10 | TASBIH

298 125 12
                                    

"Sadaqallahulazim."

Lembaran nashkah Al-Quran yang diberi oleh abinya, Encik Umar sempena dia mendapat tempat pertama dalam peperiksaan 3 tahun lalu ditutup. Dicium Al-Quran tersebut dengan lembut sebelum dia meletakkannya di atas meja belajar. Walaupun Al-Quran tersebut sudah lama digunakan, namun masih kelihatan seperti baharu lagi.

Sejadah yang digunakan untuk solat maghrib dibiarkan terbuka. Perlahan, lahan dia merebahkan badannya di atas sejadah berwarna hitam keemasan. Tangan diletakkan di atas dahi sambil mata terpejam rapat. Pening yang menyengat kepalanya tadi semakin berkurangan setelah dia menelan beberapa pil ubat sebelum solat maghrib.

Nafas dihela perlahan. Sampai bila dia perlu makan ubat? Dia sendiri pun tidak tahu. Sangkaannya apabila dia menelan ubat-ubatan tersebut, fikiran tentang kejadian yang berlaku pada arwah Uwais semakin menghilang. Namun, masih tetap sama.

"Kalau kau tak lambat masa tu, mesti Uwais dah selamat."

"Semua salah kau, Wajdi!"

"Kau kawan tak guna!"

ARGHH!

Wajdi membuka matanya. Serentak dengan itu dia terus bangun dari pembaringan. Jantung berdegup kencang sehingga menampakkan dadanya turun dan naik. Manik-manik jernih mula kelihatan pada ruas dahinya. Dia menarik dan menghembus nafas berulang kali sambil membaca selawat. Cuba untuk menenangkan dirinya.

Terus dia teringat akan tasbih yang sering dia bawa ke mana sahaja. Dia mencari tasbih putih lutsinar itu di dalam beg sekolah. Tiada. Lantas dia mencari di dalam poket seluar sekolah. Juga tiada. Di dalam bilik juga tiada. Sudah puas dia mencari di seluruh tempat namun masih tasbih itu tidak dijumpai.

"Mana tasbih tu, Ya Allah."

Dia meraup wajahnya dengan kasar. Pemberian paling berharga buatnya hilang. Sungguh dia sayang akan tasbih itu. Pemberian pertama dan terakhir daripada Uwais.

Seketika itu, dia terdengar suara umi memanggil namanya.

"Along! Mari turun, makan. Ajak Angah sekali," kata Puan Qairah. Tangannya lincah menghidangkan lauk-pauk untuk makan malam. Encik Umar, Nek Imah, Waiz, Tareef sudah lama berada di dapur. Hanya tinggal Wajdi dan Wildan sahaja lagi yang masih belum turun.

"Baik, umi," balas Wajdi. Dia berdiri dan berjalan keluar dari biliknya lalu menghala ke bilik Wildan. Aktiviti mencari tasbih terpaksa dihentikan dahulu.

Pintu bilik Wildan diketuk sebelum dia masuk. Kelihatan Wildan sedang khusyuk membuat latihan subjek Matematik Tambahan menggunakan buku latihan miliknya.

"anta mashghul? ( awak sibuk?)," tanya Wajdi. Dia dan Wildan sudah biasa bercakap bahasa Arab di dalam rumah. Lagipun nenek mereka belah ayah, Nek Fatmah keturunan Arab. Sebab itulah muka dia dan adik beradiknya yang lain seperti orang Arab. Hidung mancung, kening lebat dan bulu mata yang lentik. Cuma warna rambut sahaja yang berbeza. Rambut dia dan Wildan berwarna perang, Waiz dan Tareef pula berwarna hitam pekat.

Wajdi berdiri di sebelah Wildan yang sedang khusyuk membuat latihan. Berkerut-kerut dahi Wildan melihat soalan tersebut. Susah betul soalan.

"Na'am. Ana mashghul (ya, saya sibuk)," balas Wildan. Pen ditangan diletakkan di atas meja. Nafas dihela perlahan. Tangan naik mengurut pelipis kepala. Badan disandarkan ke kerusi. Letih dia memerah otak menjawab soalan ini. Baru satu soalan dah putus asa. Macam mana nak jawab exam ni?

Lama sangat dia tidak ke sekolah. Kakinya masih kebas. Sukar untuk berjalan. Tunggu kaki dia sudah betul-betul baik baru dia boleh ke sekolah.

"Wildan, nanti along ajar cara nak jawab soalan tu. Dah, jom. Umi panggil makan," kata Wajdi. Kasihan juga pada Wildan yang perlu belajar sendiri. Dia selalu sibuk sehingga tidak sempat mengajar Wildan.

"Betulkah? Along nak ajar Wildan?" tanya Wildan. Dia memandang Wajdi yang berada di sebelahnya. Mata hazelnya kelihatan bersinar. Teruja dia apabila Wajdi hendak mengajarnya. Wajdi memang bijak dalam subjek Matematik Tambahan dan Matematik Moden. Berbeza dengannya yang lemah dalam subjek yang memerlukan pengiraan.

"Ya, along ajar," balas Wajdi.

"Yay! Jom turun," kata Wildan. Dia terus berdiri lalu memegang bahu Wajdi untuk menampungnya. Kakinya masih berasa kebas. Wajdi akur. Dia memapah Wildan perlahan-lahan sehingga tiba di tingkat bawah.

"Hah, Wajdi, Wildan. Mari duduk," kata Encik Umar.

Wajdi memapah Wildan sehingga Wildan duduk di kerusi. Dia kemudian duduk di kerusi berselahan dengan Waiz. Pinggan kosong dan bekas nasi dicapai. Tangan menyenduk nasi ke pinggannya. Lauk-pauk yang paling hampir dengannya diambil.

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya : "Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu."

[HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]

Semua menadah tangan untuk mengaminkan doa makan. Encik Umar mengetuai bacaan doa makan. Setelah sudah, mereka semua menjamu selera.

****

Naura berbaring di atas katil. Tangan memegang tasbih putih lutsinar kepunyaan Asyqar. Dia terlupa hendak memulangkan tasbih tersebut pada Asyqar. Pasti tuannya sedang mencari tasbih ini.

"Esoklah bagi kat Asyqar," ujarnya sendiri. Tasbih itu diletakkan di sebelah bantalnya.

Jam loceng di atas meja bersebelahan dengan katil dipandang. Pukul 11.00 malam. Sudah lewat. Esok perlu ke sekolah tetapi matanya masih belum mengantuk.

Fikirannya masih teringatkan raut wajah Wajdi yang pucat semasa di sekolah tadi. Pelbagai persoalan muncul di mindanya. Dia tidak sihatkah? Dia sakit apa? Dia okey tak sekarang ni?

Naura, yang kau tiba-tiba fikir pasal dia ni kenapa? Dia tak penting pun. Dah baik tidur.

Baru sahaja dia ingin tidur, tiba-tiba dia teringat sesuatu yang penting.

Kerja sekolah! Macam mana boleh lupa ni!

Naura terus bangun dan menuju ke meja belajar. Dia mengambil buku latihan dan buku teks di dalam beg sekolahnya. Pen dicapai. Dengan secepat mungkin dia menyiapkan kerja sekolah. Dia membuka mata seluas yang boleh. Perasaan mengantuk mula menguasai diri.

Sabar Naura, sikit lagi. Salah kau juga yang lupa. Tangan masih utuh membuat kerja sekolah. Sudah beberapa kali dia menguap menahan mengantuk dari menguasai diri.

Setelah beberapa minit, akhirnya siap juga kerja sekolah yang dibuatnya. Dia menyimpan bukunya ke dalam beg sekolah.

Bilik air dituju. Dia mengambil wuduk sebelum dia naik ke katil.
Memang kebiasaannya dia akan mengambil wuduk sebelum tidur.

Dia melangkah menuju ke katil. Doa sebelum tidur dibaca dan akhirnya dia tertidur.

****

W A J D I - [  وجدي  ] [ OG ]Where stories live. Discover now