"Jadi..."
suara Elyssa yang lunak memecahkan kebisuan yang terapung-apung antara kami.Dia tersenyum, "Sebab kita sudah rasmi menjadi sekutu, apa kata kalau kita saling berkenalan? Kelebihan kamu atau sedikit sebanyak latar belakang, mungkin?"
Daripada gerak-gerinya yang kurasa agak dibuat-buat, aku tahu Elyssa sedang cuba menceriakan suasana kekok antara kami.
"Kamu mula dulu, sebab kamu yang paling pendiam dari tadi!" dia tiba-tiba menuding jari ke arahku.
Aku terkejut. Laju telunjukku mengarah ke arah diriku sendiri.
"Hah, boleh jugak. Lu budak yang paling akhir masuk Dome tu, kan? Kejam betul Kapten Zilgaf layan lu," kata Nikho. Dia berpusing arah untuk menghadapku. "Ceritalah sikit pasal diri lu."
Memandangkan mata mereka semua sudah merenung ke arahku, mahu tak mahu aku memulakan bicara. "Sa... saya Arash, 17 tahun. Saya tinggal di luar Rionzess bersama dengan abang saya. Dan..."
Kemudian, aku terkelu. Aku tak tahu hendak cakap apa lagi tentang diriku. Mustahil aku hendak ceritakan soal ibu bapaku. Itu rahsia yang harus aku simpan kerana mengingat janjiku dengan abang.
"Biar betul lu tinggal di luar Rionzess?! Wa ingat Kapten Zilgaf main-main kata lu tinggal di luar. Tak bahayakah? Kenapa tak mahu tinggal dalam Rionzess?" tanya Raizhan bertalu-talu.
Aku tergelak kecil sambil mengangguk. "Saya tinggal beberapa kilometer dari Rionzess. Kena lalui kawasan bukit-bukau dahulu sebelum sampai ke rumah saya. Hendak kata bahaya, tak adalah bahaya. Hidup terasa lebih aman dan bebas!" kataku dengan teruja. Ya, aku bangga dengan kehidupan aku yang normal dan biasa-biasa.
Sesaat kemudian, ada sebak yang setajam jarum menikam hatiku. Aku terdiam.
Rumah. Dapatkah aku kembali ke sana?
"Peliklah lu ni," komen Nikho buatkan aku kembali ke realiti. Aku cuma tersenyum kelat.
"Hah, giliran lu pula," Nikho menuding ke arah Raizhan.
"Bukankah wa sudah bagitahu nama wa tadi?" balas Raizhan, malas.
"Wa sudah lupa nama asli lu. Wa cuma ingat lu sebagai Riffle_X yang suka bikin panas," kata Nikho pula sambil tersengih.
Raizhan tunjuk muka menyampah.
"Nama wa Raizhan. Ingat, Raizhan, jaguh dunia VR!"
"Eleh, pernah juga lu kalah dengan wa," sampuk Nikho.
"Baru sekali dua sudah berlagak," Raizhan mencebik buatkan Nikho dan Elyssa ketawa.
"Dunia VR tak mainlah! Dunia nyata lu siapa?" kata Nikho lagi.
"Wa dunia nyata? Di dunia nyata, wa tak ada keluarga. 17 tahun. Wa tinggal di kawasan urban di bahagian timur Rionzess. Wa sara hidup wa dengan ikut pertandingan dunia VR, lumba haram dan kadang-kadang gusti. Tch, sebenarnya lebih banyak wa habiskan hidup wa dalam dunia VR," balas Raizhan.
"Lari dari realiti?" sampuk Elyssa.
"Lari dari realiti," Raizhan mengangguk.
"Hah..." Nikho menghela nafas. "Hidup lu lebih kurang sama dengan hidup wa..."
"Jangan lu reka cerita. Apahal pula kita sama?" kata Raizhan. Nikho hanya menjelingnya tajam.
"Betullah! Buat apa wa reka cerita? Wa mula banyak habiskan masa wa dalam dunia VR masa wa umur...9 tahun. Mula-mula tu wa cuma main-main. Lepas tahu wa boleh buat duit dengan menang main permainan ni, baru wa mula serius. Kira-kira masa umur wa 15 tahun."
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...