28 | LUKA

39 10 46
                                    

Setibanya di penamat, Zulfan memalingkan badannya ke belakang. Dia lantas mengira ahli kumpulannya sama ada cukup atau tidak. Haidar ada. Shaqil ada. Khairul ada. Wildan tiada. Wajdi juga tiada. Dia mengira semula. Tak cukup juga. Macam mana dia boleh tidak perasan Wildan dan Wajdi tiada ketika di dalam hutan tadi?

Haidar yang masih berdiri mula mendekati Zulfan yang seperti berada di dalam dunianya sendiri. Bahu lebar Zulfan ditepuk perlahan. Cuba menyedarkan Zulfan supaya kembali ke alam nyata.

"Anta kenapa, Zulfan?"

Tanpa amaran, tubuh tegap Zulfan melesat mendekati Khairul yang sedang merehatkan badan di atas sebuah batu besar. Belum sempat Khairul menelan tegukan terakhir air mineral yang menyegarkan, kerah bajunya ditarik kasar. Khairul tersentak ke depan.

"Mana Wildan dan Wajdi?" soal Zulfan seraya matanya memandang tepat pada mata Khairul. Khairul yang sedikit rendah terpaksa mendongak.

"Tak tahu."

Khairul menolak kasar lengan Zulfan daripada mencengkam kerah bajunya. Kuat juga cengkaman lelaki ini. Cengkaman Zulfan terlepas namun pandangannya masih tajam menatap Khairul yang memaparkan riak bersahaja. Shaqil dan Haidar yang melihat keadaan tersebut seraya mendekati Khairul dan Zulfan.

"Kenapa ni, Zulfan?" soal Haidar tenang. Pandangannya teralih pada Zulfan dan Khairul berulang kali.

"Wildan dan Wajdi hilang."

"Apa?"

"Hilang."

"Anta biar betul. Tadi dalam hutan elok je ana dengar suara Wildan," ujar Shaqil. Tadi betul-betul telinganya menangkap suara Wildan sedang bercakap dengan Wajdi. Ataupun itu suara orang lain?

"Ya. Sebab tu ana tanya Khairul. Dia paling akhir tadi," balas Zulfan seraya menjeling ke arah Khairul.

"Aku kata tak tahu kan. Suka hati dia lah nak hilang ke tidak. Bukan masalah aku."

"Kau dah melampau ni!" desis Haidar lalu mencengkam erat kerah baju Khairul. Wajahnya merah padam, urat-urat hijau menjulang menunjukkan amarahnya yang sudah sampai ke tahap memuncak.  Tangan kirinya pula sudah membentuk penumbuk yang bila-bila masa sahaja boleh dilepaskan.

Khairul tersenyum sinis.

"Tumbuk, tumbuk!" Shaqil menyampuk. Ini bukan meredakan keadaan. Ini memburukkan keadaan.

"Dah, cukup. Shaqil, diam. Haidar, lepaskan dia. Kita beritahu cikgu."

"Kau..." Haidar melepaskan cengkamannya pada kerah baju Khairul. Lantas dia mengikut langkah Zulfan dan Shaqil menuju ke arah khemah urusetia.

Khairul menghantar pemergian mereka bertiga. Dalam hati sebenarnya dia risau juga keadaan dua beradik itu. Lebih-lebih lagi Wajdi. Walaupun dia dan Wajdi ketika ini ada perkara yang masih belum diselesaikan, dia tetap risau dengan keadaan Wajdi. 

"Keluar cepat, Wajdi," ujarnya sendiri.

****

"Naura, anti okey ke tu?" soal Wildan. Dia dan Wajdi berjalan di hadapan. Naura pula dibelakang. Sebelah tangan Wildan memegang kuat ranting kayu yang digunakan tadi untuk membantu Naura berjalan. Tidak mungkin dia mahu memapah anak dara orang begitu. Sebagai anak jantan yang menjaga kehormatan diri, dia guna ranting kayu tadi sahaja.

"Okey. Teruskan."

Wildan mengangguk, sementara Wajdi di sebelahnya hanya terdiam tanpa bereaksi.

"Along okey?" soal Wildan dengan nada risau tatkala melihat wajah abangnya pucat lesi. Bukan boleh dikira abangnya ini. Kalau sakit jarang dia tahu. Selalunya Wajdi akan pendam sahaja. 

"Kalau ada sakit mana-mana beritahu angah," sambung Wildan.

Wajdi mengangguk. Tangannya naik mengelap kesan tanah pada pipi Wildan. Daun yang melekat pada baju Wildan juga dia buangkan. Comot betul budak ni. Dia tersenyum kecil. Jika di rumah ini pasti Waiz sudah tergelak sakan melihat Wildan yang comot ini. 

Naura dibelakang hanya melihat keakraban Wajdi dan Wildan. Jarang dia boleh lihat Wajdi bersikap penyayang begitu. Biasanya pendiam sahaja. Bercakap dengannya panjang lebar tetapi boleh dikira dengan jari sahaja perkataan yang dibalasnya. 

"Comot macam Waiz bila jatuh lumpur," ujar Wajdi lalu meneruskan langkahnya.

"Apa, macam budak ketot tu? Tak sama langsung!"

"Eh, along tunggu!"

****

"Cikgu, macam mana? Ada jumpa mereka?" Wardah bertanya kepada Cikgu Rahman. Sekarang ini mereka semua termasuk Zulfan, Haidar dan Shaqil berada di khemah urusetia menunggu perkhabaran pencarian Naura, Wajdi dan Wildan yang hilang ketika aktiviti di 'Night Walk' tadi. Masing-masing risau dengan keadaan sahabat mereka/

"Belum lagi. Doa baik-baik pada kawan kamu," balas Cikgu Rahman seraya melangkah pergi.

Wardah mengangguk. Riak risau terpancar pada wajahnya. Dia ketua sepatutnya dia ambil tahu keberadaan semua ahli kumpulannya ketika aktiviti berjalan tetapi entah bagaimana dia boleh terlepas pandang hal begini.

"Sabar Wardah. Jangan salahkan diri sendiri," ujar Aima. Cuba menenangkan fikiran Wardah. Jika tadi Nafeesa yang seperti menyalahkan diri sendiri, tetapi sekarang ini Wardah pula.

"Bila antum semua perasan Wajdi dan Wildan hilang?" soal Nafeesa pada tiga lelaki di hadapannya sekarang ini. Pandangannya teralih pada pelajar lain yang sedang menikmati minuman dan makanan yang disediakan guru-guru mereka. 

"Bila dah sampai penamat trek," balas Zulfan. 

"Sama. Kami pun perasan bila dah sampai penamat."

Mereka terdiam seketika sebelum Shaqil ternampak sesuatu.

"Eh, tengok sana. Macam ada orang kat penamat trek tu!" ujar Shaqil sambil menuding jarinya ke arah penamat trek yang disinari lampu yang agak redup.

Mereka semua menoleh ke arah yang ditunjukkan Shaqil. Betul, ada orang. Nampak seperti tiga orang. Salah seorang daripada mereka memegang ranting kayu. Pantas Zulfan dan yang lain berlari mendekati tiga figura yang baru sahaja tiba di penamat trek. Berharap tiga figura tersebut merupakan kawan mereka yang hilang. 

"Wajdi, Wildan!"

"Zulfan!" Wildan melepaskan pegangan pada ranting kayu tadi lalu memeluk Zulfan erat. Mujurlah Wajdi sempat menyambut ranting kayu itu daripada jatuh ke tanah. Belum apa-apa, Shaqil dan Haidar juga ditarik masuk ke dalam pelukannya. Haidar yang baru sahaja mahu menghampiri Wajdi terpaksa melepaskan niatnya. Layankan sahaja Wildan ini. Wildan tampak lega, seperti seorang anak yang tersesat di pusat perbelanjaan namun akhirnya bertemu dengan keluarganya. 

"Naura!"

"Eh, semua!"

"Wajdi, syukran," ujar Naura sebelum dia memeluk rakan-rakannya juga. Sudah lupa kakinya yang terseliuh itu. Pegangan pada ranting kayu juga dilepaskan.

Wajdi diam tidak menjawab. Luka bergaris kira-kira sepanjang 12 cm itu dilihat sekilas pandang. Panjang juga bukaan lukanya itu. Darah pada lukanya masih menitik. Tiada tanda-tanda darah itu akan berhenti. Kepalanya tiba-tiba terasa berat. Matanya sempat menangkap figura Khairul yang sedang berjalan menghampiri sedang menghampiri mereka. Pandangannya mula berpinar sebelum dia rebah ke tanah.

"Wajdi!"

****

W A J D I - [  وجدي  ] [ OG ]Where stories live. Discover now