"Abang..."
"Hmm..."
"Abaaaang..."
Eizham terus tertegak. Meremang buku romanya apabila Arash menyerunya sampai berlagu-lagu begitu. Dia mematikan laser pematrinya dan menanggalkankan topeng pelindung. Sambil menarik nafas paling dalam, Eizham menoleh memandang Arash.
Menggeleng dia melihat adik bertuahnya itu sedang baring-baring di atas meja kerja. Di tengah-tengah alatan yang bertaburan pula tu. Macam tak ada tempat lain! Eizham menggelongsor di atas kerusi berodanya untuk mendekati meja kerja itu.
"Hei, kenapa ni?" Eizham menggosok kepala adik lelakinya yang berumur 12 tahun itu.
"Bosan..." rengek Arash. "Kita pergi main?"
Eizham garu kepala. Dia memandang kembali kerjanya yang masih belum siap. "Arash pergilah main apa-apa dahulu. Abang belum siap lagi ni... Kerja yang abang bagi dah siap atau belum?"
"Sikit lagi nak siap. Tapi, Arash nak rehat sekejaplah, abang. Sepanjang hari tengok benda yang sama, muaklah..."
"Kalau begitu, pergilah main hologram Meja Eureka," pujuk Eizham.
"Tak mahu... Arash nak buat benda lain. Letihlah kalau asyik berada dalam makmal ni. Jomlah abang... kita main di luar?" Arash merayu bersungguh-sungguh. Eizham jadi serba salah.
Dia menggosok tengkuk sambil memerhatikan makmal rahsia mereka itu. Buat masa ini ia agak bersepah sebab dia masih membuat kerja. Bagi Eizham, dia masih boleh bertahan dengan keadaan itu. Tak kisah pun kalau berkurung lama dalam ruangan itu berhari-hari. Tapi, mungkin Arash sudah rimas berlama-lama di dalam ruangan tertutup ini. Budak-budak... manalah betah nak duduk diam-diam.
"Okeylah, Arash nak main apa?" tanya Eizham mengalah. Dia menarik tangan Arash supaya adiknya itu bangun dari pembaringan dan duduk menghadapnya.
"Apa-apa sahaja. Asalkan dapat keluar dari makmal ni," balas Arash masam. Muncung sedepa mulutnya.
Eizham berfikir seketika. Remaja 17 tahun itu memerhatikan sekelilingnya. Di hadapannya, ada adik yang harus diberikan perhatian. Mesti sentiasa diawasi. Di belakangnya pula ada kerja mustahak yang mesti disiapkan. Juga menuntut perhatiannya sebab masa semakin suntuk.
Sesaat, dia ternampak sebiji bola lusuh yang terpuruk di bawah meja. Dia mengutip bola itu lalu melambung-lambungkannya di hadapan Arash. Terkebil-kebil mata bulat Arash melihat perbuatan abangnya itu.
"Abang tunggu apa lagi. Marilah kita keluar main..."
"Tengok. Abang nak masukkan bola ini ke dalam kotak besi itu," kata Eizham sambil menuding sebuah kotak besi yang ada di hujung ruangan itu.
Arash memandang objek yang dimaksudkan. Kotak besi itu berisi besi-besi buangan yang berbentuk silinder-silinder panjang. Letaknya pula agak tersorok kerana dihalang objek-objek lain.
"Bolehkah? Macam mustahil saja," kata Arash ragu. Eizham tersenyum yakin.
Dia mengangkat bola itu separas bahu, lurus ke arah kotak besi itu. Matanya memicing, fokus ke arah tujuan. Lalu, dia membawa bola itu tinggi melebihi kepala hingga ke belakangnya. Dengan sekali hembusan nafas, bola itu dibaling dengan pantas. Lalu, bola itu pun meluru ke hadapan, melewati objek-objek lain .
"Ktank!"
Dengan kelajuan tinggi bola itu masuk ke dalam kotak besi itu. Arash menganga. Eizham pula menggosok hidungnya dengan bangga.
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...