Dome

1.7K 237 17
                                    

"Keluar, keluar!" Suara kasar seorang lelaki dewasa menyambut aku di pintu kontena itu.

Masih buta kerana tersilau cahaya, aku mengengsot keluar. Mungkin kerana tidak sabar, ada seseorang menghidupkan gari tanganku. Gari yang sederhana besar itu berkelip-kelip lalu terbang keluar, mengheret aku sekali.

"Ahh!!" aku menjerit ketakutan. Sekelip mata aku berada di luar kontena, tergantung-gantung tanpa tali di udara. Aku membuka mata perlahan-lahan, dan mendapati aku dikelilingi tentera-tentera dewasa yang sedang mengetawakan aku.

"Aku suka betul tengok reaksi muka budak ni. Lawak gila!"

"Hahaha... Tadi punya tunjuk berani. Penakut juga rupanya."

Aku getap bibir mendengar ejekan mereka semua. Sabar, Arash... Sabar. Aku sedar aku bukan siapa-siapa sekarang. Melawan hanya akan timbulkan masalah. Aku tak mahu timbulkan masalah supaya aku boleh balik cepat.

Kapten Zilgaf diam sambil menayangkan senyuman sinis kepadaku. Aku nampak tangannya memegang alat kawalan jauh yang bersaiz kecil. Dia rupanya!

 "Lepaskan saya!" bentakku. Aku meronta-ronta, cuba melepaskan diri. Semakin aku meronta, semakin sakit pergelangan tanganku. Aku memandang ke atas.
   
Okey, tiada guna aku meronta. Gari yang mengikat tanganku ialah jenis gari yang kuat. Cukup kuat sampai mampu membawa terbang seorang banduan yang beratnya hampir 90 kg. Aku yang bertubuh kurus dan kecil ini macam kapas saja kalau dibandingkan.

Macam aku katakan tadi, gari ini buatkan aku macam patung marionet. Kapten Zilgaf yang memegang alat kawalan jauh gari ini boleh buat apa sahaja yang dia mahu padaku. Dia boleh menerbangkan aku tinggi-tinggi, menghempas aku ke tanah atau membanting aku ke dinding bangunan besar di hadapanku.

Jadi...tak guna kalau aku melawan.

Kapten Zilgaf memandang aku sambil menyeluk sakunya. Dia berkata, "Kau nak minta kena lepaskan? Boleh. Tapi dalam Dome sana. Kau remaja terakhir yang dibawa ke pusat penghimpunan remaja-remaja seluruh Rionzess ini. Jadi, aku rasa mereka di dalam sana betul-betul tak sabar nak jumpa kau."

Belum sempat aku membuka mulut, Kapten Zilgaf didatangi seorang pegawai tentera. Pegawai tentera itu berbisik kepada Kapten Zilgaf sambil menyerahkan satu alat bersaiz kecil kepada atasannya itu.

"Jangan risau. Aku tahu apa aku nak buat," kata Kapten Zilgaf sambil memasang alat itu ke telinganya. Kemudian, ada satu dawai halus keluar dari hujung alat itu sehingga menyentuh hujung bibir lelaki itu.

"Mari gerak," katanya kepada pasukannya. Dia memandang aku lalu menyambung, "Semoga berjaya hadapi 'kawan-kawan' kau di dalam sana."

"Apa maksud Kapten?"

"Kau tahu sendiri." balasnya sambil membelakangi aku. Dia mula berjalan menuju ke pintu masuk bangunan gergasi yang dipanggilnya sebagai Dome.

Aku mendongak dan melihat satu bangunan yang berkubah besar berwarna perak. Aku menganga. Binaan berbentuk hemisfera itu betul-betul besar! Kalau seluruh remaja Rionzess ada di dalam situ, aku memang boleh percaya tanpa ragu.

Perlahan-lahan, gari yang menggantung aku di udara mula bergerak ke hadapan pada aras yang sama, mengekori Kapten Zilgaf.

Semakin aku mendekati pintu gerbang Dome yang gagah itu, aku semakin rasa berdebar. Apa yang akan menanti aku di dalam? Dan lebih penting, apa maksud kata-kata Kapten Zilgaf tadi?

Pintu Dome automatik terbuka. Di dalamnya aku hanya nampak kegelapan. Kapten Zilgaf menunggu aku di muka pintu. Sebaik sahaja gari itu menerbangkan aku sebelahnya, pintu ditutup.

 Keadaan agak gelap di dalam. Apa yang aku nampak dalam dewan gergasi itu ialah selautan remaja-remaja yang sedang duduk rapat-rapat dan ada juga yang sedang berbaring.

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now