Datin Zuraidah tersenyum memerhatikan anak saudaranya yang sedang makan dengan berselera itu. Dia tahu nasi ayam memang merupakan makanan kegemaran Ika. Kerana itulah, dia sengaja memasak nasi ayam dalam kuantiti yang banyak untuk lauk makan tengah hari ini. Dia lega apabila melihat anak saudaranya itu betul-betul menikmati nasi ayam yang dimasak olehnya.
"Macam mana? Sedap tak nasi ayam yang Mak Long buat ni?" tanya Datin Zuraidah kepada anak saudaranya itu dengan suara yang lembut.
"Sedap sangat, Mak Long. Masakan Mak Long memang semuanya sedap-sedap." jawab Ika sambil tersenyum menunjukkan ibu jari tangannya tanda suka dengan masakan ibu saudaranya itu.
"Kalau macam tu, tambahlah lagi nasi tu... Tak payah malu-malu. Nasi ayam kan memang favourite Ika. Mak Long suka bila tengok Ika makan dengan berselera macam ni." Datin Zuraidah menyuruh Ika menambah nasi setelah dia melihat nasi ayam di atas pinggan anak saudaranya itu sudah tinggal sedikit.
"Takpelah, Mak Long. Ni pun dah banyak dah Ika makan. Nanti takut Ika tak dapat habiskan pulak."
"Takkanlah tak boleh habiskan. Ika kan kuat makan." Ashraf yang sedang mengunyah nasi tiba-tiba sahaja bersuara, mencelah perbualan antara Ika dan mamanya.
"Ash! Apa cakap macam tu?! Tak baik tau." marah Datin Zuraidah kepada anaknya itu.
"Betullah apa yang Ash cakap, mama. Ash bukannya nak kutuk dia. Tapi selalunya, dia ni memang kuat makan pun. Normallah tu, bila orang yang badan chubby macam dia ni kuat makan." jawab Ashraf selamba. Dia sudah malas lagi hendak berpura-pura melayan Ika dengan baik di hadapan mamanya.
"Ash!!!" tengking Datin Zuraidah kepada Ashraf. Dia sungguh geram mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut anaknya itu.
"Takpe, Mak Long. Betullah apa yang Ash cakap tu. Selalunya, Ika ni memang kuat makan. Selalu makan bertambah. Cuma sekarang, Ika betul-betul dah kenyang. Sebab tulah, Ika tak nak tambah nasi lagi." ucap Ika lembut, cuba menenangkan ibu saudaranya yang sedang menahan kemarahan itu. Tidak dinafikan, Ika juga turut berasa marah dengan kata-kata sepupunya itu. Tetapi, dia tidak mahu membesar-besarkan hal ini. Biarlah Ashraf mahu berkata apa-apa sahaja tentang dirinya, dia tidak kisah. Yang penting, dia tidak mahu merosakkan hubungan antara ibu dan anak itu.
"Mama dengar sendiri kan apa yang dia cakap? Dia sendiri mengaku, memang dia kuat makan. Dahlah, Ash dah kenyang. Ash masuk bilik dulu." Ashraf segera bangun dari duduknya lalu terus beredar meninggalkan meja makan itu. Dia sudah hilang selera untuk menghabiskan makanannya. Daripada dia harus cemburu melihat layanan istimewa mamanya itu terhadap Ika, lebih baik dia tidur sahaja di dalam biliknya.
"Mak Jah tengoklah Ash tu... Apahal entah tiba-tiba buat perangai macam tu..." Datin Zuraidah meluahkan kekesalannya terhadap sikap anaknya itu kepada Mak Jah.
"Sabar ya, Datin... Mungkin mood dia tak berapa baik hari ni.." balas Mak Jah, cuba menenangkan majikannya itu.
"Dahlah sesuka hati dia jek cakap Ika macam tu... Ika, Mak Long minta maaf ya bagi pihak Ash... Ika jangan ambil hati tau dengan apa yang Ash cakap tu. Dia tu, kalau tengah bad mood, memang suka cakap benda-benda yang merepek." Datin Zuraidah meminta maaf kepada Ika dengan suara yang lembut.
"Takpe, Mak Long. Ika tak kisah pun.. Ika anggap Ash tu cuma bergurau jek dengan Ika." balas Ika kepada Mak Longnya sambil tersenyum.
"Nasib baiklah Mak Long ada anak sedara yang penyabar macam Ika ni... Selalu sabar dengan perangai Ash yang entah apa-apa tu. Kalau ya pun nak bergurau, tak payahlah sampai macam tu sekali. Takpe, Ika jangan risau ya... Nanti, Mak Long akan cuba nasihatkan dia tu." ujar Datin Zuraidah, cuba untuk menyedapkan hati anak saudaranya itu.
YOU ARE READING
Penjaga Hati
RomanceZaman kanak-kanaknya tidak seperti kanak-kanak yang lain... Dia selalu dihina dan diejek oleh rakan-rakan sebaya disebabkan oleh status dirinya sebagai seorang 'anak luar nikah'. Namun, Syafikah Balqis tetap tabah menjalani hidupnya yang penuh deng...