Assalamualaikum semua.
Siapa pernah nampak buku di Wattpad yang bilangan bacaannya sudah berpuluh-puluh ribu, malahan beratus-ratus ribu, bahkan ada yang mencapai jutaan bacaan?
Wah, hebatnya buku ini!
Melihatkan kepada angka tersebut, sudah pastilah anda akan terus klik buku tersebut untuk membaca deskripsi (sinopsis atau blurb).
Wah, nampak macam menarik!
Apabila sinopsis ataupun blurb sesebuah buku itu menarik, tambah pula bilangan bacaannya sangatlah tinggi, anda pasti akan terus pergi ke prolog ataupun bab satu buku itu.
Maka, di sinilah semuanya bermula...
KENAPA TATABAHASA BERTERABUR TETAPI BUKU MENDAPAT SAMBUTAN?
Bertenang semuanya, jangan marah-marah. Sabar, kerana sabar itu separuh daripada iman. Bersangka baiklah pada si penulis ya semua, jangan terburu-buru menghentamnya.
Saya tahu anda berasa bengang dengan sambutan terhadap buku itu. Kenapalah ayat dalam buku tersebut berterabur, tatabahasa tunggang-langgang, singkatan perkataan berlambak dan lain-lain perkara berkaitan bahasa boleh dikatakan 'failed', tetapi buku itu sangat mendapat sambutan.
Anda semua perlu tahu bahawa pembaca dapat dikategorikan kepada dua kategori utama iaitu pembaca yang teliti terhadap bahasa dan yang kedua, hanya kisahkan jalan cerita.
Okeylah. Di sini, suka saya menjelaskan kepada anda semua berkaitan hal ini. Tetapi ingat, ini hanyalah pandangan saya dan mungkin anda semua mempunyai pandangan tersendiri terhadap isu ini.
Faktor-faktor yang menjadikan sesebuah buku popular walaupun bahasa yang digunakannya tidak profesional.
1) Jalan Cerita.
Umum mengetahui, jalan cerita yang menarik mampu menambat perhatian pembaca. Bagi pembaca yang mementingkan jalan cerita, bahasa yang tidak profesional tidak menjadi hal yang besar. Semakin menarik jalan cerita, maka semakin bersemangat mereka untuk membacanya.
2) Isi Kandungan Karya.
Sama ada penulis itu memasukkan nilai murni ataupun nilai buruk dalam karyanya, itu juga menjadi daya penarik untuk membaca buku tersebut. Nilai murni sangat baik untuk kehidupan, namun nilai buruk menjahanamkan kehidupan.
Pembaca yang baik akan membaca karya yang bernilai murni, manakala pembaca yang tidak baik akan membaca karya berjenis buruk. Buruk yang dimaksudkan di sini adalah karya yang memasukkan elemen lucah, seks, hubungan intim sesama sejenis, dan lain-lain lagi elemen erotik.
3) Keramahan Penulis.
Kebanyakan pembaca sukakan penulis yang ramah dan membalas komen-komen mereka. Mereka berasa dihargai dan kehadiran mereka di buku penulis itu dialu-alukan. Jadi, ini juga salah satu faktor kenapa buku tersebut mendapat jumlah bacaan yang tinggi.
4) Masa.
Perkara ini merupakan perkara yang paling penting dalam menilai jumlah bacaan. Sebenarnya, semakin lama buku tersebut berada di dalam Wattpad, semakin tinggilah jumlah bacaannya. Buku lama nak bersaing dengan buku baru dari segi jumlah bacaan memang tidak dapatlah, kecuali kalau buku baru itu betul-betul popular dalam masa yang singkat.
5) Penulis Mempromosikan Karya.
Promosi merupakan perkara penting bagi mengetengahkan buku. Jadi, jangan terkejut kalau melihat jumlah bacaan sesebuah buku itu tinggi walaupun bahasanya agak berterabur.
Ini kerana, penulis itu mungkin berusaha sebaik mungkin untuk memperkenalkan karyanya kepada orang ramai di pelbagai platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, blog, dan pelbagai tempat lagi.
*********
Baiklah, lima perkara tersebut merupakan antara sebab-sebab mengapakah buku mendapat jumlah bacaan yang tinggi walaupun tatabahasa di dalam buku tersebut tidak seperti buku di pasaran. Sebagai pembaca, anda berhak untuk memilih bahan bacaan anda.
Jika anda merupakan seorang pembaca yang sangat teliti serta 'care' terhadap tatabahasa, anda boleh mencari buku yang bagus di dalam Wattpad ini. Ini kerana, di sini juga, terdapat ramai penulis yang mana hasil tulisan mereka setanding dengan penulis novel popular di luar sana.
Wattpad merupakan medan untuk pembaca mencari buku untuk dibaca. Namun, ia juga merupakan medan buat para penulis untuk menulis buku. Tidak kira sama ada mereka penulis baru ataupun lama, platform ini merupakan salah satu tempat untuk meluahkan, menyerlahkan dan mengetengahkan bakat serta berkongsi hasil tulisan dan belajar menulis dengan rakan penulis lain.
Buat rakan penulis, rajin-rajinlah untuk sentiasa memperbaiki mutu hasil tulisan. Kita tidak tahu siapakah pembaca buku kita. Ada rezeki, mana tahu buku anda dipilih oleh penerbit buku untuk dibukukan. Jika itu terjadi, alhamdulillah, syukur pada Allah SWT.
Baiklah setakat ini sahajalah coretan saya kali ini. Sebenarnya, ketika ini, saya baru sahaja selesai menyiapkan instructional video untuk client saya daripada salah sebuah pusat internet di Pahang.
Semoga berjumpa lagi di lain kali.
Salam Jumaat al-Barakah.
Love,
Angel_k20
We support each other.__________________
25 Disember 2020.
5:00 petang.Buat AmirahIrah5 topik permintaan anda sudah dipenuhi. ❤️
YOU ARE READING
ANGEL_K20 MOTIVATIONAL TALK
RandomTIADA DESKRIPSI. Hanya tarian pena Angel_k20 yang menari di atas kertas maya. Selamat datang, gais! Perhatian: Segala tulisan di dalam buku ini adalah olahan ayat saya sendiri tanpa copy paste daripada mana-mana sumber. Terima kasih. Cover: Angel...