Dieon

1.4K 236 42
                                    

Dan dia berhenti di situ.

Aku tahan nafas sambil mendongak ke atas. Salah satu pisau kecil itu sudah aku genggam menghala ke atas, bersedia kalau-kalau ada kepala yang menjenguk ke dalam gua ini.

Elyssa tutup mata sambil kemam bibir. Aku nampak badannya menggeletar hebat.
Aku pula sampai merasa degupan jantungku sendiri, kedengaran bingit di telingaku seperti bunyi gendang perang.

'Sedia, Arash... dia akan muncul bila-bila masa,' aku mengingatkan diriku sendiri.

"Srak...Sraak...srak..."

Aku mendengar lagi bunyi dedaunan kering diheret kaki yang melangkah.

Dia semakin dekat...

Semakin kuat genggaman tanganku. Dia akan datang dalam...

Satu...

Dua...

"Argh!" Terdengar jeritan kuat tanpa diduga. Tersentak aku dibuatnya. Laju tangan Elyssa menggenggam hujung bajuku, ketakutan.

Sesaat kemudian, kami mendengar esak tangis, halus. Lama-kelamaan semakin kuat.
Aku dan Elyssa saling berpandangan.

"Si...siapa yang menangis?" bisik Elyssa. Aku angkat bahu.
Perlahan-lahan kami berdua menjenguk ke luar gua.

Di sebalik batang pokok yang tumbuh tidak jauh dari pintu gua, kami nampak sesorang sedang duduk menyandar membelakangi kami.

Aku tak nampak orangnya dengan jelas. Tetapi, mengagak dari bentuk badannya yang kecil dan suaranya, aku tahu dia seorang budak lelaki. Mungkin lebih muda daripadaku.

Lupa, semua remaja Rionzess yang berumur 11 sehingga 19 tahun ada di dalam dunia VR ini. Kami sama-sama memasuki dunia VR ini atas nama menjalani ujian mengesan Meteoris. Jadi terdapat 9 golongan mengikut kelompok umur dalam kalangan pemain.

Elyssa merenung aku. Matanya yang redup itu kemudian beralih kepada sesusuk tubuh yang sedang menyandar pada pokok itu, masih menangis.

Aku faham maksud pandangannya itu. Perlahan-lahan aku memanjat batu besar yang menutupi pintu gua. Elyssa mengekori aku rapat, memegang hujung jaketku.

Kami melangkah perlahan-lahan, takut-takut mengejutkan budak itu.

Baru hendak menegurnya, tiba-tiba kakiku terpijak ranting.

"Prakk!"

Bunyinya yang kuat buatkan aku terkejut.

"Siapa?!" Budak lelaki itu segera bingkas bangun.

"Shingg!"

Tidak semena-semena, hujung pedang yang tajam dihunuskan tepat ke arah wajahku.

"Gwaahh!" Jeritku kerana terkejut. Spontan aku melompat ke belakang, berundur.

"Ahh!" Elyssa menjerit, terperanjat dengan tindakanku yang tidak dijangkakan itu.

Sepantas kilat aku menariknya ke belakangku. Tangan kiri aku depangkan, sementara tangan kananku mengacukan pisau kecil yang aku pegang sejak tadi.

"Siapa kau, hah?!" Bentak budak lelaki itu kasar. Dia menggenggam erat pedangnya yang tajam berkilat dengan kedua-dua belah tangannya. Matanya yang merah dan masih berbaki air mata merenung aku tajam. Setajam haiwan pemangsa yang ingin menerkam.

Dia maju selangkah ke hadapan, membuatkan aku terpaksa berundur dua tiga langkah kebelakang.

"A... adik, bertenang! Kami takkan mencederakan kamu! Tu... turunkan pedang tu," Kataku sedikit panik.

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now