"SEMALAM, aku dengar diorang bergaduh teruk." Natalia menjuihkan bibirnya. Air di dalam gelas disedut laju.
Nana menjongketkan kening. Dia merenung muka Natalia yang kelihatan gembira itu. Barangkali seronok melihat Harraz dan Marissa bertengkar.
"Sebab apa?" soal Nana ingin tahu lebih.
"Entah. Tapi aku ada terdengar Harraz sebut nama sorang laki ni. Shaf... Shafqi! Aku rasa laki tu scandal Marissa. Sebab tu Harraz marah sangat kut," teka Natalia seraya tersengih-sengih. Natalia rasa dia mempunyai peluang yang luas untuk menyingkirkan Marissa selepas ini. Mungkin dia boleh gunakan lelaki bernama Shafqi itu untuk bekerjasama dengannya pula?
Nana di hadapan Natalia terkedu seketika. Shafqi. Itu abangnya!
"Err siapa Shafqi tu? Kau kenal ke?" Nana membetulkan duduknya. Dia berdehem kecil. Soalan itu sengaja ditanya.
"Aku tak kenal. Tapi aku yakinlah si Shafqi tu scandal Marissa. Kalau tak, buat apa Harraz nak marah? Dia kan sayang sangat dengan Marissa tu. Tapi lately ni sikap Harraz memang berubah. Dia macam dah lebihkan aku daripada perempuan tu." Kini, Natalia menongkat dagu pula. Dia gembira kerana Harraz melayaninya lebih baik selepas mendapat tahu yang dia mengandung.
Kalau Natalia tahulah cara itu dapat melembutkan hati Harraz untuk menerimanya, dah lama dia menjalankan misi tersebut. Tapi tak mengapa. Walaupun lambat dia bertindak, sekurang-kurangnya hasilnya sudah nampak.
Hati Nana dipagut cemburu selepas mendengar omelan Natalia. Rasa sakit hati mencucuk dalam. Suka benar perempuan itu dengan kebahagian yang berjaya dimilikinya. Dalam diam, Nana menyumpah seranah Natalia.
'Kalau tak disebabkan aku, kau takkan dapat Harraz, Natalia. Tapi tak mengapa, aku bagi kau bahagia dulu. Sebab aku masih perlukan kau untuk menyingkirkan Marissa daripada hidup Harraz. Lepas Harraz dah buang Marissa, aku akan pastikan kau pula yang akan terima akibat yang sama. Kesian kau, Talia. Bodoh sangat!'
"Aku rasa aku nak cari siapa Shafqi tu. Mungkin aku boleh bekerjasama dengan dia pula kan? Mana tahu, jantan tu pun sebenarnya ada niat yang sama macam aku? Sama-sama nak tengok rumah tangga Marissa dan Harraz musnah," sambung Natalia lagi. Ada senyuman sinis yang terhias di bibirnya.
Dengusan kasar terlepas dari bibir Nana. Dia mengetap rahangnya. Tidak puas hati dengan bicara Natalia. Namun, hatinya cuba disabarkan. Dia tidak boleh bertindak melulu terhadap perempuan gila ini.
"Kau dah guna-gunakan Harraz. Lepastu kau nak guna-gunakan abang aku pula? Kau dah melampau Natalia," bisik Nana perlahan. Cukup untuk dia saja yang dengar omelannya itu.
"Ikut kaulah, Talia. Tapi jangan sampai diri kau pula yang terjerat dengan permainan kau ni. Apa yang kau buat ni bukan benda kecil. Tapi besar. Satu, kau dah tipu Harraz pasal kandungan tu. Dua, kau rancang nak usir Marissa dari hidup dia pula. Kau rasa, bila semua ni terbongkar nanti, apa yang Harraz akan buat pada kau?"
Dalam pada itu, Nana masih memesan ringkas. Dia cuma ingatkan Natalia saja. Sebab mengikut rancangannya, tak lama saja lagi segala rahsia Natalia bakal dibongkarkannya. Cuma Nana kena bersabar sikit. Sebab nak singkirkan Marissa bukannya mudah. Dan dia tahu, Harraz terlalu mencintai Marissa. Jadi Nana tak rasa semudah ABC Harraz akan melepaskan isteri pertamanya itu.
"Hahaha, kau jangan risau, Nana. Aku yakin segala rancangan aku ni takkan terbongkar. Kalau kau tutup mulut, takkan ada sesiapa yang tahu termasuk Harraz." Wah, bongkak sekali Natalia berkata. Dia lupa agaknya, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Sinis Nana memandang Natalia. Perempuan gatal tu belum kenal lagi siapa dia. Ingat senang-senang macam tu saja Nana akan tutup mulut? Tidak sama sekali. Dia cuma menunggu masa yang tepat saja untuk menjatuhkan Natalia.
YOU ARE READING
1.0 | DENDAM CINTA [COMPLETED/IN EDITING]
RomanceMarissa Jasmine, menyamar sebagai Orkid Dhialisa dengan satu tujuan. "Saya Orkid Dhialisa, PA Encik Harraz." - Marissa Jasmine Segala-galanya bermula kerana dendamnya pada lelaki itu. Jika tidak, tidak terlintas langsung di fikirannnya untuk memas...