Kejadian aneh mula berlaku seminggu selepas tu. Sepetang itu aku langsung tak menjangka apa-apa yang di luar jangkaan akan berlaku.
Aku dan abang menjalani rutin kami seperti biasa tanpa gangguan. Pagi bertukang di bengkel, tengahari rehat untuk makan dan tidur, petangnya sambung kerja sampailah lewat petang.
Lewat petang itu, macam biasa aku akan serbu bilik air dulu sementara abang pasang televisyen, bersantai menonton berita. Aku tak tahan dengan badan yang masam melekit!
Dari dalam bilik air, aku dapat dengar abang kuatkan suara televisyen. Macam sengaja suruh aku mendengar sekali. Ah, pedulilah! Aku membuka aliran air pancur lebih kuat untuk meredam suara bising di luar.
Aku menutup mata, menikmati butiran air yang sejuk mengenai wajahku. Segar! Terasa bagai semua kepenatan pada setiap sel ototku dibawa aliran air.
Aku fikir aku sudah mandi agak lama, lebih dari had masa sepatutnya. Tapi, tak ada pula abang menggegar pintu bilik air, menggesa aku cepat keluar macam biasa. Aku masuk ke bilik tidurku untuk mengganti baju.
Ketika aku keluar dari bilik, abang rupanya masih di depan televisyen. Dia berpeluk tubuh. Dahinya berkerut dan matanya merenung skrin dengan. Serius betul.
"Apa yang menarik?" Aku duduk sebelah abang sambil mengelap rambut yang basah dengan tuala. Abang menoleh dengan wajah keruh.
"Entahlah. Sesuatu terjadi di Rionzess. Remaja belasan tahun merusuh."
"Huh?! Biar betul?" Aku segera duduk di sebelah abang. Tapi, aku tidak sempat melihat siaran berita yang dikatakannya. Pembaca berita sudah melaporkan berita lain.
"Abang pun tidak percaya. Tapi, remaja-remaja tu dikatakan mengalami mutasi sebab meteor hari tu. Mereka tiba-tiba...mempunyai kuasa luar biasa?" kata abang dengan sangsi.
Serentak itu aku ketawa terbahak-bahak. "Kuasa? Takkan abang nak percaya? Mengarut! Abang terlebih tengok filem fiksyen sainslah ni!"
Abang menumbuk bahuku. Aku mengaduh kesakitan dalam saki-baki ketawa. Abang mendengus kasar. Dia merendahkan suara televisyen.
Sambil mendesah dia berkata, "Bukan itu masalahnya. Sekumpulan remaja yang kononnya termutasi itu mengamuk dan cetuskan huru-hara di Rionzess. Gara-gara itu, sekarang kerajaan pusat bertindak menahan semua remaja, seperti kamu! Katanya untuk mengesan siapa yang termutasi." Abang menekan perkataan 'semua' sambil menolak kepalaku.
Aku menjauhkan kepalaku dari terus ditujalnya sebagai tanda protes.
"Tapi, abang tak percaya ia semudah itu," gumam abang. "Lagi abang takut kalau mereka pun menahan Arash..."
Aku senyum kelat mendengar kata-kata abang. "Abang jangan risaulah. Cuba tengok muka Arash yang kacak ni. Ada tanda-tanda jadi raksasa ke, manusia super ke? Tak ada, kan? Arash sihatlah! Paranoidlah abang ni!"
"Siapa kata tak ada?Ada. Muka kamu ada iras-iras bumper kereta hibrid. Tu, yang remuk berkarat di bengkel," kata abang lantas ketawa.
Aku ketawa juga sambil penumbukku laju terbang ke rusuknya. Abang sempat mengelak lalu segera berlari masuk ke bilik air untuk mandi.
Melihat kelibatnya menghilang aku tersengih sendiri. Aku tak faham kenapa abang takut sangat pasal berita tu. Dahlah televisyen kuno ini mencuri sambungan saluran penyiaran dari Rionzess. Belum tentu berita itu betul.
Aku matikan televisyen lalu berbaring, merenung kipas yang berputar perlahan. Aku sempat termenung memikirkan kembali kata-kata abang. Aku tak mahu terlalu memikirkannya sebenarnya.
Tapi, kalau betul remaja sebayaku di Rionzess termutasi lalu memiliki kuasa luar biasa, bagaimana pula aku? Aku terkena gelombang cahaya semasa meteor itu jatuh. Masih terbayang jelas dalam layar ingatanku peristiwa pada malam itu.
Aku tak memberitahu abang. Tak penting pun. Selain pening kepala pada keesokan harinya, aku kembali sihat macam biasa.
Sementara itu, di Rionzess, seluruh penduduk dalam bulatan benteng gergasi itu kecoh dengan meteor itu. Selama seminggu, media Rionzess asyik meliput benda yang sama.
Kami berdua langsung tak peduli. Aku dan abang tenggelam dalam keasyikan kami menyiapkan prototaip reka cipta kami yang terbaru. Bagi kami, itu bukan urusan kami.
Tapi, bagaimana kalau aku termutasi juga? Cuak aku dibuatnya.
Ah, mengarut! Tiada apa-apa pun berlaku padaku. Sihat saja, elok saja?
Ketika aku asyik berkhayal itu, tanpa aku sedar barang-barang ringan di sekelilingku terapung-apung.
"Arash!!!"
Aku tersentak.
Aku bingkas bangun dari pembaringan. Sesaat kemudian, aku mendengar barang-barang jatuh dan pecah.
Abang terkaku melihat aku dengan mata terbeliak. Nafasku tersekat di kerongkong melihat barang bertaburan di sekitarku. Apa yang telah terjadi?!
"Kamu...termutasi!"
[679 words]
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...