"Lu pekak? Wa kata, lepaskan budak tu."
Aku mendengar suara orang lain. Kedengaran dingin, tegas dan selamba.
"Lu siapa mau mengarah wa? Muka lu mau pecahkah?!" bentak remaja lelaki yang menahan kepalaku.
"Maaflah, bro. Wa bukan cari pasal. Wa minta lu lepaskan budak tu saja. Apa susah?" kata suara itu bersahaja. "Wa tau lu stress. Tapi janganlah tempias pada orang lain. Bukan lu seorang saja rimas. Semua! Sebab kita semua dapat sial yang sama."
Aku cuba membuka mata. Tapi, pandangan mataku kabur. Apa yang dapat aku lihat, ada seorang remaja lelaki lain yang berbadan tinggi, besar dan tegap. Dia sedang berdiri tidak jauh dariku. Tapi, aku tak dapat melihat wajahnya dalam kesuraman Dome itu.
"Kalau kami tak mau, lu mau buat apa?" balas remaja lelaki yang duduk di atas kedua belah kakiku.
"Lu mau cara baik atau cara kasar?" dia balas balik dengan soalan.
"Lu memang mau mampus!" bentak orang yang menindih tanganku.
Serentak, keempat-empat remaja pembuli itu menyerangnya. Aku yang bebas ditinggalkan sendiri segera bingkas bangun. Bulatan itu segera membesar apabila semakin ramai yang berundur ke belakang, seolah-olah memberikan ruang gelanggang kepada lima remaja itu untuk berkelahi.
Aku pula masih di situ, terpaku. Dia yang menyelamatkan aku berdiri tenang walaupun dia sudah dikepung tiga orang pembuliku itu tadi.
"Serang!!!" Empat orang menyerang serentak.
"Buk, bak, buk!"
Dia menahan dan membalas setiap tumbukan yang ditujukan kepadanya dengan mudah. Apabila kakinya cuba dilibas, dengan pantas dia melompat dan berpusing di udara lalu menghadiahkan tendangan pada belakang penyerangnya itu.
"Buk!"
"Argh!!"
Seorang sudah tumbang, berguling-guling dan mengerang menahan kesakitan. Melihatkan kawan mereka sudah dikerjakan, mereka bertambah berang.
Dengan amarah yang tidak terkawal, serangan mereka bertiga menjadi membabi buta. Emosi yang tidak stabil malah menyebabkan mereka hilang pertimbangan. Peluang emas itu diambil dan sepantas kilat dua tumbukan padu singgah pada perut mereka berdua laju yang seorang lagi diterajang.
"Arghh!" jerit mereka bertiga serentak. Mereka terduduk, senak perut kerana bisa kekuatan impak serangan itu.
"Jangan salahkan wa. Lu sendiri pilih cara kasar. Lain kali jangan kacau budak itu atau sesiapa pun lagi, faham?" katanya sambil menuding ke arahku. Aku terkejut dan sedar semua orang memandang aku.
"Faham tak?!" sergahnya.
"Fa... faham!"
Dia bangun lalu berjalan ke arahku. "Woi, budak. Lu okeykah?"
Aku mengangguk laju. Dia menghulurkan tangannya. Sebaik sahaja aku sambut, aku ditarik sampai berdiri.
"Te... terima kasih," kataku perlahan.
Dia cuma mengangguk sambil memandang sekeliling. Kemudian dia memegang pergelangan tanganku lalu berkata, "Baik kita blah dari sini. Tak aman, bro."
Dan aku diheretnya. "Eh, pergi ke mana?" tanyaku sedikit panik.
"Ikut sajalah..." Langkahnya laju menuju ke bahagian kanan Dome itu.
Mungkin kerana melihat pertarungannya sebelum ini, semua orang gerun kepadanya. Semua orang segera berundur untuk memberi laluan kepada kami.
Dia membawaku sampai ke dinding Dome. Dinding dome itu terdapat bentuk trapezium sekata bersaiz gergasi yang separuhnya timbul dan separuhnya tenggelam pada permukaan yang rata. Bahagian satah condongnya yang timbul pada dinding rata dome itu pula boleh dipanjat untuk naik hampir ke atap. Cukup lebar untuk dipijak.
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...