"Sabar nak.. jangan marah-marah macam ini. Kalau awak marah pun bukannya ingatan awak boleh pulih semula sekelip mata kan?" Pujuk Pak Haji yang kaget dengan tindakan gadis itu.
"Saya minta maaf pakcik, makcik" Tertunduk segan gadis itu atas teguran yang diberikan.
"Mak Hajah.. awak bawa gadis ini pergi ke bilik mandi dan bantu bersihkan badannya. Pasal baju.. awak bagilah dia pakai baju anak bongsu kita itu dulu"
Mak Hajah hanya menurut arahan yang dikeluarkan suaminya. Perlahan-lahan lengan gadis itu dipapah lalu berjalan menuju ke bilik air yang terletak jauh di bahagian belakang rumah.
Sementara Pak Haji menunggu mereka berdua, sempatlah dia mencuri masa sedikit untuk menegakkan badan. Sungguh kes yang menimpa gadis ini membawanya ke jalan buntu. Semakin difikirkan semakin berdenyut-denyut kepalanya mencari jalan keluar.
Langkah diatur menuju ke kerusi kayu di ruang tamu lalu punggung dilabuhkan ke atas bantal yang menjadi alas rangka kerusi kayu usang yang telah dibelinya hampir 15 tahun yang lalu.
Tiba-tiba, nama Pak Mat terlintas di dalam fikirannya. Pak Mat merupakan ketua kampung di Kampung Ayer yang terletak betul-betul bersebelahan dengan kampungnya. Kedua-dua buah kampung hanya dipisahkan sebuah jalan raya antara ladang kelapa sawit Pak Haji dan Pak Mat. Untuk maklumat semua, di ladang kelapa sawit milik Pak Haji lah lokasi gadis malang itu dijumpai.
"Eii.. jauh termenung abang?". Pak Haji yang kaget dengan sergahan Mak Hajah segera mengusap lembut dadanya.
"Ish awak ni! Nasiblah saya ni tiada sakit jantung tau, kalau tidak sudah lama saya arwah tahu tak? Percuma sahaja awak dapat gelaran janda". Balas Pak Haji yang disusuli dengan tawa kecil.
Mak Hajah yang geram dengan usikan Pak Haji tadi dengan berbesar hati menghadiahkan satu cubitan 'ketam' pada lengan suaminya. Itulah! Siapa suruh bergurau macam itu? Fikir lawak ke suamiku oi?
"Okey sudah.. sudah.. abang mengalah. Mak Hajah menang ya". Ucap Pak Haji sambil mengangkat kedua belah tangan tanda mengalah.
"Ha.. tahu pun! Ni lupa pula saya nak bagitahu, gadis tu dah siap mandi. Apa kita nak buat dengannya lepas ni?".
"Itulah saya pun tak tahu.. apa kata kita cuba hubungi Pak Mat ketua kampung sebelah, manalah tahu dia ada buah fikiran yang dapat disumbangkan kepada kita. Betul tak Mak Hajah?"
Mak Hajah hanya mengangguk tanda setuju dengan cadangan yang diujarkan oleh suaminya. Lantas, Pak Haji menapak keluar dari rumah untuk memanaskan enjin keretanya sementara menunggu Mak Hajah dan gadis itu bersiap-siap
___________________________________
Enjin kereta dimatikan sejurus tiba di perkarangan rumah Pak Mat yang penuh dengan pokok rambutan. Telan air liur Pak Haji melihat buah rambutan yang bergentel di hujung dahan pokok. Almaklumlah, sekarang ini sedang musim buah maka lagaklah buah beranak pinak sehingga di setiap hujung jalan pasti ada sahaja penjual buah yang membuka khemah menjual buah.
Pak Haji dan Mak Hajah lantas keluar dari kereta meninggalkan gadis asing itu yang masih terpinga-pinga. Dia keliru dengan persekitaran yang masih asing bagi dirinya. Ke mana pula Pak Haji ini bawa aku ya?
"Assalamualaikum Mat!". Seru Pak Haji di depan pintu rumah sambil mengetuk tangannya kuat pada daun pintu kayu rumah Pak Mat.
"Waalaikummussalam! Eh Pak Haji? Apa hajat kau datang ke rumah aku ni?". Ujar Pak Mat yang kaget dengan kehadiran Pak Haji yang jarang sekali berkunjunh ke rumahnya.
Pak Haji masih kekal diam tanpa bicara. Sementara itu, kelihatan Mak Hajah perlahan-lahan memapah gadis malang itu keluar dari perut kereta.
Tersedak Pak Mat melihat keadaan gadis itu yang cedera teruk. Dengan wajahnya yang dipenuhi calar-balar, kakinya yang terhencut-hencut. Namun.. ada suatu hal lagi yang bermain di kotak mindanya iaitu siapakah gadis itu? Dan mengapa Pak Haji membawanya ke sini dari kampung sebelah?
"Ya Allah.. macam mana boleh jadi begini?". Ucap Pak Mat yang simpati dengan keadaan fizikal gadis itu.
Dengan pantas kaki Pak Mat menuruni anak tangga rumah kayunya itu. Nama Mak Mah diseru supaya dapat membantu Mak Hajah memapah gadis itu masuk ke dalam rumah.
Seusai sahaja semua tiba di ruang tamu, Pak Mat menarik lengan Pak Haji menuju ke luar rumah. Lagaknya amat serius bagaikan ada masalah besar yang harus diselesaikan.
"Siapa perempuan tu? Isteri muda kau ke?!". Soal Pak Mat berbisik.
Mendengar soalan merepek yang keluar dari mulut Pak Mat itu, secara spontan tangan Pak Haji mengetuk kepala Pak Mat yang botak licin itu.
"Ish kau ni! Takkanlah isteri aku. Perempuan tu aku jumpa dekat ladang. Keadaannya jauh lagi teruk daripada itu semasa aku menjumpainya. Sekarang ini pun elok sikit kerana aku sudah minta isteriku membersihkan dia"
"Oh begitu.. tapi yang peliknya, macam mana dia boleh jadi begitu dan dari mana asal usulnya?". Soal Pak Mat yang masih ragu-ragu.
Bahu diangkat serentak kanan dan kiri tanda Pak Haji benar-benar tidak tahu akan asal usul gadis tersebut. Apa yang dia tahu hanyalah gadis itu cedera kerana punca yang masih belum dia ketahui. Mungkin.. dia lari dari penculik kot?
"Macam mana aku nak tahu? Jenuh aku mencari kad pengenalan ataupun telefonnya tapi tak jumpa". Balas Pak Haji sambil dahinya berkerut-kerut.
"Mana kau jumpa gadis itu?". Soal Pak Mat yang semakin serius dengan perbincangan ini.
"Dekat hujung ladang aku. Kenapa?"
Pak Mat terdiam. Jawapan yang keluar dari mulut Pak Haji benar-benar membuatnya keliru. Dia merasakan bahawa ada sebuah ikatan yang masih belum terungkai antara lelaki yang ditemuinya dan gadis yang ditemui oleh Pak Mat. Adakah ini kebetulan atau pun.. kenyataan?
YOU ARE READING
Coretan Takdir Kita
Teen FictionMencinta itu bukannya mudah. Melupakan cinta itu amat memeritkan. Kenapa engkau perlu hadir di saat aku sudah kikis memori kita yang dahulu? Kenapa kau perlu tanam semula bunga di taman yang lelah aku hancurkan dulu?