BAB 12

7.7K 525 90
                                    

MARISSA hanya tersenyum apabila disapa oleh hampir kesemua pekerja-pekerja papanya. Dah lama rasanya dia tidak menjejakkan kaki di pejabat papanya ini semenjak dia menukar identiti dan bekerja dengan Harraz.

"Cik Ris? Ya Allah lamanya tak nampak Cik Ris dekat office ni! Cik Ris sihat?" Hani, salah seorang pekerja di syarikat papanya menegur. Marissa membalas dengan senyuman mesra.

"Saya sihat, Hani. Awak macam mana? Kerja semua okey? Ada staf buli awak tak? Kalau ada, meh bagitau saya siapa orangnya?" gurau Marissa ramah. Tergelak kecil Hani dibuatnya. Dia memang teramat senang dengan anak majikannya itu. Tidak sombong walaupun berpangkat besar.

"Kerja dekat sini semuanya okey, Cik Ris. Terima kasih sebab bagi saya peluang untuk timba ilmu di syarikat ni."

Hani amat-amat bersyukur kerana Marissa memberi dia peluang untuk bekerja dan berbakti di Malik's Holding. Marissa tidak pernah memandang rendah kepadanya meskipun dia bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Hatta, SPM pun dia tidak ambil kerana sibuk mencari rezeki bagi menyara kehidupannya dulu.

Hani berasal daripada keluarga yang susah. Dulu, hendak mencari sebutir nasi pun amat payah. Kedua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Jadi, sebagai anak sulung daripada enam adik-beradik, Hani terpaksa menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh kedua orang tuanya. Dan ketika itu jugalah Hani membuat keputusan untuk berhenti sekolah.

Hani tak kisah jika dia tidak berpelajaran. Dia juga tidak kisah jikalau dia terpaksa mengikat perut demi menyara adik-adiknya. Asalkan mereka semua berpelajaran dan kenyang diberi makan. Itulah pengorbanan dia sebagai anak sulung kepada arwah Encik Hadi dan Puan Suhaila.

Kini, kehidupannya lebih senang. Walaupun tidak kaya, tapi hidup mereka yang sekarang jauh lebih baik daripada dulu. Semuanya kerana kebaikan dari Marissa yang mengajaknya untuk bekerja di syarikat ini. Hani berjanji, dia tidak akan pernah sesekali melupakan budi yang pernah ditabur Marissa. Kalau bukan kerana anak majikannya itu, sudah pasti kehidupannya tidak akan maju ke hadapan seperti sekarang.

"Baguslah tu. Saya pergi jumpa Dato dulu, ya. Ada masa nanti, kita berborak lagi." Marissa memeluk Hani. Gadis bertubuh kecil itu sudah dia anggap seperti adiknya sendiri.

"Baik, Cik Ris." Hani melemparkan senyuman. Dia memandang langkah Marissa yang berlalu pergi itu. Hani kemudian menyambung semula kerjanya yang tergendala tadi.

Marissa meneruskan langkahnya sehingga dia berhenti di hadapan pintu pejabat Dato Malik. Pintu diketuk terlebih dahulu sebelum dia melangkah masuk ke dalam.

"Kamu buat apa dekat sini, Ris?" soal Dato Malik tatkala wajah anak gadis kesayangannya itu muncul. Dato Malik bangun kemudian berjalan ke arah sofa yang tersedia di dalam bilik itu.

"Nak jumpa papa lah!" ujar Marissa manja. Dia melentokkan kepalanya di bahu Dato Malik. Lengan Dato Malik dirangkul erat.

"Kenapa nak jumpa papa?" Dato Malik memainkan jarinya di celahan rambut lebat Marissa. Anaknya itu walaupun sudah dewasa, tapi masih lagi manja bagaikan anak kecil.

"Nak jumpa papa sendiri pun kena buat appointment ke? Ris rindu papa... Papa tak rindu Ris ke?" Meleret saja suara Marissa. Rasa rindu dia terhadap lelaki tua itu sudah tak tertanggung lagi. Oleh kerana itu, Marissa mengambil kesempatan waktu rehatnya dengan berjumpa Dato Malik. Dia mahu melepaskan rindu sepuas-puasnya.

Dato Malik menggeleng. Faham sangat dengan perangai Marissa ni. Manjanya tak bertempat.

"Kenapa tak cakap dengan papa dulu? Kalau tak, boleh kita keluar makan sama-sama. Boleh ajak mama sekali. Kamu pun dah lama tak balik rumah papa kan?"

"Tapi mama tak bagi Ris balik sana. Mama marah dekat Ris, pa," ujar Marissa sambil mencebik. Sedih saja suaranya. Kali ini kepalanya dilentokkan ke dada Dato Malik.

"Mama kamu tu marah sekejap je. Biasalah dah tua-tua ni, hormon tak menentu."

Marissa menepuk tangan Dato Malik. Tergelak dia mendengar umpatan Dato Malik. Ada pula kata hormon mamanya tak stabil. Kalau Datin Syarifah dengar, sudah pasti papanya akan tidur diluar tujuh malam berturut-turut.

"Lagipun mama tu risau dengan kamu. Dia taknak kamu buat keputusan yang salah. Baliklah, Ris. Papa tahu, mama kamu tu rindu sangat dengan Ris. Walaupun mama tak bagitau papa, tapi papa dapat rasa isi hati dia. Kamu kan anak? Beralah dengan orang tua tak kemana pun, Ris."

Dato Malik menasihati Marissa. Dia mencium lembut rambut anak daranya itu. Satu-satunya anak yang dia ada. Inilah duka, ini jugalah penawarnya.

Marissa diam untuk seketika. Ada betul jugak apa yang dikatakan oleh papanya itu. Sebagai anak, tak salah kalau dia beralah. Kalau dia menjunjung egonya, dia juga yang rugi kerana menahan rindu buat Datin Syarifah.

"Papa sayang Ris?" soalan yang diajukan Marissa membuatkan kening tua Dato Malik berkerut.

"Kamu tu anak papa. Mestilah papa sayang."

"Kalau macam tu, papa akan sokong je apa yang Ris buat?"

Dato Malik menghembuskan nafas berat. Kini dia faham mengapa soalan itu yang diaju tadi.

"Ris, sejujurnya apa yang Ris buat ni salah. Dendam Ris pada Harraz takkan bawa kemana. Papa tak sokong apa yang Ris buat ni, nak. Cuma satu papa harap, papa dah sekolahkan kamu sehingga ke luar negara. Jadi, papa rasa kamu lebih tahu apa yang kamu buat ni betul atau salah. Sama macam mama kamu, papa taknak kamu tersilap langkah. Dan papa taknak kamu menyesal satu hari nanti."

Dato Malik menepuk bahu Marissa. Tipulah kalau dia langsung tidak risau dengan apa yang dibuat Marissa sekarang ini. Dan lebih menyesakkan naluri ayahnya adalah dengan rahsia yang disimpan kemas jauh dalam lubuk hatinya.

Marissa mengangguk lemah. Tiba-tiba dia teringat dengan cincin yang diberi Harraz semalam. Cincin itu disimpan terlebih dahulu sebelum dia bertemu dengan Dato Malik.

"Dah nak habis waktu lunch ni. Kamu tak balik office ke?"

Marissa mengerling jam di tangan. Dia menepuk dahi. Lupa pula dia datang disini pada waktu rehatnya. Kalau lambat nanti, tercari-cari pula Harraz.

"Ris balik dululah, pa. Nanti kirim salam dengan mama, tau!" Marissa mencapai tangan Dato Malik lalu diciumnya lama. Hilang sikit rindunya pada lelaki tua itu.

"Yelah, hati-hati bawa kereta tu." Dato Malik mengusap kepala anaknya. Dia kemudian menghadiahkan satu ciuman di dahi Marissa.

Helaan lemah dilepaskan. Dia berharap sangat semua ini akan berakhir cepat. Dia dah tak sanggup untuk menipu anaknya itu. Apatah lagi bila Marissa tahu kebenaran yang akan terbongkar nanti.

•••

PINTU kereta dibuka Marissa. Masuk je ke dalam kereta, terus dicampaknya tas tangan di tempat duduk penumpang. Marissa memegang stereng kereta sambil kepalanya disandarkan pada kerusi memandu.

Otaknya serabut. Hatinya pula keliru. Bibit-bibit kata Dato Malik tadi sememangnya membuatkan fikirannnya keliru hebat. Otak melarang keras, hati menyuruh sebaliknya.

Dendam takkan bawa kau kemana pun, Marissa.

Kau nak tengok Harraz terus bahagia? Sedangkan kau menderita kehilangan Lisa?

Dua bisikan berlainan. Ketika ini wajahnya kelihatan sangat sugul. Marissa memejamkan mata rapat-rapat diikuti dengan satu tarikan nafas yang dalam.

"Biarlah apa nak jadi sekalipun. Aku tetap akan teruskan demi Lisa."

Keputusan telah dibuat. Marissa masih lagi berdegil mahu meneruskan rancangan dia itu. Walau apa pun yang jadi, dia tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan Harraz terlepas begitu saja. Walaupun hutang nyawa dibayar dengan nyawa, namun Marissa belum tergamak hendak berbuat begitu. Dia masih ada hati dan perasaan lagi.

1.0 | DENDAM CINTA [COMPLETED/IN EDITING]Where stories live. Discover now