Abang segera menerpa aku. Aku pula masih tergamam dengan apa yang telah berlaku.
Buku, nat besi, bola, lampu meja, botol plastik, figura dawai abang dan banyak lagi barang-barang yang kecil bertaburan membentuk bulatan di sekeliling aku.
Aku menggosok mataku berkali-kali. Mahu berapa kali pun aku pejam celik mataku, barang-barang itu sudah berada di situ dan bukan tempat asalnya. Apa yang sudah berlaku sebenarnya?
"Arash, kamu tidak apa-apa?" suara abang tenggelam timbul di telingaku. Tumpuanku masih melayang.
"Arash!" Aku tersentak dek herdikan abang."Abang... A-apa yang dah terjadi pada Arash?!" Aku mulai panik.
Kepanikan membuatkan aku mulai bernafas laju. Dadaku mulai sesak kerana tarikan nafasku yang tidak teratur. Tapi, aku sendiri tak dapat kawal!
Abang menggetap bibir. Dia memandang barang-barang yang bertaburan sementara aku memeluk lutut ketakutan.
Oh tidak... Apa yang sudah terjadi kepada aku...?!
Apa yang sudah terjadi pada aku? Jangan-jangan..."Ikut abang!" Tidak semena-mena, abang menarik aku keluar rumah. Aku nyaris tersembam sekali dua mengekori langkahnya yang tergesa-gesa. Dia mengheret aku sampai ke bangsal tempat kerja kami. Aku tiada pilihan lain selain cuba mengejar langkahnya yang panjang.
Jarak bangsal dari rumah kami cuma dalam 30 langkah. Bangsal itu berada di bahagian tenggara dari rumah kami. Sekejap sahaja kami berdua sudah sampai di hadapan pintu.
Dari luar, bangsal kami tampak lapuk, kusam dan kuno kerana terbuat dari aloi dan simen, sedangkan bangunan-bangunan di Rionzess terbuat dari bahan yang lebih kuat dan futuristik. Abang melalukan matanya pada retinal scanner versi lama untuk membuka pintu."Abang, sakit!" Rintihku.
Abang tidak mendengar. Dia terus mengheret aku masuk sebaik sahaja pintu terbuka. Kami melewati barang elektrik rosak milik pelanggan, tumpukan besi buruk dan ruang kerja kami. Abang akhirnya berhenti setelah membawa aku masuk ke pejabat arwah ayah.
"Apa abang nak buat ni?!" rungutku. Abang masih tak membalas. Wajahnya tampak begitu serius. Pegangannya juga masih kukuh mencengkam pergelangan tanganku.
Aku mulai takut dengan tingkah abang. Dia tak pernah melayan aku begini!
Ketika abang mengunci pintu pejabat, aku cemas memandang pejabat ayah. Kami jarang-jarang masuk ke ruangan ini.
Kalau penduduk Rionzess masuk, mereka akan menganggap tempat ini sebagai muzium. Pejabat ayah penuh dengan alatan elektrik antik dan perabot kayu. Sedangkan, kini perabot kayu sudah diharamkan dan diganti dengan bahan sintetik.
Tapi, kenapa abang tiba-tiba bawa aku ke sini?
"Abang!" jeritku. Kali ini barulah jeritanku dapat menyedarkan abang. Dia segera mengendurkan cengkaman tangannya pada pergelangan tanganku. Wajahnya terbayang perasaan bersalah.
"Maafkan abang. Ki-kita kena masuk dulu. Kita tidak boleh bincang di sini." katanya perlahan. Dia menguak permaidani dengan kakinya. Kemudian, dia membuka satu lagi panel kayu segi empat yang kecil pada lantai kayu itu. Ada skrin sesentuh di dalamnya.
Abang melekapkan tangannya pada skrin itu dan terbukalah satu pintu rahsia menuju ke bawah tanah.
Aku tunduk memandang pintu yang sedang ternganga luas. Abang mengisyaratkan aku untuk masuk.
Dengan pertanyaan yang masih menyesakkan kepala, aku melompat masuk barulah diikuti oleh abang.
Sebaik sahaja kaki kami mendarat di atas lantai putih,
serta-merta lampu automatik terpasang dan menyerlahkan ruang serba putih yang canggih. Tiada siapa akan menyangka kami memiliki ruang sebegini memandangkan tersembunyi dalam bangunan yang agak kuno.Aku terus duduk di atas kerusi yang terdekat dengan hati yang mendongkol. Abang terburu-buru menutup pintu ruang rahsia ini.
"Apa kita kena buat Arash? Habislah kalau kerajaan pusat sampai tau tentang kamu! Apa kita kena buat?" Abang mundar-mandir gelisah di depanku.
"Abang!" bentakku.
Abang terkejut. Aku terkedu. Spontan aku menekup mulut. Alamak, aku sudah terkasar bahasa pada abangku!
"Maaf... Tapi, janganlah mundar-mandir begitu. Abang menakutkan Arash..." gumamku perlahan.
Aku mendengar desah abang. Kami diam sementara menenangkan diri. Aku harap abang tak terasa dengan oktaf suaraku sebentar tadi.
"Kuasa!" Abang tiba-tiba menjerit. Dia mengoyangkan bahuku. ''Kuasa kamu tadi. Kamu membuatkan barang-barang terapung-apung, kan? Jangan-jangan kamu ada telekinesis!"
Aku meronta melepaskan diri cengkaman abang. "Telekinesis? Kuasa minda separa sedar yang abang pernah cerita dulu?"
Abang angguk dengan laju. Aku mengusutkan rambutku.
"Tapi abang... takkanlah radiasi meteor itu dapat membangkitkan kuasa itu? Mustahil! Apa yang berlaku pada Arash sebenarnya?"
Abang menggetap gigi. Dia menyuak rambutnya ke belakang. Keningnya berkerut lagi, menandakan dia sedang berfikir.
"Takkanlah... takkanlah Arash ter-termutasi juga?" tanyaku tersekat-sekat.
Abang menggeleng, tanda dia juga tidak tahu. Serentak, aku terus menyembamkan muka dalam lipatan tangan di atas meja.
Aku mendengar abang menarik kerusi dan duduk di sebelahku. Tangannya menepuk-nepuk belakangku perlahan.
Dia berkata, "Abang ada satu teori tentang ini. Sebelum tu kita kena pastikan betul atau tidak dakwaan Rionzess tentang remaja yang tiba-tiba ada kuasa luar biasa itu kerana termutasi. Kita kena jalankan eksperimen ke atas kamu. Kita kena buktikan teori abang ni."
Aku terus tegak semula mendengar abang mengatakan perkataan 'eksperimen'. Mataku terbeliak memandang abang. Telunjukku spontan menunjuk diri sendiri. Abang mengangguk penuh keseriusan.
Aku? Eksperimen?!
[798 Words]
YOU ARE READING
𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒
Science Fiction[◇□Pemenang Wattys Awards 2017 untuk kategori Pengkarya Kreatif□◇] ARASH cuma mahu jadi normal dan hidup normal dengan abangnya EIZHAM, di luar Kota Metropolitan Rionzess. Hanya itu! Namun, segalanya berubah dalam satu malam. Arash ternampak sebuah...