BAB 74

4.4K 301 80
                                    

      "PUAN, saya ada lagi satu berita nak bagitahu puan." Doktor Roqaiyah menarik nafasnya. Dia memandang redup wajah Marissa yang ceria selepas mendengar berita kehamilannya.

Perlahan-lahan senyuman manis Marissa mula memudar. Dia saling berpangan dengan Shafqi. Timbul banyak tanda tanya di fikiran Marissa tika ini.

"Be... Berita apa tu, doktor?" Jantung Marissa berdegup kencang. Entah kenapa, hatinya berasa tidak enak. Kalau Harraz berada di sebelahnya, ingin saja dia menggenggam tangan lelaki itu bagi mengumpul kekuatan. Tapi semua itu cuma angan-angan Marissa saja kerana yang berada di sebelah dia tika ini ialah Shafqi, bukannya Harraz.

"Relax Marissa." Shafqi menyentuh lembut tangan wanita itu. Dia tahu Marissa sedang gemuruh menanti percakapan yang seterusnya daripada Doktor Roqaiyah.

"Sebelum tu, saya nak tanya puan. Ada tak sebelum ni puan rasa macam ada ketulan di dada?" soal Doktor Roqaiyah.

Marissa diam. Spontan, tangan naik menyentuh dadanya.

"Ada...ada doktor." Marissa menganggukkan kepalanya.

"Puan tahukan selain ujian darah yang saya ambil tadi, saya juga ada jalankan ujian mammogram dan ujian imbasan?" Doktor Roqaiyah cuba berkata tenang. Berita yang akan disampaikannya sekejap lagi, pasti akan membuatkan ibu mengandung itu berasa sedih.

Sekali lagi Marissa menjatuhkan kepalanya. Mulut dia dah tak mampu nak mengeluarkan sebarang ayat lagi.

"Saya dapati puan menghidapi barah payudara," beritahu Doktor Roqaiyah, perlahan.

Allahuakbar! Bagai terhenti seketika rentak jantung Marissa tika ini. Bibirnya bergetar hebat. Menggigil-gigil tubuhnya setelah mendengar berita buruk itu.

Manakala Shafqi pula tergamam. Liurnya ditelan. Kesat dan berpasir rasanya. Laju dia berpaling ke arah Marissa. Dapat dilihat mata wanita itu sudah memerah dan tubirnya mula bertakung dengan air mata.

"Be... Betul ke apa yang saya dengar ni, doktor? Saya ada kanser payudara?" Jatuh setitik manik jernih itu. Hari ini, dia menerima dua berita. Satu yang membungakan hatinya. Dan berita satu lagi seakan meruntuhkan dunianya. Marissa menggeleng tidak mahu percaya.

Tapi apakan daya. Sudah tertulis inilah takdir yang seharusnya Marissa terima dengan berlapang dada. Penyakit ini sememangnya sinonim dengan kaum hawa. Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu di kalangan kaum wanita.

"Ya, puan." Doktor Roqaiyah mengangguk.

Diam dan terus diam. Tanpa dapat ditahan lagi, Marissa menghamburkan tangisannya. Dia menunduk ke bawah bersama esakan yang mendayu-dayu. Walaupun Shafqi ada untuk menenangkannya, tapi sekeping hatinya tak mampu untuk dipujuk lagi. Hatinya semakin sarat dengan rasa sedih.

"Boleh saya tahu, apa puncanya doktor?" soal Shafqi ingin tahu. Dia bersimpati dengan nasib Marissa. Bahu wanita itu diusap lembut.

"Banyak puncanya, encik. Salah satunya risiko keturunan. Mungkin sejarah keluarga puan ada yang menghidap penyakit ni?" Doktor Roqaiyah menyoal Marissa. Shafqi terus mengalihkan pandangannya.

"Saya tak tahu, doktor..." Lemah suara Marissa. Dia tak mampu nak berfikir lagi dah. Setahu dia, tak ada pula dalam sejarah keturunan keluarganya yang mempunyai penyakit ini.

"Selain daripada tu, apa lagi puncanya, doktor?" Nampak kesungguhan Shafqi untuk mengetahui faktor-faktor yang menyumbang kepada kanser payudara. 

"Lambat dapat anak juga salah satu puncanya. Selain itu, wanita yang haid pertamanya awal dan kelewatan menopause juga menyumbang kepada kanser payudara. Mungkin juga disebabkan hormone replacement therapy. Dalam erti kata mudah, pengambilan rawatan penggantian hormon. Umur yang semakin meningkat juga boleh menjadi penyumbangnya, encik."

1.0 | DENDAM CINTA [COMPLETED/IN EDITING]Where stories live. Discover now