TSS 18

29 5 0
                                    

"KESIAN mama tengok dia ni. Wajah dia manis, tetapi mama nampak kelukaan yang sangat dalam pada sepasang matanya..."

"Ya, mama. Dif tak tahu kenapa, tengok dia macam tu saja, Dif dah rasa sakit. Sakitlah dia, sakit juga dekat Dif..." Suara itu melantun sayup-sayup di gegendang telingaku. Entah kenapa aku rasa sukar untuk membuka kelopak mata. Terasa berat sangat. Sama berat dengan bebanan yang aku pikul sendirian.

Rasa itu seperti ada besi di bahu aku. Sukar untuk aku betul-betul bangkit. Aku seakan tiada daya untuk membantu diri aku sendiri. Rasa lemah sangat segala sendi di badan aku.

"Jadi macam mana? Dia tak bangun lagi."

"Tak apalah, mama. Nanti dia akan bangun tu. Kita solat isyak dulu, ya?"

"Baiklah, jangan lupa doakan dia."

Keadaan kembali menjadi hening. Aku tidak tahu apa yang berlaku selepas itu sehinggalah aku mendengar suara seseorang yang sedang melaungkan iqamat di hadapan aku. Suara itu kelihatan merdu, persis sebuah nyanyian indah di telingaku.

Selang seminit, suara tersebut diselangi dengan satu bacaan yang pernah aku amalkan suatu ketika dahulu. Ya, dia baca surah Al-Fatihah. Dalam keadaan mata tertutup dan jiwa terumbang-ambing, entah mengapa aku rasa terlalu dekat dengan suara itu.

Seperti ada yang menjadi penghubung melalui doa yang dia titip seusai dia selesai melakukan solat fardu tersebut. Hati aku rawan, bagaikan dipalu sesuatu. Rasa sayu, sebak dan segalanya... kian mencengkam. Aku tidak faham kenapa hati aku merasakan sebegitu.

Paling penting, aku rasa ingin melepaskan tangisan tetapi aku tidak mampu.

Dan aku tidak boleh, seolah itu menjadi satu penggantung harapan kepada aku untuk terus kuat dan jangan jadi terlalu lemah di mata mereka yang ada di sini.

"Kamu kuat, sayang. Kamu terlalu kuat untuk menjadi seorang gadis yang sempurna dekat mata dia, biarpun satu dunia menjerit tentang cela yang ada pada diri kamu."

Seperti ada seseorang yang duduk di sebelahku, aku dapat rasakan sebuah kucupan hinggap di dahiku. Penuh kudus dan penuh dengan kasih tanpa berbelah bahagi. Hatiku kembali dihentak rasa hiba. Aku tidak tahu gerangan siapakah yang sudi menumpahkan kemanisan kasih sayangnya untuk aku. Aku tidak kenal dia dan aku tidak mampu melihat wajahnya.

Yang aku tahu, ketika ini aku hanya mampu mendengar biarpun agak sayup di telinga walaupun ada garisan yang menghalang kami untuk terus melangsungkan bicara. Mahu sahaja aku jerit pada satu dunia bahawa aku mahu lepaskan diri dari rasa yang membelenggu ini.

"Tidurlah, sayang. Rehat dan tenangkan segala sakit yang ada dekat diri kamu. Mama tahu kamu boleh lawan semua ni." Dia usap kekura tanganku dengan lembut.

"Mama nak pergi mana?" Muncul satu suara yang menyampuk.

"Mama nak panggil kakak sekejap. Dif jaga Ammara, ya?" Suara itu terdengar penuh pengharapan. Dia cakap dengan anak dia atau suami dia sebenarnya? Aku keliru.

"Pasti. Dif akan selalu jaga dia."

BERAT yang dirasakan, akhirnya dapat sampai di kemuncak. Bebola mata aku bergerak-gerak, meminta untuk cepat membuka mata namun tidak berjaya. Percubaan pertama menemui kegagalan sehinggalah percubaan yang ketiga...

Mata aku terbuka luas.

Ruangan sekeliling aku perhatikan. Tak lupa juga, setiap sudut aku teroka dengan mata terpicing kecil. Aku berasa was-was. Aku dekat mana sebenarnya? Bukan ke tadi aku tengah buat pastri aku? Pelbagai persoalan bertalu-talu menyentuh kotak fikiran.

Tangan aku singgah mengurut pelipis. Rasa pening kepala yang menyengat tadi sudah terbang dibawa angin sejuk dari kipas. Walaupun badan terasa sedikit lesu, tetapi aku masih mampu untuk bangkit dan memulas tombol pintu.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now