MATA Tengku Syed Adam terpaku pada dada Harian Metro. Dahlia Arissa yang sedang menuang air susu ke dalam gelas memandang sekilas suaminya. Pasti ada berita yang menarik perhatian suaminya itu.
"Ada berita menarik ke?" Tanya Tan Sri Mokhtar mendahului Dahlia Arissa yang ingin bertanyakan soalan yang sama.
"Akisyah..."
Dahlia Arissa tersentak tatkala mendengar nama itu meniti di bibir Tengku Syed Adam. Nama yang pernah meragut kebahagiaannya suatu ketika dahulu. Kenapa pulak dengan Akisyah? Soal hati kecilnya.
"Kenapa dengan dia?" Soal Tan Sri Mokhtar lagi.
Tengku Syed Adam tidak menjawab tetapi dia menghulurkan surat khabar itu kepada bapa mertuanya. Pantas surat khabar itu bertukar tangan.
"Akisyah Nabilah koma akibat kemalangan jalan raya..." Tan Sri Mokhtar membaca tajuk utama berita itu.
Tengku Syed Adam menyambut pinggan yang diisi nasi goreng yang dihulur oleh Dahlia Arissa. Dahi Dahlia Arissa kelihatan berkerut seribu. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.
"Lia nak pergi tengok keadaan dialah." Tiba-tiba Dahlia Arissa bersuara. Tengku Syed Adam memandang tepat wajah isterinya itu.
"Tiba-tiba je sayang nak jumpa dia?" Tengku Syed Adam bertanya. Dia diterpa kehairanan. Setahunya Dahlia Arissa sudah banyak kali mengelak daripada bertemu dengan model yang meningkat naik itu. Mimpi apa pulak dia ni nak jumpa perempuan tu? Masa Akisyah datang dekat spa pun dia dah merungut panjang. Ni alih-alih nak jumpa pulak, ujar Tengku Syed Adam di dalam hati.
"Papa rasa eloklah kau orang berdua pergi tengok keadaan dia," cadang Tan Sri Mokhtar pula. Kemaafan itu lebih penting daripada sebuah dendam.
Dahlia Arissa menguntum senyum kepada papanya. Gerak hati orang tua sememangnya sukar dijangka. Akhirnya Tengku Syed Adam hanya mengangguk. Sebenarnya dia masih mendendami Akisyah Nabilah. Gadis itulah yang membuatkan dia dan Dahlia Arissa terpisah lama. Dan perempuan itu jugalah yang membuat perangkap sehingga dirinya ditangkap khalwat sebelum majlis pertunangannya dulu.
Puan Sri Melati, Dato' Mukriz dan Amir Haikal yang baru turun untuk bersarapan pagi menyapa mereka bertiga. Manakala Datin Melor berehat di dalam bilik. Kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.
DAHLIA ARISSA memandang dari cermin luar yang memisahkan mereka dengan Akisyah Nabilah yang kritikal itu. Tanpa dipinta, perasaan belasnya kepada Akisyah Nabilah tiba-tiba meruntun jiwa.
Tengku Syed Adam memaut lembut bahu Dahlia Arissa dan diusap perlahan. Hati Tengku Syed Adam pula seolah-olah beku. Keadaan Akisyah Nabilah seakan-akan tidak memberi kesan kepadanya.
"Assalamualaikum..." Sapa satu suara. Pasangan suami iateri itu segera berpaling. Kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan lima puluhan tersenyum tawar kepada mereka berdua. Tengku Syed Adam mengenali lelaki tua kerana mereka pernah bertemu di mahkamah berkaitan kes khalwatnya.
"Waalaikumussalam," sambut Dahlia Arissa dan Tengku Syed Adam serentak.
"Dia ni mesti isteri kamu, kan?" Orang tua itu memandang Dahlia Arissa setelah soalan itu dilontarkan kepada Tengku Syed Adam. Tengku Syed Adam hanya mengangguk.
"Uncle ni siapa ya?" Tanya Dahlia Arissa. Dia memang tidak kenal dengan lelaki itu.
"Uncle ni papa Akisyah." Tengku Syed Adam pula menjawab.
Dahlia Arissa sekadar mengangguk.
"Uncle nak minta maaf setelah apa yang Kisyah pernah buat dekat kamu berdua." Orang tua yang tidak diketahui namanya itu melangkah menuju ke kerusi yang berhampiran lalu melabuhkan punggung di situ. Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa turut mengambil tempat di sebelah orang tua itu.
"Kisyah memang betul-betul kecewakan uncle. Anak yang uncle didik dengan ilmu dunia dan akhirat itu sanggup membelakangkan ayah dengan ibu dia sendiri. Bila dia dah popular, dia makin lupa diri. Semua gosip mengenai dia betul semuanya. Kecuali kes dia dengan kamu tu, Adam." Luah lelaki itu tanpa berselindung. Dia tidak berniat membuka aib anaknya sendiri, tetapi dia perlu berterus-terang agar pasangan suami isteri itu tahu kedudukan sebenar dan sekaligus dapat memafkan anaknya.
"Tapi kenapa saya yang dijadikan mangsa?" Tengku Syed Adam bertanya tanda tidak berpuas hati.
Dahlia Arissa menggenggam erat jari-jemari suaminya. Tidak mahu Tengku Syed Adam bercakap mengikut perasaan. Tambahan di hadapan mereka merupakan orang tua yang patut dihormati. Itu pesanan mama dan papanya yang dipegang sehingga hari kini.
"Akisyah sudah lama buru lelaki macam kamu, Adam. Seorang lelaki muda, punya rupa, ada harta dan punya perangai yang baik. Dia kenal kamu waktu dia mendapat jemputan pada majlis amal anjuran sebuah syarikat pengiklanan. Kamu pun hadir sama ibu kamu. Sejak itulah Kisyah nekad nak dapatkan segala maklumat tentang kamu," sedangkan saat itu dia dia sedang hangat bercinta dengan suami orang lain, keluh orang tua itu.
Tengku Syed Adam hanya mendiamkan diri. Macamlah tak ada orang lelaki lain dalam Malaysia ni! Bentak hati kecilnya. Namun dia perasan isterinya seperti teruja hendak mendengar cerita daripada bapa Akisyah Nabilah itu.
"Tak lama lepas tu dia ternampak kamu memapah seorang rakan kamu dan kebetulan tempat tu merupakan tempat tinggal Kisyah. Ketika tulah niat jahatnya bermula. Dengan bakat yang dia ada, kamu amat mudah tertipu. Dan akhirnya kamu berdua ditangkap hasil aduan Kisyah sendiri yang menelefon Jabatan Agama Islam."
"Kisyah ceritakan semua ni dekat uncle?" Tanya Dahlia Arissa sekadar ingin tahu. Orang tua itu mengangguk perlahan.
Tengku Syed Adam memicit dahinya. Kepalanya terasa sakit. Peristiwa lama datang kembali. Sakit hatinya apabila mengenangkan dia terpaksa turun naik mahkamah dan yang paling membuatkan dia nanar apabila Dahlia Arissa membawa diri selama beberapa tahun akibat kejadian itu.
"Tapi sehari sebelum kemalangan tu berlaku, dia ada minta pergi cari kamu berdua. Dia cakap dia nak minta maaf atas kesilapan dia. Mungkin masa tu kesedaran hadir dalam hidup dia. Lagipun sebelum ni walaupun dia banyak menghabiskan harta lelaki-lelaki kaya dan hidup sebagai perempuan simpanan, tetapi dia tak pernah rasa bersalah atas perbuatannya. Cuma...."
"Cuma apa?" Ternyata Dahlia Arissa tidak sabar mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
"Cuma dia berasa terkilan sebab menjadi orang ketiga dalam hubungan kamu berdua walaupun secara tak sengaja. Sebab dia tahu kamu berdua saling mencintai dan isteri kamu ni tak pernah menyerang dia dengan kata-kata kesat seperti yang pernah dilakukan oleh perempuan lain yang merupakan isteri atau kekasih kepada lelaki yang pernah Kisyah dampingi."
Dahlia Arissa menarik nafas panjang. Cerita orang tua itu menyebabkan dia berdiri lalu memandang semula Akisyah Nabilah yang terlantar kaku itu.
Ya, dia memang sakit hati dengan apa yang terjadi. Sehingga luka lama masih terasa peritnya. Tambahan kejadian itu berlaku pada hari pertunangannya. Tetapi apabila memandang keadaan Akisyah Nabilah itu, serta-merta perasaannya menjadi sayu. Kemaafan sudahpun diberi sebelum dia mendengar cerita orang tua yang mengaku dirinya papa Akisyah Nabilah itu. Entah, dia sendiri tidak tahu kenapa dia masih lagi boleh memaafkan orang yang pernah menghancurkan impiannya suatu ketika dahulu.
"Uncle harap kamu berdua maafkanlah dia," pinta orang tua itu dengan nada yang mengharap. Tanpa menunggu kata-kata daripada pasangan suami isteri itu, orang tua itu sudah pun masuk ke dalam bilik anaknya ditempatkan.
"Lia dah maafkan dia, abang." Beritahu Dahlia Arissa sewaktu menghampiri suaminya. Tengku Syed Adam meraup wajahnya.
"Sebab dia, abang hampir kehilangan sayang, sebab dia jugak sayang larikan diri daripada abang, sebab dia..."
"Sebab dia jugak kita dipertemukan semula sehingga membentuk satu ikatan yang penuh kasih sayang ini, abang. Kisyah tu hanya penyebab kita tak jadi bertunang. Jika kita dah ditakdirkan tak bertunang, tanpa kehadiran Kisyah pun kita tetap tak akan bertunang. Itu takdir Allah, abang." Tulus sekali Dahlia Arissa menutur bicara. Sememangnya pengalaman mematangkan seseorang.
"Bagi abang masa," itu sahaja yang mampu keluar daripada mulut Tengku Syed Adam.
Dahlia Arissa tersenyum. Lantas lengan suaminya dipaut erat.
Vote pls readers :((
YOU ARE READING
C | BAD LIAR [✔] + COMPLETED
Художественная проза~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~•~ ∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶∆¶ Penipuan, perayuan, keinginan... Semua menjadi satu. "Yes, Memang abang rindu Lia. Rindu sangat" ujar Amir Haikal. "You make's problem, such a bad liar. I hate you" "Aku tengok kau bukan...