Berdebuk bunyinya bila tubuh abang jatuh di atas lantai. Aku melompat turun dari kerusi tapi jatuh tersembam kerana kegopohanku.
Ketika aku cuba bangun semula, aku nampak barang-barang besi di atas meja yang dirempuh abang bergoyang-goyang. Abang masih tidak bergerak, terbaring saja di lantai sedangkan silinder besi di atas meja tumbang, bergolek, hampir ke bucu meja... dan dalam beberapa saat, akan jatuh menghempap abang!
Alamak, aku takkan sempat!
"Tidak!" Aku jerit histeria.
Lalu, perkara pelik itu terjadi lagi! Silinder besi yang berat itu berhenti di awangan, nyaris-nyaris mengenai abang. Sejengkal lagi bucunya yang tajam dari perut abang.
"Gahh!!" Abang tersedar kerana jeritankj. Dia spontan bergolek ke tepi.
Dia memandang aku dan silinder besi itu berkali-kali. Aku pula masih terkaku.
Ada sesuatu yang berdenyut di kepalaku. Ada sesuatu yang bagai menjalar ke seluruh saraf otakku!"A...abang, apa patut Arash buat?" Suaraku mengeletar. Aku bahkan tidak berani mengalihkan pandangan dari silinder besi itu.
"Wah, Arash betul-betul ada kuasa Telekinesis!" Abang kedengaran kagum.
"Abang?!!" Sempat lagi dia hendak kagum sekarang?
"Okey, maaf. Dengar. Telekinesis bergantung arahan minda kamu. Fokus pada silinder itu. Bayangkan ia kembali ke atas meja semula."
Aku ikut kata-kata abang. Silender besi itu aku renung tajam sambil membayangkan aku sedang mengangkatnya dengan tangan ghaib.
Berjaya! Perlahan-lahan silinder itu terangkat dan kembali elok terletak di atas meja.
Sejurus selepas itu, aku terduduk lemah. Penat! Tenagaku bagai diperah habis. Nafasku termengah-mengah, seperti baru sahaja berlari pecut. Ada cecair hangat yang mengalir dari hidungku. Aku lap dengan belakang tangan kiri.
"Darah?!"
"Ini perkara normal bila kamu baru gunakan telekinesis. Mari sini abang tolong," Abang tiba-tiba mencangkung di sebelahku.
Dia membuka peti kecemasan milik ibu dan mengeluarkan kain kasa sintetik. "Gila! Ini pertama kali abang tengok orang ada kuasa telekinesis!" katanya sedikit teruja sambil mengelap darah yang mengalir dari hidungku.
"Eh, abang pun cederalah!" aku merampas kain kasa itu dari tangan abang lalu menekapkan kain itu pada pipinya yang bergaris luka.
"Sakit!" Dia spontan menjauhkan wajahnya. Tangannya perlahan mengusap pipinya kelihatan merah dan bulat. Kesan terkena bola tadi!
"Alamak... Apa Arash dah buat ni?" kataku panik. Melihat kecederaan abang, aku rasa mahu menghantukkan kepalaku ke dinding. Aku tertunduk.
Abang mengangkat daguku sambil tersenyum. "Abang tak apa-apa."
Aku menggeleng laju.
"Baru sekejap! Kuasa yang ada pada Arash dah cederakan abang. Bagaimana pula nanti? Arash tidak mahu kuasa ini! Bagaimana nanti kalau Arash akan bun..." Abang mencekup mulut aku kuat tanpa aku sempat menghabiskan ayat. Kali ini wajahnya serius.
"Berhenti gelabah, boleh tak?" Dia mendesah sambil menurunkan tangannya. "Itulah Arash, senang betul nak gelabah.''
Dia mengambil kain kasa lain dan mengelap darah hangat yang masih mengalir dari hidungku. Aku menahan tangannya lalu mengambil kain kasa itu sendiri. Hidungku berdarah atau tidak, aku rasa tak selesa bila abang buat begitu. Aku menekapkan kain kasa itu pada hidungku sambil memandang ke arah lain.
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...