bab 45

464 22 0
                                    

SUDAH tiga minggu Puan Sri Melati meninggalkan mereka semua dan selama tiga minggu itu jugalah Tengku Najihah berulang-alik ke rumah keluarga Dahlia Arissa. Itu semua untuk memantau menantunya yang masih dalam pantang sekali gus melihat cucunya.

Datin Melur turut menemani Dahlia Arissa di situ. Walaupun kakaknya sudah tiada, tetapi itu tidak bermakna dia tidak boleh ke situ lagi. Tambahan Tan Sri Mokhtar amat mengalu-alukan dia dan suaminya duduk di rumah mereka sehingga Dahlia Arissa habis berpantang. Sekurang-kurangnya mereka ada di rumah itu tidak terlalu merasa 'kehilangan'.

"Abang, Lia kesian pulak tengok ibu ulang-alik ke sini setiap hari," luah Dahlia Arissa sambil menyarung stoking di kakinya. Tengku Syed Adam yang sedang menatap kertas kerja di meja tulis segera mengalih pandangannya pada Dahlia Arissa.

"Dah itu yang ibu nak. Kalau kita tak bagi dia datang sini, entah apa pulak kata ibu nanti."

"Apa kata abang bincang dengan ibu. Abang cakap dengan ibu yang dia tak payah datang sini selalu sangat. Lepas tu abang cakaplah lepas habis pantang nanti kita stay lama sikit dekat rumah ibu," cadang Dahlia Arissa.

Tengku Syed Adam mengeluh berat. Tiba-tiba sahaja dia teringat akan Damia yang sudah lama duduk di rumah keluarganya sejak peristiwa gadis itu dihalau oleh mamanya sendiri. Walaupun Damia tidak pernah mengganggunya lagi, tetapi dia masih tidak berasa selesa dengan kehadiran gadis itu. Matanya berkalih semula pada Dahlia Arissa yang sedang membetulkan kedudukan Tengku Syed Muiz yang sedang lena dalam tidurnya setelah menyusu sebentar tadi.

"Nantilah abang cakap kat ibu. Sayang tidur tau, tak payah tunggu abang. Abang masih ada kerja nak buat sebab esok nak submit semua dokumen ni kat abah." Lembut sahaja suara Tengku Syed Adam.

Selalunya dia akan membuat kerja di dalam bilik bacaan. Tetapi apabila mengenangkan isterinya masih belum sihat sepenuhnya membuatkan dia mengambil keputusan untuk membuat kerja di dalam bilik mereka sahaja.

Dahlia Arissa mengangguk lalu merebahkan kepalanya di bantal. Matanya ditutup rapat. Namun matanya terbuka semula apabila ada tangan mengelus lembut pipinya. Tengku Syed Adam sudah pun tersenyum di sebelah kanannya. Tubuhnya yang sasa itu direbahkan betul-betul di sebelah Dahlia Arissa. Tangannya dilingkari tubuh Dahlia Arissa lalu mencuit pipi anaknya yang berada di sebelah kiri isterinya itu.

"Isy, abang ni. Muiz baru nak tidur," marah Dahlia Arissa sambil menepis lembut tangan suaminya. Tengku Syed Adam sudah pun tersengih.

"Dah, pergi buat kerja abang. Lia nak tidur ni," sambung Dahlia Arissa lagi apabila melihat suaminya tidak menunjukkan sebarang reaksi untuk menyambung kerja.

"Rindu pulak dekat sayang ni," bisik Tengku Syed Adam.

"Lia kat depan mata pun rindu lagi ke?" tanya Dahlia Arissa sambil menjeling suaminya.

"Kalau dah rindu tu tak kira depan mata ke belakang mata ke, tetap rindu jugak. Lagipun dah lama tau abang 'puasa'," sakat Tengku Syed Adam. Bulat mata Dahlia Arissa mendengarnya.

"Eee... abang ni, kan!"

Tengku Syed Adam sudah pun ketawa besar. Bibir isterinya dikucup lama sebelum kembali ke meja tulis untuk menyambung kerjanya.

Dahlia Arissa mengetap bibir. Walaupun geram dengan tingkah laku suaminya namun jauh di lubuk hati dia terasa bahagia. Terlalu bahagia. Ma, terima kasih sebab merestui hubungan ni. Semoga mama bahagia dekat sana... doanya di dalam hati.










TENGKU SYED IDRIS mengagah cucunya yang baru mencecah sebulan itu. Sesekali terdengar pula suara Tengku Najihah menyampuk. Riang sahaja pasangan suami isteri itu apabila dapat melayan cucu pertama mereka setelah Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa balik ke rumah mereka empat hari yang lepas.

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now