Pagi itu, aku perasan Razif bangun awal sedikit daripada kebiasaannya. Selepas Subuh, dia terus memakai t-shirt polo berwarna hitam dan seluar khakis berwarna krim. Aku yang ketika itu baru selesai mandi pantas terbau haruman Dolce and Gabbana yang disembur ke seluruh tubuhnya.
"Awal bangun?"
Dia hanya tersenyum dengan teguranku.
"Sayang nak ikut?"
"Tak apalah kut. Saya rasa nak duduk rumah je."
Dia mengangguk-anggukkan kepala. Pelik. Biasanya kalau dia hendak kemana-mana sahajapun, pasti dia akan mengajak aku mengikutnya bersama. Tapi tidak hari ini. Dia tidak nampak beriya memujuk aku. Memanglah kami baru berkahwin sebulan tapi macam pelik sahaja perkara itu. Mungkin dia ada urusan hospital agaknya.
Pagi itu, Kak Puji memasakkan kami berdua mihun goreng Singapore dan air teh susu. Kami bersarapan terlebih dahulu sebelum Razif keluar.
"Abang nak pergi mana?"
"Hospital Sentosa."
"Tengok Rizal?"
"Pembetulan. Ambik Rizal balik. Kan I dah cerita yang dia dah boleh bebas dah sekarang. So I nak pergi ambik dialah."
"Oh, okey..."
"Tukar fikiran?"
"Tak kut. Saya macam tak sedia lagi nak jumpa dia. Abang pergi seorang jelah kut."
"Apa pulak macam tu? Dia nak duduk dengan kita jugak nanti, sayang."
Aku tak sangka pula Razif serius dengan kebenaran aku untuk membenarkan Rizal tinggal sekali dengan kami. Aku tidaklah sepenuhnya membenarkan tapi... entahlah.
"Sayang..." Tegurannya menyentakkan aku daripada terus mengelamun. "Fikir apa jauh sangat tu?"
"Oh, takde apa."
"Sayang tak suka eh kalau Rizal duduk dengan kita sekali?"
Aku serba salah. Aku terperangkap antara untuk berkata 'ya' ataupun 'tidak' kepada dia. Aku tahu itu adiknya tapi apabila memikirkan yang adiknya itu merupakan bekas pesakit mental, secara tidak sedar aku telah menjadi skeptikal. Bagaimana kalau adiknya itu masih lagi sakit dan mencetuskan kekecohan di sini nanti? Aku memikirkan segalanya mengenai itu.
"Sayang, dia adik abang tau. Abang kena jaga dia sebab kami berdua dah takde mak ayah dah. Sayang pun sama kan. So abang harap sayang faham."
Sampai di situ, aku mati kata. Tidak ada hujah yang lebih baik lagi untuk aku membidas apa yang dikatakan oleh Razif itu. Aku sepatutnya lebih bersifat terbuka dalam hidup berkongsi. Perkahwinan itu kan salah satu bentuk perkongsian.
"Saya okey je. Abang ambik jelah dia."
"Thank you, sayang. Malam ni, sayang tak payah masaklah. Cakap dengan Kak Puji sekali. Kita makan luar, okey."
"Abang tak kerja eh hari ni?" Baru aku teringat hendak bertanyakan soalan itu kepadanya.
Dia menggeleng.
Selepas habis makan, dia mengambil kunci keretanya seraya aku menghantarnya ke muka pintu. Ketika itu, sekali lagi aku dilanda rasa serba-salah. Tapi aku tidak menyuarakan apa-apa kepada Razif.
Aku menyalami tangannya dan dia masuk ke dalam kereta. Beberapa saat kemudian, kereta yang dipandunya mula hilang dari pandangan. Aku masuk ke dalam rumah semula.
Masa yang ada aku luangkan dengan mengemas sedikit rumah tersebut. Aku bukan mengemas sangat, lebih kepada mengubah sedikit dekorasi yang sedia ada dalam rumah tersebut. Kebanyakan barangan perabot dalam rumah ini bermotifkan vintaj jadi aku merasakan mesti Datin Rita ni dahulu seorang yang gemar akan benda yang klasik.
YOU ARE READING
BabyRizal
Tajemnica / Thriller"Ada sesuatu yang sangat pelik dengan Rizal dan aku tahu hal ini dari awal Razif membawanya pulang dari Hospital Mental Sentosa itu lagi. Suamiku mati di tangannya, ibu bapanya juga dan mungkin juga arwah isterinya dahulu. Dan aku tahu, giliranku ak...