Beban

1.6K 223 45
                                    

Sepanjang perjalanan balik, aku langsung tidak bercakap. Hanya mengikuti Raizhan dan Nikho jauh di belakang. Menggerakkan otot wajah untuk menampilkan emosi pun, aku rasa aku tak sanggup.

Aku hanya tunduk memerhatikan setiap langkahku. Sampailah kami bertiga kembali ke tempat kami berhenti berehat sebelum ini.

"Elyssa? Elyssa turunlah," panggil Nikho. Dia mendongak melihat sebatang pokok yang tinggi dan rimbun daunnya. Tidak lama kemudian, sebahagian dedaunan itu bergegar. Elyssa muncul dengan hoverboardnya.

"Kamu semua! Nasib baiklah kamu semua selamat," Elyssa turun terus memeluk Nikho. Nikho hanya tersengih. Tangannya menepuk-nepuk belakang Elyssa yang sedang menyebamkan mukanya ke bahu Nikho.

"Kenapa Elyssa di situ?" pertanyaan pertama yang muncul daripada mulutku. Nada suaraku kedengaran begitu datar.

"Semasa kau pergi hutan tadi, kami bertiga diserang. Aku yang suruh dia bersembunyi di situ," jawab Raizhan.

Aku hanya mengangguk kecil. Kemudian, aku menonong  ke kawasan lapang di tepi sungai itu. Mataku terus dihidangkan dengan pemandangan senjata yang bercacakan di atas tanah dan bersepah di sana sini. Kesan pertarungan yang baru berlaku.

Entah mengapa, memikirkan perkara itu buatkan perasaanku tiba-tiba berkocak.

Seberapa ramai yang telah menyerang mereka bertiga?

Seberapa kuat Raizhan dan Nikho?

Macamana mereka berdua boleh jadi sekuat ini?

"Apa yang ada pada dia sampai lu mati-matian bela dia? Dahlah lembik, berlawan pun tak tahu. Kalau lu terus bawa dia, jadi beban adalah! Ini dunia VR. Tak ada masa untuk lu fikir pasal orang lain!"

"Gergh!" Tanpa sedar aku mengetap gigi. Menggelodak rasa yang membara dalam dadaku. Tiba-tiba, bahuku ditepuk orang. Spontan aku menepis kasar.

"Auw!" Kedengaran suara Raizhan mengaduh kecil. "Lu dah kenapa?!"

"Ma...maafkan saya," Aku gelabah. Raizhan mencebikkan mulutnya. Aku mulai gelisah tak tentu hala.

"Maaf. Tapi, tolong biarkan saya sendiri," kataku perlahan. Aku pun melangkah meninggalkan dia.

........................................

Malam.

Aku cuma mengacau-ngacau sup cendawan di dalam mangkuk yang dimasak oleh Elyssa.

Sedap. Bukannya tak sedap. Mungkin sup kedua paling sedap yang aku pernah rasa selepas sup buatan abang.

Aku cuma... tak ada selera.

Buat kesekian kalinya, aku mengeluh. Ada apa dengan aku? Seribu satu perasaan bercampur-baur dalam diriku. Perasaan ini begitu berat dan menyakitkan.

Aku tahu aku sepatutnya menyertai mereka bertiga, duduk mengelilingi unggun api. Tapi, kakiku lebih awal mengheret aku pergi dan duduk di sini di tepi sungai.

Aku tahu aku sudah bertindak tak sepatutnya. Tapi, sungguh. Kali ini saja, aku mahu sendirian.

Nasib baiklah Raizhan awal-awal lagi menegah Nikho dan Elyssa daripada mendekati aku.

Tanpa sedar, hari mulai larut malam ketika aku masih termenung jauh.

"Hei," Seseorang menepuk bahuku.

"Gahh!" Aku spontan menepis dan bingkas berdiri. Melihat Raizhan berdiri di belakangku, aku menghela nafas lega.

"Maaf," kataku perlahan sambil tunduk. Wajah Raizhan yang berkerut sebentar tadi bertukar tenang. Dia ketawa kecil.

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now