TSS 3

78 11 1
                                    

AKU menghalakan kaki ke luar bilik usai sahaja selesai membersihkan diri dan menukar pakaian. Hujan di luar sana sudah semakin perlahan, berganti dengan langit yang kian membisik kegelapan. Pada waktu malam seperti ini, kawasan resort ditemani oleh bunyi siulan nakal si unggas.

Tangan digosok sesama sendiri. Sejuk masih terasa namun aku cuma biarkan. Aku suka duduk di luar. Menatap jelas kegelapan yang berada di atas sana. Dengan langsung, kotak fikiranku kembali mengimbas memori beberapa jam yang lalu.

"Kau kena hati-hati dekat kawasan sini. Banyak orang dengan perangai pelik. Yang lelaki tadi tu, aku rasa dia jadikan kau mangsa rawak dia. Tapi itulah, siapa tahu kalau bahaya nak datang?" Dia bersuara dengan tenang. Mata setia menatap aku yang diam membisu.

"Lepas ni... kau tak keluar pun tak apa. Duduk je dalam bilik diam-diam." Dia berpeluk tubuh.

"Kau siapa nak suruh aku duduk dalam bilik? Kau ingat aku jenis yang 24 jam menatap benda bosan?" Aku mendengus. Rasa panas hati bila kena arah buat itu dan ini. Hidup aku, bukan hidup dia. Suka hati akulah nak duduk dalam resort ke, nak duduk luar resort ke.

"Aku cuma bagi cadangan. Tak suruh pun kau terima ke tak." Dia menjawab selamba. Dapat aku lihat bibirnya terjongket sedikit. Tidak pasti sama ada tersenyum biasa ataupun tersenyum sinis.

Selang sesaat, matanya menatap aku tanpa lepas, sama seperti mataku yang tiba-tiba bolehkan terarah padanya. Aku terdiam sendiri. Tak tahu kenapa bibirku seakan digam dengan gam yang paling kuat.

Aku... tersentak dalam renungan itu.

Aku tidak pasti sama ada mataku tersalah lihat atau sebagainya tetapi meneroka pupilnya, seolah-olah aku pernah melihat sebelum ini.

Aduhai, Ammara!

Jauh betul berfikir. Mungkin hati aku rasa terganggu sebab itulah macam-macam perasaan timbul. Aku memujuk hati sendiri. Aku yakin aku salah orang.

"Lama termenung. Fikirkan apa? Pasal tadi?" Dia bertanya prihatin, sekaligus merentap dan mengembalikan aku ke dunia realiti. Pandangan kami langsung terputus.

"Apa dia?"

"Kau masih fikirkan kejadian tadi?" Dia mengulang semula.

"Kalau fikir semula pun, tak boleh ubah mindset dia. Bila dia dah lari macam tu, apa akan jadi untuk masa akan datang? Dia masih nak membunuh ke..." Dihujung ayat, suaraku terselit dengan perlahan. Aku simpati dengan nasibnya namun dalam masa yang sama, tiada apa yang boleh aku lakukan.

"Membunuh tu... hanya jiwa yang gelap je sanggup lakukannya. Kalaupun dia nak membunuh, mesti ada sebab yang buatkan dia cenderung ke arah itu. Aku tak cakap aku sokong apa yang dia buat tapi, kita tak tahu punca dia. Mungkin dari keruntuhan institusi keluarga atau dari pengaruh kawan-kawannya?"

Aku tertawa sinis. Dasar lelaki kuat berfalsafah. Mindaku membayangkan siapa yang bakal menjadi teman hidupnya kelak, pasti akan menadah telinga mendengar fakta demi fakta yang menyusup masuk dalam gegendang telinga. Silap hari bulan boleh cair tahi telinga!

"Dah lewat ni. Aku kena pergi. Ambillah ini sebagai salam perkenalan kita." Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek seluarnya sebelum item itu dihulurkan kepadaku bersama senyuman.

Aku teragak-agak namun tak mahu membiarkan dia berada di sini lama-lama, aku ambil juga item tersebut dengan hati separuh rela. Beberapa saat selepas dia mempamit, kelibatnya aku pandang dari jauh sehingga tubuh itu semakin menghilang dari pandangan mata.

"Ezzat." Aku menyebut sebaris nama itu dengan perlahan, tanpa rasa istimewa. Dia memberikan aku sebatang pen yang terukir namanya sendiri.

Tapi, buat apa dia beri barang kepunyaannya kepada aku? Baik pula hati dia ni, monologku sendirian.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now