Assalamualaikum dan hai semua.
Kembali lagi dalam siaran malam hari ini bersama saya, Angel_k20.
Untuk entri kali ini, saya akan mengupas satu tajuk yang diminta oleh CHRYFAIRY dengan keterangannya:
Banyak novel yang selalu tulis nama watak seperti nama hero atau heroin. Apa pendapat Kak Angel? Sesuai atau tidak untuk letakkan nama pada tajuk buku.
Baiklah. Suka saya ingatkan kepada anda semua bahawa entri ini hanyalah PANDANGAN PERIBADI saya memandangkan requester hanyalah bertanya pendapat.
Anda semua sudah bersedia? Jadi, topik kali ini adalah:
TAJUK BUKU MENGGUNAKAN NAMA WATAK
Seperti yang anda sedia maklum, tajuk buku sangat memainkan peranan penting bagi menarik seseorang untuk membaca sesebuah karya. Tajuk yang biasa, klise, dan hambar tidak akan mampu memacu rasa ingin tahu para pembaca untuk membelek karya tersebut (buku fizikal) dan menekan butang BACA (e-book).
Disebabkan itu, bagi seseorang penulis, tajuk merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian selepas blurb. Tanpa tajuk yang menarik, buku anda akan terus berada di rak buku ataupun kekal di dalam perpustakaan maya.
Bagaimana Cara Mereka Tajuk
Untuk membuat tajuk yang menarik, penulis perlulah memikirkan frasa yang berkaitan dengan isi cerita. Namun, frasa tersebut hendaklah merangkumi keseluruhan plot bermula dari bab satu hinggalah bab akhir.
Jadi, bagaimana caranya membuat tajuk seperti itu? Sebenarnya, ia terpulang kepada penulis itu sendiri untuk mereka tajuk berdasarkan kehendaknya.
Contoh tajuk:
Mr. Hot Itu Boyfriend Aku, Dia Semasam Lemon, Sejadah Cinta, Kiblat Rindu, Roti dan Marjerin, Biskut Coklat Idaman Isteri dan banyak lagi.
*Ps: Tajuk ini hanyalah rekaan spontan.Namun begitu, terdapat tiga lagi teknik lain bagi membuat tajuk tetapi JARANG dilakukan oleh penulis iaitu:
1) Menggunakan nama watak atau sesuatu yang bermakna.
2) Menggunakan petikan dialog ringkas.
3) Menggunakan latar tempat atau masa.Tajuk yang dipilih tidak semestinya perlu terlampau gah, tetapi elakkanlah daripada membuat tajuk yang terlalu biasa. Ini kerana, tajuk yang bersesuaian dengan tema cerita lebih memikat hati pembaca.
Teknik 1: Gunakan Nama Watak Atau Sesuatu Yang Bermakna.
Untuk menggunakan teknik ini, anda perlu memastikan cerita anda betul-betul berkisarkan kepada apa yang terjadi kepada watak atau perkara bermakna yang ditulis sebagai tajuk. Ini bermaksud, kisah berkenaan watak ataupun perkara tersebut perlu lebih menonjol di dalam cerita berbanding dengan watak atau perkara lain.
Jika menggunakan nama watak, anda perlu sentiasa berada di landasan yang betul dengan memberi lebih perhatian terhadap watak tersebut. Oleh itu, anda perlu memberinya lebih banyak 'screen time' dengan menjelaskan siapa dia, apa perangai dia, bagaimana dia menangani konflik, dan lain-lain lagi hal berkenaannya.
Sebagai contoh, saya menggunakan watak FEI YANG sebagai tajuk buku. Maka, semestinya perkara mengenai Fei Yang menjadi top priority saya berbanding dengan watak lain.
Jika menggunakan sesuatu yang bermakna sebagai tajuk pula, anda perlu menjadikan perkara tersebut sebagai prioriti utama. Ia tidak bermaksud anda perlu mengabaikan perkara lain, tetapi jadikanlah ia sebagai fokus utama anda.
Contohnya, saya menggunakan nama kumpulan ZENTRICAL Z5 sebagai tajuk. Di sini, saya menjadikan kisah kumpulan tersebut sebagai perkara utama yang perlu diberi perhatian. Bagaimana ahli kumpulan tersebut berusaha menangani masalah, apa fokus mereka, dan lain-lain hal berkaitan, ia lebih ditonjolkan.
Selain daripada FEI YANG dan ZENTRICAL Z5 RELIK T1, DIA... AARIZ IKTIZAR dan CODE NAME: RYZEN turut menggunakan teknik ini. Saya pasti, ramai juga dalam kalangan anda menggunakan teknik ini sebagai tajuk buku.
Teknik 2: Guna Petikan Dialog Ringkas.
Pernahkan anda melihat tajuk seperti "Mak, adik lapar...", "Tolong curi hatiku, Miaw.", dan "Ayam, datanglah sini." sebagai tajuk buku? Saya menamakan teknik ini sebagai teknik tajuk dialog.
Sebenarnya, amat jarang penulis mengaplikasikan teknik ini di tajuk buku mereka. Bukannya apa, ia agak kurang 'umph!' dek panjang berjela, hambar dan kurang memikat. Namun, tahukah anda bahawa teknik ini juga boleh bertukar menjadi 'umph!' jika kena caranya?
Di sinilah, anda perlu mencari suatu dialog yang tidak panjang dan tidak pendek, bukan klise, dan perlu mantap di antara dialog-dialog di dalam cerita anda. Susah ke? Tak pun, tetapi agak mencabar.
Tajuk buku saya HELLO, ABANG BODYGUARD!, HI, ENCIK PROFESSOR!, dan HEY, YOU MR. VET! menggunakan teknik ini.
Saya tidak pasti bagaimana penerimaan pembaca pada pertama kali melihat tajuk ini. Tetapi pada saya, saya MEMBURU novel yang mempunyai tajuk rare seperti ini. Ia adalah unik!
Teknik 3: Guna Latar Tempat Atau Masa.
Sebenarnya, teknik ini pun lebih kurang dengan teknik satu dan dua. Cuma, latar tempat ataupun masa yang dijadikan tajuk perlu diberikan lebih perhatian dan harus diterangkan dengan lebih terperinci di dalam cerita.
Dengan teknik ini, anda perlulah sentiasa peka dan teliti dengan latar tempat dan masa yang ditulis. Jika tidak, ia akan menjadi perkara yang boleh dipersoalkan oleh pembaca jika ia tidak selari dengan isi cerita yang dikarang.
Sebagai contoh, antara novel fizikal yang menggunakan teknik ini adalah 6.20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Di sini, penulis menekankan angka jam 6.20 sebagai titik pertemuan antara watak-watak yang terlibat.
Saya tidak menggunakan teknik ini di dalam mana-mana novel saya. Ini kerana, pada saya ianya agak mencabar dek ketelitian sangatlah diperlukan.
Pendapat terhadap menggunakan nama watak sebagai tajuk.
Berbalik kepada soalan yang dikemukakan iaitu pendapat terhadap tajuk yang menggunakan nama watak, sejujurnya saya MENYUKAI novel yang bertajuk sedemikian.
Kenapa?
Ianya tidak klise, tidak panjang dan tidak pendek, nampak elegan, unik, berjaya memancing perhatian saya, dan mampu membuatkan saya menekan butang BACA.
Karya Hayden Dhariun mrsweetheart, Aisara Syaf_Asriqa, dan Rose Aurora nrullfatini merupakan antara karya yang menggunakan nama watak sebagai tajuk. Percaya atau tidak, naik saja notifikasi new book, terus saya tekan butang BACA.
Namun begitu, ia bukan bermakna saya tidak menyukai tajuk lain. Saya suka, cuma saya perlu membaca blurb sebelum menekan butang BACA. Bukannya apa, saya sejenis pembaca yang sukakan keunikan.
Jika tajuk tersebut lain daripada yang lain, tanpa berkira saya akan terus membaca bab satu. Jika saya berasakan tajuknya biasa-biasa saja, saya akan membaca blurb terlebih dahulu barulah bab satu.
Pesanan saya buat semua penulis, TAJUK BUKU ANDA ADALAH HAK ANDA. Terpulang kepada diri masing-masing untuk menentukan tajuk kerana SETIAP TASTE PEMBACA ADALAH BERBEZA.
Mungkin ada pembaca yang tidak sukakan tajuk buku anda, namun anda juga perlu tahu yang tajuk tersebut turut disukai oleh pembaca lain. Apa yang penting, jangan putus asa. Teruskan berkarya. 😊
Saya rasa sudah panjang benar entri kali ini. Sebenarnya, saya tidak merancang untuk menulis hari ini. Disebabkan perbincangan saya bersama profesor selesai awal, maka saya mengambil kesempatan rehat untuk menulis di sini.
Baiklah, sehingga bertemu lagi di lain entri. Kepada semua yang membaca, saya mengucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda di sini. Jika ada salah silap, saya memohon sejuta kemaafan.
Sekian.
"We support each other."
Love,
Angel_k20.____________
Isnin.
22 Mac 2021
YOU ARE READING
ANGEL_K20 MOTIVATIONAL TALK
RandomTIADA DESKRIPSI. Hanya tarian pena Angel_k20 yang menari di atas kertas maya. Selamat datang, gais! Perhatian: Segala tulisan di dalam buku ini adalah olahan ayat saya sendiri tanpa copy paste daripada mana-mana sumber. Terima kasih. Cover: Angel...