Sejenis gas terpancut keluar daripada belakang kerusi yang aku duduki. Ketika itu, tanganku sudah seinci lagi melekapkan model buatan abang sebelum aku merasa kantuk yang amat sangat.
Aku mula tersengguk-sengguk. Dalam keadaan yang paling mamai itu, aku hanya ingat aku menyandar pada kerusi empuk itu. Gas apa ini?
Dan, aku segera tenggelam dalam tidur yang dalam kerana gas itu.
Inilah dia.
Bala untukku baru sahaja bermula....Aku merasakan diriku jatuh, jatuh dan jatuh ke dalam pusaran kegelapan. Aku terkapai-kapai untuk mencapai sesuatu untuk berpaut, namun aku hanya mengenggam udara. Aku mahu menjerit. Tetapi jeritanku hanya bergema dalam sukma. Bahkan, mulutku terasa lumpuh untuk terbuka.
Aku jatuh...
Berpusar...
Pening...
Dan gelap.
........
"Arash, bangun!"
Mataku terus terbuka luas. Aku bingkas bangun dan mendapati aku berada di dalam sebuah bilik yang suram. Rupanya aku duduk di atas selonggok jerami.
Aku mengangkat tanganku dan meneliti tubuh badanku dengan cepat. Pakaianku masih sama rekaannya, tetapi fabrik dan warnanya telah berubah. Ia terbuat daripada kapas dan kulit, bukan lagi sintetik? Begitu juga dengan Raizhan.
"Apa yang lu termenung lagi? cepat bangun dan ambik senjata lu!" Raizhan tiba-tiba muncul daripada sebalik pintu kayu. Dia sibuk menyelongkar almari usang, laci meja, bahkan tumpukan jerami yang sedang aku duduki.
"Raizhan, nanti dulu!" Aku memaut lengannya, "Saya tak tahu apa-apa yang sedang berlaku sekarang. Saya tak pernah bermain dalam permainan dunia VR ini!" kataku kepadanya dengan cemas.
Raizhan pandang aku dari atas ke bawah. Kemudian dia menepuk dahi. Dia mendengus. "Susahlah kalau lu mau bertahan hidup kalau begini! Okey, lu fahamkan kita tengah berada dalam permainan dunia VR? Dunia janaan komputer?"
Aku mengangguk. Sekurang-kurangnya aku sedar perkara itu.
"Wa dah periksa, dunia VR ini berlatarkan zaman ribuan tahun lalu. Zaman yang ketika dunia masih dipenuhi hutan dan binatang buas. Kita berada di dalam sebuah kampung di dalam hutan. Kita kena bergerak cepat. Cari senjata apa yang ada dalam sini untuk lu pakai. Wa sudah dapat duit dengan peta. Kalau lu tak mahu mati awal, kita kena tinggalkan tempat ini cepat, sebelum pemain lain sampai! Mati kita kena bunuh nanti."
Walaupun masih belum mengerti sepenuhnya, aku bergegas juga mencari senjata. Aku menemui sebeg pisau kecil-kecil yang diikat pada tali pinggang, busur panah dan seberkas anak panah di bawah almari. Kenapa aku jumpa senjata purba ni?!
Atau dunia VR ini memang zaman purba?
"Cepat-cepat!" Raizhan melambai kepadaku di sebalik pintu. Tergopoh-gapah aku memeluk semua senjata yang aku temui itu, aku mengejar langkahnya. Raizhan cergas menjenguk lorong-lorong yang ada sehingga akhirnya kami menemui jalan keluar dari tempat itu.
"Hiah!"
"Raizhan, awas!" jeritku.
Raizhan segera menunduk. Libasan pedang itu sipi-sipi memancung kepalanya. Dia segera bergolek lalu berdiri semula. Spontan dia mengeluarkan pedangnya.
"Quinze_01!"
"Kenapa lu susah mau mampus?!" marah Quinze_01.
Dia lagi!
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...