TSS 26

32 6 0
                                    

DERAS di dada tak usah dikira. Seiring langkah yang meniti laju ke hadapan, debaran yang kian terasa semakin menerpa tak berpenghujung.

Seawal pagi tadi, Tiya telefon aku. Dengan suaranya yang serak membuatkan aku sedikit pelik. Sebab tak pernah Tiya berperangai luar alam. Apabila aku bertanya apa yang telah terjadi, katanya Dhuha terlibat dalam kemalangan.

Terus aku bergegas ke sini. Melewati hujung koridor, dari jauh sudah kelihatan batang tubuh Ikhwan yang menunduk dan Tiya yang seperti tidak senang duduk itu.

Aku dapat melihat raut Tiya yang kerisauan. Mestilah, Dhuha itu kawan kami.

Ketika aku larikan mata ke arah Ikhwan, nampak pula lelaki itu berwajah keruh. Aku tak tahu apa yang tergambar dalam hatinya ketika itu. Seperti ada sesuatu yang merajai hatinya.

"Ah, Ammara." Tiya angkat kepala ketika menyedari kehadiranku. Dia menggamit aku supaya melabuhkan duduk di tengah-tengah. Sempat aku jeling Ikhwan di sebelah kiri aku.

Tidak lain dan tidak bukan, aku dapat melihat urat-urat yang timbul di genggaman tangannya. Seketika, Ikhwan melepaskan helaan nafas kasar.

"Macam mana boleh accident?" tanya aku kepada mereka berdua. Sekejap aku pandang Tiya, sekejap aku pandang Ikhwan.

Tetapi masing-masing hanya menyepi setelah seminit berlalu. Ikhwan meraup wajahnya.

"Langgar lari. Mamat tak guna tu entah hidup kat mana sekarang. Aku nampak dengan jelas kut yang dia langgar tapi tak nak berhenti," gerutu Ikhwan. Tegang benar wajahnya ketika itu.

"Ikhwan keluar sama-sama dengan Dhuha. Tapi Ikhwan tak sempat ambil nombor plat kereta tu," sambung Tiya sebelum dia lepaskan satu helaan yang berat.

Aku terdiam. Simpati tumpah pada Dhuha yang menjadi mangsa dan masih dirawat di dalam sana. Jahat betul orang itu. Sudahlah buat salah, tidak mahu bertanggungjawab pula tu. Satu hal lagi menyusahkan orang lain!

"Teruk tak kecederaan dia?" Aku bertanya prihatin. Melirik ke pintu wad kecemasan, nampaknya seperti tiada tanda-tanda seseorang mahu keluar. Masih belum nampak kelibat doktor.

"Injuries dia teruk juga. Aku risau kalau jadi makin parah, weh. Dahlah kawan kita kat dalam sana. Kalau apa-apa jadi macam mana? Sumpah aku takkan maafkan orang yang langgar tu!" Penuh emosi Ikhwan membalas.

Aku hanya melemparkan senyuman pahit. Kalau aku ini lelaki, pasti aku dah usap-usap belakang Ikhwan untuk tenangkan dirinya sambil beri semangat untuk dia tetap yakin bahawa Dhuha baik-baik sahaja.

Ikhwan tu nampak aje hati keras. Tapi dalaman dia baik. Sebab tu aku selalu tengok Ikhwan rapat dengan Dhuha. Rapat sangat macam adik-beradik kandung.

"Dhuha tu aku dah anggap macam keluarga aku. Kalau dia tak ada, memang hidup aku tak lengkap. Lagipun keluarga aku memang kenal dengan dia." Tanpa diminta, Ikhwan bercerita tentang kisahnya. Kadangkala dia tersenyum sendiri.

Aku melemparkan senyuman nipis. Bertuahnya Dhuha. Ada kawan yang baik macam Ikhwan. Tiba-tiba teringat akan Mallysa. Macam inilah rapatnya hubungan persahabatan kami. Macam adik-beradik walaupun tiada sedikitpun aroma bau-bau bacang.

Sebab ukhuwah yang dijalin tak akan pernah putus.

"Terharu betul aku dengar cerita kau. Rasa macam nak nangis pun ada." Tiya menyelit, suaranya masih serak. Mungkin sedih, atau mungkin terpalit emosional.

Aku menganggukkan kepala. Bertuahnya Ikhwan dan Dhuha. Aku pernah baca satu fakta daripada artikel yang tersiar. Di mana apabila seseorang lelaki punya teman yang istimewa dan rapat, hubungan itu takkan berhenti setakat di siang hari. Jalinan persahabatan antara lelaki dan perempuan jauh berbeza.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now