32 | USIK

49 11 39
                                    

"Along, dah siap ke?" soal Wildan sambil tangannya sibuk membetulkan rambut yang telah digayakan menjadi gaya spiky setelah disapu gel. Terasa makin kacak pula buat gaya rambut begini.

"Kejap. Sikit lagi," balas Wajdi. Tangannya sibuk melukis kening tiruan pada wajah Wildan. Kalau tersilap sedikit terus tidak menjadi kening tiruan ini. Dia dan Wildan sedang bersiap untuk mengusik Waiz. Jam pada dinding bilik dilihat sekilas. Lima belas minit lagi sebelum jam sebelas malam.

Wildan memakai baju ala-ala gengster. Jaket kulit bercorak naga merah dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam. Kain bandana merah pula diikat kemas pada dahinya. Mujurlah petang tadi sempat mereka berdua keluar sebentar ke rumah Shaqil untuk meminjam baju ala-ala gengster ini. Shaqil banyak baju begini. Satu almari penuh. Hati lembut tapi luaran keras. Wajdi pula hanya memakai kain putih. Katanya mudah. Cuma perlu pinjam kain langsir umi.

"Dah."

"Yey. Jom. Kita ambil tempat."

Perlahan-lahan Wajdi dan Wildan berjalan keluar dari bilik Wildan. Mereka berhenti seketika. Suasana gelap ruang atas ketika ini memerlukan mereka menyuluh lampu suluh. Jika tersilap langkah, semua penghuni rumah akan terjaga. Rosak rancangan mereka nanti.

Bilik Waiz yang terletak tidak jauh daripada bilik Wildan dihampiri. Wildan ke sebelah kiri manakala Wajdi ke sebelah kanan. Mereka saling bertukar pandangan sebelum sama-sama mengangguk.

"Along, ingat rancangan kita?" ujar Wildan perlahan. Badan disandarkan pada dinding bilik Waiz.

"Ingat. Jom."

Wildan mengangguk. Perlahan tombol pintu bilik Waiz dipulas lalu ditolak. Dia dan Wajdi melangkah masuk ke dalam bilik Waiz dengan penuh berhati-hati. Bilik Waiz ketika ini sudah gelap. Waiz sentiasa tidur awal. Budak kecil biasalah. Jadi dia dan Wajdi tiada masalah hendak meneruskan rancangan mereka. Lebih mudah kerja mereka bila Waiz sudah tidur.

"Posisi masing-masing," ujar Wildan perlahan. Dia mengambil posisi di sebelah kanan katil Waiz. Wajdi pula di sebelah kiri katil.

"Mula."

Wajdi menyelak selimut Waiz. Dia kemudian menggeletek kedua kaki Waiz menggunakan bulu pelepah sebelum butang pada telefon bimbitnya ditekan. Bunyi hantu mengilai memenuhi ruang bilik Waiz. Biarpun suara tersebut dimainkan sehabis kuat namun Waiz masih belum sedar. Tanpa ragu, Wajdi terus menarik kedua kaki Waiz.

"Hmm...siapa yang tarik kaki?" Waiz tersedar seraya menggosok kedua matanya yang masih belum terbuka. Mengantuk.

"Tak ada orang pun," ujarnya lagi. Baru sahaja dia mahu berbaring semula, telinganya baru menangkap suara hantu mengilai. Waiz menelan air liur. Kesat. Debaran di dada usah dikata. Terasa mahu tercabut jantungnya sekarang ini. Tangan menggenggam erat selimut yang menutupi badannya.

"Angah?" Waiz cuba meneka. Biasa Wildan yang suka mengusiknya. Tetapi tidak pernah lagi Wildan mengusik tengah malam begini.

"Hihihi...adik comel kenapa tak tidur lagi?"

Waiz terkaku. Kejung seluruh badannya. Perasaan takut yang cuba diusir tadi datang kembali. Sangkaannya Wildan yang sedang mengusik ternyata salah kerana suara Wildan bukan begini. Kali ini dia pasti yang sedang mengusiknya sekarang ini betul-betul hantu sebenar. Sah!

"Terjaga." balas Waiz berani. Sebenarnya dalam hati penakut. Mahu sahaja dia lari selamatkan diri menuju ke bilik abi dan umi. Tetapi jiwa lelakinya berkata tahan, kita lelaki kena buat berani.

"Hihihi...aku nak makan kau sebab kau mencuri."

"Cu...curi?"

"Mana semua lolipop yang kau sorok, budak?" tiba-tiba Wildan berdiri beserta bunyi petir yang dipasang kuat menggunakan telefon bimbitnya. Kayu besbol diletakkan pada bahunya. Lagak seperti seorang gengster pecah rumah.

W A J D I - [  وجدي  ] [ OG ]Where stories live. Discover now