T8: HIDUPKAN WATAK

375 82 140
                                    

Assalamualaikum dan selamat petang semua.

Hari ini, saya akan memenuhi pula permintaan daripada requester kedua jijahorkid. Topik yang diminta oleh beliau ini adalah tips penulisan.

Sejujurnya, saya masih belum cukup mahir menulis dan jauh di sudut hati, saya berasa tidak layak untuk memberikan tips ini. Masih ramai lagi penulis di luar sana yang lebih hebat daripada saya.

Namun, demi memenuhi permintaan rakan Wattpader, saya akan memberikan tips berdasarkan kepada cara saya dalam menghidupkan watak ciptaan saya dalam penulisan.

Bismillahirrahmanirrahim.

KAEDAH UNTUK MENJADIKAN WATAK SEOLAH-OLAH HIDUP MENURUT PANDANGAN ANGEL_K20.

Wah, macam tajuk tesis dan artikel jurnal pula tajuknya. Sebenarnya, ketika saya menulis ini, saya baru sahaja selesai menulis sedikit artikel untuk kajian penyelidikan saya.

Saya terpaksa menutup awal laptop dan menghentikan semua kerja kerana ketika ini, saya tidak mampu untuk berfikir hal berat. Pada masa ini juga, saya hanya mampu berbaring sahaja.

Kesihatan saya tidak mengizinkan hari ini. Namun, walaupun badan saya sedang sakit, fikiran saya masih boleh berfikir dan tangan juga masih boleh menaip. Jangan risau. Saya kuat. Alhamdulillah.

Baiklah, ini adalah lima tips yang saya gunakan bagi semua karakter saya.

Tips 1: Kenali Perwatakan Watak.

Sebelum mula menulis, sudah pasti anda sudah merangka apakah jenis perwatakan watak anda. Adakah watak itu berperwatakan tenang, dingin, suka marah, baik, jahat, suka melawan dan lain-lain lagi perwatakan?

Contoh:
Rayyan Razien berumur 30 tahun. Dia seorang yang sangat tenang, berkarisma, cool dan pakar dalam mengatur strategi bagi mengalahkan pihak lawan.

Tips 2: Bayangkan Fizikal Watak.

Anda mahukan watak yang macam mana? Adakah hero itu seorang yang tinggi lampai, berkulit putih, sentiasa berpakaian kemas? Atau, adakah hero anda itu seorang yang suka membunuh? Huraikan ciri-ciri fizikal watak anda mengikut perwatakan yang diingini.

Contoh:
Rayyan Razien berketinggian 180 cm, berkulit cerah dan sentiasa senyum. Dia juga sentiasa memakai pakaian kemas sesuai dengan jawatannya sebagai Pengarah Bahagian Sumber Manusia Campbell Corporation.

Tips 3: Selami Perwatakan Watak.

Setelah anda mengenali perwatakan dan bentuk fizikal watak tersebut, anda perlulah menyelami perwatakan watak tersebut. Cuba tanya diri anda sendiri, apakah perkara yang memacu watak tersebut untuk menjadikannya berperwatakan sedemikian?

Contoh:
Rayyan Razien memegang portfolio penting dalam syarikat pembinaan gergasi Campbell Corporation. Selain daripada jawatannya sebagai pengarah, dia juga ditugaskan oleh Dato' Campbell untuk menjaga CEO syarikat tersebut iaitu Eve Campbell. Oleh kerana dia memegang dua tugas, dia perlu sentiasa tenang dalam menghadapi klien dan juga musuh. Dia juga perlu tenang dalam menghadapi karakter tegas cinta hatinya iaitu Inspektor Hana Mikayla yang merupakan seorang polis undercover di syarikat akhbar Nadi Kota.

Tips 4: Bayangkan Pergerakan Watak.

Apakah yang sedang dilakukan oleh watak anda? Bagaimanakah ekspresi wajah dan lenggok badannya? Cuba anda bayangkan perkara itu sambil menulis.

Contoh:
Melihatkan kepada tindakan Rayyan yang pantas mengelak, menepis dan tidak membalas serangannya sedikit pun, si penyerang mulai naik minyak lantas melakukan serangan bertalu-talu sehabis daya. Namun, sangat malang nasibnya apabila satu serangan pun tidak mengena jejaka itu. Rayyan hanya sekadar mengelak serta sekali sekala menepis serangan dengan relaks dan bersahaja.

Tips 5: Kenal pasti Suasana di Sekeliling Watak.

Apa yang berlaku di kawasan sekitar watak? Apa yang ada di sekeliling watak? Adakah suasana itu sangat tenang seperti berada di dalam perpustakaan? Atau, adakah suasananya sangat hiruk-pikuk seperti di dalam kelab malam? Anda tentukan sendiri suasana latar tempat tersebut.

Contoh:
Akur dengan rancangan Syafiq, Rayyan kemudiannya terus memecut Nissan GT-R 2020nya dengan laju. Pecutan kereta itu menghasilkan efek deruman yang kuat seperti bunyi kereta sedang berlumba di dalam litar. Realitinya, keadaannya sekarang ini pun sudah seperti dalam litar sahaja gamaknya dengan bunyi hon di sana sini diterimanya akibat perbuatannya memotong tidak tentu hala. Di dalam hatinya ketika itu, hanya satu saja pintaannya iaitu janganlah berlaku apa-apa kemalangan jalan raya.

Nota: Semua contoh bagi tips ini adalah daripada karakter RAYYAN RAZIEN, hero saya dalam HELLO, ABANG BODYGUARD! dan HELLO, ABANG BODYGUARD! 2. Jika berkelapangan, jemputlah baca. ❤️

******

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

******

Adalah diingatkan bahawa tips ini hanyalah cara saya dalam membina karakter saya. Cara ini mungkin tidak terpakai bagi penulis lain. Lain penulis, lain caranya. Bak kata pepatah, lain padang lain belalangnya.

Pesan saya, sentiasalah berusaha untuk meningkatkan mutu penulisan dengan cara bertanyakan kepada penulis yang lebih senior, banyakkan membaca buku, dan membuat latihan menulis.

Kejayaan tidak datang dalam masa sehari. Berusaha, sabar dan bertawakallah kepada Allah, semoga Allah mempermudahkan urusan kita.

Ingat, practice make perfect.

Tidak perlu takut untuk mencuba, kerana mencuba itu tidak salah. Belajar daripada kesilapan itu sangat mahal nilainya. Insya-Allah, kemanisan atas usaha kita akan dapat dikecapi setelah jerih payah kita berbalas dengan kejayaan.

Baiklah, setakat ini sahaja coretan saya kali ini. Maaf jika tulisan ini tidak mencapai matlamat yang dipinta.

Semoga berjumpa lagi di lain masa.

Assalamualaikum.

Love,
Angel_k20
We Support Each Other.

24/12/2020
4.30 petang.

ANGEL_K20 MOTIVATIONAL TALKWhere stories live. Discover now