Bahaya

3.2K 361 46
                                    

Selepas dipujuk dan didesak, aku akhirnya mahu tak mahu harus akur dengan kemahuan abang yang mahu menjalankan ujian ke atasku. Seram rasanya bila abang mengarahkan aku menanggalkan baju dan berbaring di dalam tiub kaca mesin pemeriksaan kesihatan milik arwah ibu.

Ya, ibu ialah doktor sementara ayah seorang saintis. Makmal rahsia ini terbahagi kepada dua.

Separuh dipenuhi dengan peralatan medik yang canggih ciptaan ayah dan abang, cukup untuk merawat dua tiga orang pesakit.

Separuh lagi ruang makmal rahsia ini merupakan ruang kerja ayah. Abang melarang aku membuat perubahan ketara pada ruang kerja ayah. Mahu menjaga memori katanya. Sebab itulah, sampai sekarang tempat itu masih berselerak dengan lakaran dan cetakan biru ciptaan ayah.

Dari dalam tiub kaca, aku cuba baca riak wajah abang. Wajah abang tegang, benar-benar fokus dengan tugasnya. Hampir sejam juga aku terbaring seperti pesakit kronik di dalam tiub itu. Keresahan aku dibuatnya!

Dari skrin maya yang terpapar di awangan, aku dapat mengagak abang sedang melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas aku. Buktinya begitu banyak skrin maya yang muncul satu persatu. Cahaya pengimbas berulang-ulang menyuluh seluruh tubuhku, memaksa aku menutup mata rapat-rapat. Proses pemeriksaan itu berlangsung lama, sampai aku sempat tenggelam dalam tidur.

Aku sedar tidak lama kemudian apabila mendengar tiub kaca tempat aku berbaring terbuka. Abang memandang aku sekilas lalu mengangguk. Aku tarik nafas lega. Selesai juga akhirnya!

Aku turun dari mesin pengimbas itu sambil mencapai baju dan jaketku.

"Apa yang abang dapat?" aku terus bertanya setelah berdiri di sebelah abang. Aku menyarung pakaian sambil mengintip apa yang dilakukannya.

Abang menggeleng. Dia mengurut dahinya.

"Kamu ada rasa lain semacam tak dengan badan kamu sejak kebelakangan ini? Sebab badan kamu sihat sepenuhnya!" Abang seakan membuang tangannya ketika menunjuk semua skrin maya itu. Frustasi.

Aku berfikir sejenak sebelum menggeleng. Aku berkata, "Tak ada. Kecuali...masa meteor tu jatuh, Arash terkena gelombang cahaya dan pengsan. Esoknya, Arash rasa pening sangat. 12 jam selepas tu hilang. Kenapa?"

"Kenapa tak bagitau abang awal-awal?!" Spontan abang menampar bahuku sampai aku terdorong ke hadapan. Aku mengaduh. Sakit gila!

Abang bangun dan mundar-mandir lagi di depanku sambil mengguman sendiri. Butir katanya sedikit pun aku tak fahami.

Aku menepuk dahi. Abang biasanya seorang yang tenang bila berhadapan masalah. Tapi, bila dia sendiri sudah gelisah, dia akan mundar-mandir begini. Masalahnya, perbuatannya itu malah menambah sakit kepalaku!
 
"Sedikit lagi! Kita semakin hampir...." Abang kembali duduk di kerusi. Tangannya laju menari di atas kaca papan kekunci yang bercahaya malap. Dia terhenti apabila skrin maya memaparkan satu graf gelombang. Dia berpaling menghadapku.

"Kalau abang betul, ketika meteor itu jatuh, ia telah menghantar satu gelombang yang pelik? Gelombang itulah yang merangsang otak kamu sehingga membebaskan potensi sebenarnya iaitu kuasa minda separa sedar." kata abang dengan serius.

"Hah? Maksud abang?"

"Begini, minda manusia terbahagi kepada tiga keadaan iaitu sedar, separa sedar, dan tidak sedar. Manusia berpotensi memiliki telepati dan telekinesis jika minda separa sedar dilatih. Gelombang cahaya yang mengenai kamu telah menyebabkan kamu memiliki kuasa minda itu. Berita baiknya, kamu tidak termutasi!"

 "Biar betul?!" tanyaku dengan teruja.

"Ya, kamu masih manusia normal... yang luar biasa." kata abang sambil tersenyum. Serentak, kami menghela nafas lega bersama-sama. Aku mengurut dada.

"Kuasa minda separa sedar sebenarnya ada dalam diri setiap manusia. Seperti harta dalam peti berkunci. Berabad yang lalu, ada manusia yang memang lahir dengan kuasa ini dan ramai juga yang tahu melatihnya. Pernah juga sekumpulan manusia moden berjaya menemukan rahsianya. Sebuah teknologi tercipta untuk memecahkan kunci peti itu dengan lebih mudah." Abang berhenti bercakap seketika untuk menarik nafas.

"Kemudian, lahirlah ramai manusia moden dengan kuasa dan kebolehan itu. Tapi, dengan kuasa itu juga mereka saling berperang berebutkan teknologi itu. Sebagai penyelesaian, satu teknologi dicipta untuk mengekang kuasa minda separa sedar itu dengan kekal. Teknologi pembuka dan pengekang kuasa minda itu kemudian dimusnahkan dan diharamkan buat selama-lamanya sampailah dilupakan. Akhirnya kuasa minda separa sedar hanya dianggap sebagai antara teori potensi otak manusia yang semakin dilupakan. Arash pun tahu, sampai sekarang pun potensi otak kita masih misteri. Tiada saintis atau pakar neorologi dapat membongkarkan rahsia otak kita."

Aku terdiam sebentar menghadam kata-kata abang.

"Tapi, abang... kita hidup di zaman pasca-apokalips! Zaman ketika manusia di seluruh dunia membangun ketamadunan dari debu dan sisa-sisa zaman sebelum ini. Banyak pengetahuan yang hilang. Berpuluh tahun lalu hanya ilmu survival yang dipentingkan Jadi, kalau potensi kuasa separa minda sebelum ini pun sudah menjadi teori, mustahil ada lagi pengetahuan yang tinggal mengenainya di zaman ini..."

Giliran abang pula terbungkam.
Setelah beberapa minit dia tidak membalas hujahku, aku pun menyambung kata-kataku.

"Abang sendiri, macamana abang tahu tentang perkara ini?"

"Ayah, Arash. Abang tahu dari ayah."

"Ya, Arash tahu abang dapat banyak pengetahuan tentang tamadun yang lepas sebab ayah kuat berusaha menjejak semula semua peninggalan itu. Arash ingat lagi ayah suka mengembara ke kota-kota mati yang berbahaya semata-mata nak dapatkan semua yang ada serpihan ilmu pengetahuan. Buku, cip, tablet dan macam-macam lagi. Masalahnya sekarang abang, tak ramai lagi orang yang macam ayah dan abang lagi. Abang perlukan bukti kukuh untuk yakinkan seluruh Rionzess untuk katakan Arash tak termutasi!"

Abang mengukir senyum. Nipis sahaja. Senyuman abang yang nipis itu, aku tahu ada kegetiran yang bersembunyi di sebaliknya.

"Jangan risau. Pasti ada caranya supaya kuasa kamu itu dapat dikawal. Kuasa itu sebenarnya kuasa alami manusia. Dalam kes kamu, kamu dapat kuasa itu tanpa sengaja. Optimis, Arash! Kita akan sama-sama cari jawapannya!"

"Habis tu, apa kita nak buat sekarang? Walaupun dakwaan Rionzess silap, Arash tetap akan ditangkap, kan? Apa kita nak buat kalau kerajaan pusat tahu pasal Arash?"

Saat itu kami berdua terdiam lagi.

[920 words]

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now