bab 76

441 15 0
                                    

QIRAH mendukung Tengku Syed Muiz yang semakin gebu tubuhnya itu. Kate pula sibuk mengambil gambar Tengku Syed Muiz dari pelbagai sudut. Sesekali tergelak besar dua orang gadis itu bila Tengku Syed Muiz seolah-olah mengerti yang gambarnya sedang dirakamkan. Siap senyum segala.

"Budak-budak sekarang dah makin advanced, kan? Tak sampai setahun pun dah tahu ambik gambar," ujar Qirah.

Dahlia Arissa yang sejak tadi duduk di buaian yang ada di laman rumahnya itu hanya tersenyum. Sesekali Kate menyasarkan kamera kepadanya.

"Kau ni kan Lia, makin lama makin cantik je aku tengok," puji Kate setelah dia melihat gambar temannya itu melalui kamera yang sejak tadi ada di tangannya.

"Sebab tu ramai yang cemburu dengan kau. Hah! Baru aku teringat, Damia dah discharge, kan? Anak dia meninggalkan?" tanya Qirah bertalu-talu.

Dahlia Arissa mengesotkan sedikit punggungnya untuk memberi ruang kepada Qirah duduk. Manakala Kate lebih suka duduk di kerusi berbentuk batu yang ada di sebelah buaian itu.

"Dengar cerita macam tulah. Sampai hati Abang Khalil buat Damia macam tu," keluh Dahlia Arissa. Dia sendiri terkejut dengan berita kematian anak Damia.

"Tapi kenapa Khalil marah sangat dekat dia tu?" soal Kate ingin tahu. Setahunya Khalil Asyraf dan Damia berkawan baik.

"Entahlah, aku pun tak tahu sangat. Cuma, apa yang aku tahu daripada Kak Puteri, Abang Khalil pergi cari Damia selepas Kak Puteri minta diceraikan. Abang Khalil ingatkan Damia yang bukak mulut pada Kak Puteri tentang dia dengan Damia. Tapi, yang sebenarnya aku dengan Syahfina yang ceritakan pada Kak Puteri. Aku tak sampai hati nak sorokkan benda ni daripada dia. Dan terbaru, Kak Puteri dapat tahu pulak tentang penglibatan Abang Khalil dalam kes kemalangan arwah Akisyah. Kau orang pun tahukan, kes arwah dibaca semula dan Abang Khalil dah pun jadi buruan polis," terang Dahlia Arissa.

Mereka berdua hanya menganggukkan kepala. Berita itu sudah pun tersebar luas sejak minggu lepas lagi. Tengku Syed Adam antara saksi yang telah pun pergi ke balai untuk membantu siasatan.

"Kau kena hati-hati, Lia. Kita tak tahu tindakan yang macam Khalil tu," pesan Kate. Dia sendiri naik geram mengenangkan status Khalil Asyraf yang sudah menjadi buruan polis itu. Orang macam itu, apa-apa sahaja boleh dilakukannya, kata Kate di dalam hati.

"Yalah, aku tahu. Eh, jom masuk dalam. Aku macam tercium bau pisang goreng je ni," ajak Dahlia Arissa.

Mereka bertiga beriringan masuk ke dalam rumah sambil bergelak tawa penuh ceria.















"TAK pe ke sayang bawak Muiz jumpa doktor sorang-sorang ni?" tanya Tengku Syed Adam sambil membetulkan tali leher.

Setiap bulan Tengku Syed Muiz akan diperiksa oleh doktor yang sudah pun dipilih awal-awal oleh Tengku Syed Adam sebelum anaknya itu lahir ke dunia lagi. Dia mahu anaknya mendapat tempat pemeriksaan dan rawatan yang terbaik. Dahlia Arissa yang sedang mengemaskan kedudukan tudung di kepala hanya mengangguk. Sebelum ini, bukan tidak pernah pun dia membawa Tengku Syed Muiz berjumpa doktor seorang diri.

"Kalau ada apa-apa nanti, call abang terus tau!" pesan Tengku Syed Adam yang sudah pun memusingkan tubuh isterinya agar berdepan dengannya.

"Okey bos," jawab Dahlia Arissa.

Tengku Syed Adam sudah pun menilik penampilan isterinya dari atas hingga ke bawah. Dahlia arissa nampak santai baju lengan panjang berwarna merah darah dan dipadankan dengan palazo berwarna putih. Tudung berwarna merah cair itu menyerlahkan lagi seri di wajah isterinya itu. Tengku Syed Adam mendehem beberapa kali.

"Sayang kalau nak keluar rumah nanti ingat satu benda penting tau!" Serius sahaja suara Tengku Syed Adam. Dahlia Arissa yang sedang mengatur kedudukan tali leher dan kolar baju suaminya itu sedah pun mengangkat kening.

"Nak ingat apa?" tanya Dahlia Arissa. Dia juga sudah berjangkit dengan nada suaminya. Serius.

"Ingat yang sayang ni dah jadi isteri orang. Mama pada si comel Muiz tu. Bukan apa, abang tengok sayang ni dah macam anak dara je. Ni yang buatkan abang susah hati nak lepaskan sayang sorang-sorang," balas Tengku Syed Adam. Masih serius. Tidak ada sedikit pun nada dan raut mukanya menunjukkan dia bergurau. Dahlia Arissa menyentuh pipi suaminya.

"Lia akan ingat semua tu. Insya-Allah," janji Dahlia Arissa.

Tengku Syed Adam sudah pun tersenyum lebar. Dahi dan pipi isterinya dikucup sebelum beralih ke katil di mana Tengku Syed Muiz sudah pun lengkap berpakaian kemas untuk ke klinik.

"Hari ni Muiz pergi check berat badan tau. Harap-harap naik sikit. Sebab papa tengok Muiz dah kurang makan dah. Asyik nak main je. Lagi satu, kalau jalan dengan mama, jaga mama elok-elok tau! Kalau ada orang nak usha mama, Muiz bagitahu papa tau. Nanti boleh papa bagi pelempang dekat dia. Yalah, siapa suruh dia gatal sangat kacau mama Muiz, kan? Lagipun mama Muiz tu khas untuk papa sorang je." Bersungguh Tengku Syed Adam berbicara dengan anaknya. Seolah-olah Tengku Syed Muiz mengerti setiap butir bicaranya itu.

Dahlia Arissa pula sudah pun sembunyi senyum. Terasa indah sahaja pada pagi itu bila teringat semula kata-kata Tengku Syed Adam sebentar tadi. Nampak bersahaja tetapi penuh makna buat dirinya.














SEBAIK sahaja selesai pertemuan dengan doktor, Dahlia Arissa membawa Tengku Syed Muiz ke kereta. Senang hatinya bila doktor mengatakan anaknya itu sihat. Berat badan pun naik sedikit. Lafaz syukur bergema di dalam hatinya.

"Seronok nampak?" tegur satu suara dari belakang.

Dahlia Arissa pantas menoleh. Damia sudah pun tersenyum sinis dan paling mengejutkan Damia mengajukan sebilah pisau tajam kepadanya. Pisau yang dilindungkan di sebalik tudung yang dipakai oleh Damia itu membuatkan orang lain tidak perasan Dahlia Arissa sebenarnya sedang diancam bahaya.

"Apa kena dengan Damia ni?" soal Dahlia Arissa sambil menjauhkan sesikit kedudukannya dari Damia. Tengku Syed Muiz dipeluk erat. Takut anaknya diapa-apakan.

"Aku dah gila sekarang ni, Lia. Aku dah gila. Jadi bila aku dah gila, aku rasa macam nak bunuh orang je dan orang tu adalah kau!" bisik Damia perlahan.

Hujung pisau itu sudah pun berada betul-betul di hadapan perut Dahlia Arissa. Dadanya berombak ganas. Dia takut pisau itu akan menusuk tubuhnya dan paling menakutkan kalau pisau itu terkena anaknya.

"Please, Mia. Jangan buat macam ni..." Dahlia Arissa merayu. Tidak mahu mati sia-sia di tangan Damia.

Damia sudah pun tergelak. Tetapi tidak lama sebelum matanya jatuh pada Tengku Syed Muiz yang terlena dalam di dalam pelukan Dahlia Arissa. Bayangan arwah anaknya mula menerpa masuk ke seluruh ruang fikirannya.

"Aku nak anak ni," pinta Damia tiba-tiba.

Hampir pengsan Dahlia Arissa apabila mendengar permintaan Damia. Air matanya mula gugur satu persatu. Manusia yang sibuk dengan diri sendiri tidak menghiraukan Damia dan Dahlia Arissa di situ. Tambahan keadaan Damia tidak mencurigakan kerana bekas madu Dahlia Arissa itu lengkap berbaju kurung dan bertudung litup.

"Please Mia..."

Tanpa diduga pisau ditangan Damia terkena tangan Dahlia Arissa membuatkan pelukan terhadap Tengku Syed Muiz mula melonggar. Darah mula menitis. Saat itu juga Damia menerkam Tengku Syed Muiz.

"Jangan Mia!"

"Kalau kau nak anak kau selamat, kau serahkan Adam pada aku. Dan kalau kau kau berani report polis, aku akan pastikan anak kau akan jadi mayat terlebih dulu!" ugut Damia lantas berlalu.

Saat itu juga bergema tangisan Tengku Syed Muiz, Dahlia Arissa sudah rebah ke bumi.













TAMAT...

Jangan lupa vote :)))

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now