Meteoris sedang dibunuh beramai-ramai.
Suara jeritan mereka terus bergema mengisi ruangan itu, menekan perasaanku. Aku jadi tak keruan kerana nafas yang tak dapat aku kawal. Aliran air mata terus terbit, tanpa dapat aku hentikan.
Mung... mungkinkah mereka menghadapi perangkap yang sama seperti kami sekarang?
Mendengar dari gema-gema itu, aku seakan-akan dapat bayangan situasi mereka. Perangkap terpicu menerpa mereka semua. Lalu, secara tidak sengaja, dinding medan kuasa terbentuk, mengungkapkan siapa Meteoris di dalam kalangan mereka. Lantas, mengejutkan semua orang, termasuk tuan badan sendiri.
Dengan cepat, sekutu bertukar menjadi musuh.
"Sebelumnya memang kau rakan sepasukan kami. tapi, bila kau rupanya Meteoris, kau sudah menjadi binatang buruan kami!"
Mencampakkan perjanjian persekutuan yang telah dibuat di awal-awal permainan, mereka lebih memilih untuk membunuh Meteoris. Mereka lebih memilih mengkhianati rakan mereka yang ternyata Meteoris.
Kerana bagi mereka, ganjaran membunuh Meteoris lebih besar ertinya daripada kesetiaan dan persahabatan. Walhal, Meteoris juga mangsa keadaan!
Pada tahap begini, apa gunanya setia? Apa gunanya berjuang bersama kalau pada akhirnya akan mengkhianati dan dikhianati? Cepat atau lambat, aku pun...
"Tak, tak, tak!"
Aku menggeleng laju. Segera fikiran yang terlintas itu aku buang jauh-jauh. Aku takkan jadi orang yang sebegitu! Aku percaya dengan Raizhan, Nikho dan Elyssa.
Banyak kali. Sudah banyak kali aku diselamatkan mereka. Aku mampu sampai sejauh ini juga kerana mereka. Aku takkan dapat memaafkan diriku kalau aku sampai berpaling tadah.
Sekurang-kurang tidak sehingga kami melewati gerbang kedua.
Sekilas, aku terlihat keadaan Raizhan yang semakin melemah.
Dia tarik nafas. Dengan pergerakannya yang terbatas, dia meronta untuk melepaskan diri. Usahanya malah menyebabkan dia lebih kesakitan. Walaupun begitu, dia masih mengumpul tenaga untuk mencuba sekali lagi.
"Hei, hei Raizhan! Jangan banyak bergerak! Bi... biar saya yang selamatkan kamu! Dinding tu rapuh. Bahaya!" larangku sambil segera berdiri.
Aku terkejut mendengar suaraku menjadi serak-serak basah.
"Heh," Raizhan mendengus kasar, "Kau nak selamatkan aku? Budak manja macam kau nak selamatkan aku? Baik tak payah!"
Aku tergamam mendengar jerkahannya. "A... apa kau panggil aku tadi?"
"Manja!" balas Raizhan tegas.
"Bu... budak manja?" Secara tiba-tiba gelaran itu membawa sesuatu perasaan yang sangat aku kenali, menghantar getaran keseluruh tubuhku.
"Argh, aku rasa gatal betul nak hempuk kepala kau tu kuat-kuat, biar hilang manja kau tu!" kata Raizhan lagi sambil menyentak lengannya sekali lagi.
"Hoi, Raizhan... kau pun agak-agaklah. Mulut kau dah serupa loji kumbahan, kau tahu?" kata Nikho spontan tak berlapik-lapik.
"Ada aku peduli? Aku benci melihat Arash terus jadi orang yang lemah macam tu!" jawab Raizhan sambil merengus. Dia meronta sekali lagi. Aku panik bila tombak yang menyokong tubuhnya mahu tercabut.
Aku menghela nafas tertahan sambil mengelap saki baki-air mata. Bertenang, Arash...
"Tak mengapa Nikho. Aku tak kesah. Lagipun, abang aku memang panggil aku budak manja pun..." Aku tersenyum pada kata-kataku sendiri.
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...