13 | SILAM

78 18 4
                                    

Khairul merebahkan badannya ke atas katil bersaiz king. Beg sekolahnya awal-awal lagi sudah dicampak ke meja belajarnya. Laungan daripada pembantu rumah yang memanggil namanya berulang kali tidak diendahkan.

Telefon pintarnya dicapai. Aplikasi permainan bola sepak dibuka. Baru beberapa minit dia bermain, terus dia menutup telefonnya. Bosan. Telefon dicampak ke tepi lalu perlahan-lahan kantup matanya tertutup dan bunyi dengkuran halus mula kedengaran.

****

Seorang remaja lelaki sedang termenung sambil menghisap sebatang rokok di bahagian atap bangunan sekolah. Asap daripada rokok tidak henti-henti keluar daripada hidung dan mulutnya. Kedua-dua matanya dipejam rapat. Menikmati rasa sebatang rokok yang sukar didapati.

Jika ayahnya tahu dia merokok, semestinya badannya akan dihiasi dengan kesan pukulan tali pinggang ayahnya. Dia sudah pernah dipukul oleh ayahnya sehingga tidak mampu berjalan gara-gara dia pulang lewat ke rumah. Namun waktu itu dia pulang lewat kerana menghantar rakannya pulang. Bukan sengaja dia mahu pulang lewat.

Puntung rokok yang telah habis dihisapnya dilemparkan ke lantai. Lantas dia memijak puntung rokok itu. Baru sahaja tangannya ingin mencapai kotak rokok yang berada di poket belakang seluarnya, satu tangan menangkap lengannya terlebih dahulu.

Dia berpaling. Kelihatan seorang remaja lelaki sebayanya sedang merenungnya dengan pandangan yang tajam. Tag nama pada poket baju sekolah dilihat sekilas pandang. Wajdi. Nama remaja itu. Lengannya masih belum dilepaskan sebaliknya pegangan itu semakin kuat.

"Kau nak apa?" Soalnya. Rimas dibuatnya apabila lengannya dipegang erat. Dia menarik lengannya dengan kuat. Terlepas akhirnya daripada cengkaman remaja bernama Wajdi itu.

"Buang rokok tu. Tak elok untuk kesihatan."

"Tch." Khairul menjeling Wajdi tajam sebelum kotak rokok di poketnya dikeluarkan dan dilempar ke lantai.

"Puas hati?" Soal Khairul. Wajahnya memerah menahan marah. Dia tidak mahu bergaduh dengan sesiapa. Sudahlah baru tahun pertama dia di sekolah ini. Tidak mahulah dia mencipta rekod buruk di awal persekolahannya.

Wajdi mengangguk. Dia mengambil kotak rokok itu lalu dibuang ke dalam tong sampah. Dia kemudian mendekati Khairul yang sedang duduk di atas tembok rendah sambil termenung jauh.

Wajdi melabuhkan punggungnya di sebelah Khairul. Khairul seperti sedang melayan perasaannya sendiri. Wajahnya pula kelihatan sugul. Wajdi membiarkan Khairul seketika.

Pandangan matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Baru dia sedar yang dia boleh melihat seluruh kawasan sekolah termasuk stor barangan tidak terpakai yang jauh itu.

"Aku benci ayah aku," ujar Khairul tiba-tiba. Pandangannya masih tidak beralih. Dia seperti berada di dunianya sendiri. Tubir matanya bergenang dengan cecair jernih. Hampir sahaja dia menitiskan air mata namun dia menahannya. Tekaknya terasa pedih. Terlalu perit perkara itu untuk dia hadam. Walaupun mulutnya mengeluarkan kata itu, namun jauh di lubuk hati dia tidak membenci ayahnya. 

"Aku tak tahu kenapa, tapi kau berhak nak benci ayah kau ataupun tidak. Mesti kau ada alasan tersendiri," balas Wajdi sebelum dia melompat turun daripada tembok rendah itu.

"Dia pukul aku."

Serentak dengan itu Khairul memandang tepat ke arah Wajdi. Wajah putih mulus tanpa cacat cela itu ditatap lembut. Perlahan air mata yang sedari tadi dia tahan menitis membasahi pipinya.

W A J D I - [  وجدي  ] [ OG ]Where stories live. Discover now