tertanam di dalam dinding lembut itu. Dia mengulang untuk kaki dan tangannya yang satu lagi. Dengan mudah, dia mula memanjat naik dinding itu seperti mendaki curam gunung. 

Dia mencabut setiap lembing yang berdekatan dan mencacakkannya pula ke sebelah, membentuk pijakan yang membolehkan kami turun ke seberang medan berperangkap itu. Kalau aku yang buat, aku mungkin akan terjatuh dengan mudah. Tapi, Raizhan mampu menggunakan empat bilah pisau itu untuk melekap dan merayap pada dinding. 

Tidak lama kemudian, dia sudah selesai memindahkan lembing dari menjadi tangga menaik menjadi tangga menurun.

Aku sudah membantu Elyssa untuk naik ke atap kurungan itu menyertai Nikho. Mereka berdua meniti pancang gergasi itu untuk rapat ke dinding. Barulah aku mengekori. Raizhan memanjat mendekati mereka.

"Aku dah siapkan tangga untuk kamu semua turun." Sekilas dia memandang aku. "Aku tak risaukan Arash. Kau boleh menstabilkan diri dan koordinasi badan kau baik, kan? Gunakan pisau-pisau kau untuk bantu kau turun."

Aku mengangguk saja. 

Aku mencapai pisauku semula. Tinggal sedikit. Kalau perlu bertempur lagi selepas ini, aku hanya dapat bertarung jarak dekat kerana aku cuma ada pedang pemberian Raizhan. Mungkin aku perlu cari senjata lain di peringkat seterusnya.

Tidak, tidak. Buat masa sekarang, aku kena fokus dahulu apa yang harus aku lakukan di sini. 

Meniru pergerakan Raizhan, aku mula turun menggunakan tangga lembing yang dibuatannya itu. Aku hanya mendengar yang Nikho menawarkan diri nak mengendong Elyssa di belakangku. Raizhan hanya mengalah. Kemudian, mereka senyap. Suasana begitu tegang, sampai nafasku sendiri terasa bergemuruh di telingaku.

Selepas beberapa minit dalam debaran, kami akhirnya berpijak di atas permukaan teguh. Aku terus terduduk. Akhirnya, permukaan yang teguh dan rata! Aku pegang dada yang terasa berdegup kencang. Raizhan, Nikho dan Alyssa juga berjaya menapak di tempat selamat selepas itu.

Kami diam lagi.

"Jadi, lepas ini apa?" Nikho tiba-tiba bertanya.

Raizhan memandang pintu besar yang berada di hadapan kami. "Kita selamat buat masa sekarang. Tapi, kita tak dapat pasti apa yang akan menunggu kita di sebalik pintu itu."

"Kalau kita sudah selesai tahap yang kedua... bererti kita akan menuju ke tahap terakhir, kan?" tanyaku. Raizhan dan Nikho mengangguk.

"Berdasarkan pengalaman kamu berdua bermain permainan VR Daviex dahulu... apa yang akan kita hadapi selepas ini?"

Mereka berdua saling pandang. Raizhan berkata, "Permainan kali ini tak sama."

"Sangat tak sama." Nikho menggumam perlahan, "Entah kenapa... aku rasakan permainan ini semakin lama semakin... berbahaya."

Dia menggosok lengannya sambil matanya melilau memandang bilik besar itu. "Seolah-olah... AI permainan ini memang serius nak membuatkan kita semua merasakan... kematian."

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now