bab 27

516 30 1
                                    

BALIK sahaja dari spa, Dahlia Arissa terus mengemas bilik tetamu. Esok mama dan papanya akan pulang ke Malaysia dan kedua-dua orang tua Amir Haikal turut pulang sekali. Dia pasti orang tua abang sepupunya itu akan bermalam di rumah mereka. Setelah siap mengemas, dia ke dapur pula. Makan malam perlu di siapkan kerana Tengku Syed Adam akan balik dari pejabat.

Sedang dia leka menumis rencah asam pedas ikan pari, dia terdengar suara Tengku Syed Adam memberi salam. Seperti selalu dia akan menyambut kepulangan suaminya.

"Sayang masak apa kat daput tu? Sampai ke pejabat lagi abang dah bau dah masakan sayang tu," tanya Tengku Syed Adam sambil menyambut tangan Dahlia Arissa untuk disalami. Dahlia Arissa mencium tangan Tengku Syed Adam sebelum Tengku Syed Adam mencium dahi isterinya pula. Begitulah mereka berdua sejak berkahwin. Walaupun mereka belum menjadi suami isteri dalam erti kata yang sebenar, tetapi Dahlia Arissa tidak pernah membelakangkan Tengku Syed Adam, malah dia sentiasa menghormati suaminya itu.

"Melampau sangatlah tu kalau dah sampai pejabat you boleh hidu semua ni," balas Dahlia Arissa lalu berlalu ke dapur. Takut masakannya hangit.

Tengku Syed Adam mengikut langkah isterinya. Tekaknya juga terasa haus. Dia menuju ke peti ais. Air 100 Plus botol besar di ambil lalu dia mencapai cawan dan menuangkannya. Kemudian minuman yang berada di tangannya itu diteguk dengan rakus.

"Kejap tadi ibu call abang, dia ajak kita dinner malam esok," beritahu Tengku Syed Adam. Teringat dia akan panggilan telefon daripada ibunya sebentar tadi.

"Tapi esokkan mama dengan papa nak balik. Macam mana ya?" Tanya Dahlia Arissa sambil tangannya memasukkan ikan pari ke dalam tumisan tadi. Teratur sahaja gerak-gerinya. Nampak sangat dia sudah biasa memasak.

"Ya tak ya jugak, kan? Abang boleh lupa pulak!"

"Tak pun you ajak jelah ibu dengan abah makan malam dekat sini," cadang Dahlia Arissa.

"Elok sangatlah tu."

Dahlia Arissa hanya tersenyum lalu meneruskan semula kerjanya. Sementara menunggu asam pedas itu masak, dia sempat memotong terung bersama kangkung untuk dimasak goreng belacan serta sayur kailan untuk dibuat kailan ikan masin. Tambahan pula itu merupakan menu kegemaran Tengku Syed Adam.

"Abang tak sangka yang sayang ni tangkas dekat dapur. Macam nak bersilat je abang tengok."

"Tu satu pujian ke atau perlian?" Dahlia Arissa sempat menjeling suaminya.

Tengku Syed Adam ketawa. Makin di pandangnya Dahlia Arissa, makin menggebu kasih sayangnya terhadap isterinya itu. "Abang puji. Ikhlas lagi ni."

"Erm, dahlah pergi mandi. Kejap lagi kita makan." Arah Dahlia Arissa.

Tengku Syed Adam mengangguk. Sebelum naik ke tingkat atas, sempat lagi dia mencium pipi isterinya. Kalau tak main curi macam ni, tak dapatlah nak merasa.

"You!!!" Melantun tinggi suara Dahlia Arissa di dapur rumah mewah itu.

Tengku Syed Adam sudah pun berlari-lari anak sambil ketawa.












SELEPAS solat isyak berjemaah, Tengku Syed Adam membuka TV yang terdapat di dalam bilik mereka itu. Selalunya dia dan Dahlia Arissa lebih suka menonton di ruang tamu utama di tingkat paling bawah walaupun di tingkat dua dan tiga rumah itu mempunyai ruang tamunya sendiri. Dahlia Arissa yang sedang melipat sejadah hanya memerhati suaminya.

"Tak turun bawah ke?" Tanya Dahlia Arissa sedikit hairan. Tengku Syed Adam yang duduk di sofa hanya menggeleng. Dahlia Arissa menuju ke birai katil lalu berbaring. Telefon bimbit Tengku Syed Adam berbunyi nyaring. Tanpa menunggu lama, dia sudah pun menjawab panggilan tersebut.

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now