TSS 15

26 4 0
                                    

MANA mungkin aku lupa tentang kejadian yang pernah berlaku itu sehingga nafas terakhir aku direnggut. Cuba beritahu kepada aku, macam mana harus aku lupakan memori yang sudah lama bertapak kukuh di dalam otak aku? Membuang memori itu bermakna aku akan lupakan Bunga Amanda. Tidak, aku tidak akan sesekali berbuat sedemikian.

Tetapi malangnya, aku ini hanyalah seorang manusia biasa. 

Peristiwa tiga tahun yang lalu tidak akan pernah berhenti untuk membedil pemikiran aku. Biar berjuta kali aku cuba untuk membuang semua itu, tetap juga aku tidak mampu. Aku dihantui dengan bergunung rasa yang semakin lama semakin kuat mengasak dada. 

Aku rasa.... sakit.

Sakit yang teramat sangat menikam empat ruangan yang ada pada jantung aku sendiri. Jika ingin menggambarkan rasa sakit tersebut, ianya seakan kau ditembak oleh sepucuk pistol kemudian kau masih tidak menghembuskan nafas yang terakhir. Itu bermakna kau kekal bangkit untuk menghadapi realiti semua sendiri. Sekalipun jasad aku sudah menjadi kaku, aku rasa aku akan tetap tertanam bersama bicara terakhir si anak. 

Amanda sayangkan aku. Aku juga sentiasa menyayanginya.

Bersandar di kerusi kereta, aku tidak tahu apa yang patut aku rasakan ketika ini. Hati ini terasa sakit yang tidak dapat aku luahkan sekadar bermain kata. Aku marah tetapi dalam masa yang sama, aku masih belum boleh mempercayai kenyataan yang terbentang lebar di hadapan mataku sendiri.

Aku perlukan bukti yang kukuh dan lebih jelas. Aku perlu lihat semula menggunakan mata aku sendiri.

Maka, pada hari ini aku dengan selambanya menjejakkan kaki ke dalam kafe ini biarpun aku tahu aku di waktu ini, aku cuti dari bekerja. Hanya sehari sahaja dalam seminggu untuk aku benar-benar bercuti dan merehatkan diri. Malangnya, rasa itu bukan untuk aku. Aku tidak peduli jika aku akan dihalau atau apa sahaja yang penting, aku perlukan kebenaran! 

"Eh, Ammara! Kenapa kau datang hari ni? Rajin betul singgah." Ikhwan yang tidak tahu apa-apa langsung menegur aku tetapi aku cuma hiraukan dia yang sudah berkerut sendiri. Tanpa mempedulikan renungannya terhadap aku, aku terus atur langkah ke hadapan. 

Masih melangkah dan kekal melangkah sehinggalah aku akhirnya tiba di hadapan pintu bilik Ezzat. 

"Come in!"

Belum sempat aku ingin mengetuk pintu, suara yang datang dari dalam mengejutkan aku. Macam mana pula dia tahu ada orang sedangkan aku sahaja belum ketuk pintu itu?

Pintu aku tolak kemudian aku tutup semula bersama langkahan kaki yang cukup perlahan, cukup terdesak dan cukup tersakiti. Aku harap tak ada benda buruk berlaku lagi. Aku mahukan ketenangan tetapi mengapa untuk mencarinya sahaja nampaknya terlalu sukar?

"Kenapa berdiri dekat situ?"

Aku tersentak sebaik sahaja suara Ezzat mengembalikan aku ke alam nyata. Oh, Ammara! Suka sangat kau berangan, ya?

Aku tetap juga melangkah ke arah meja kerjanya yang penuh dengan timbunan kertas. Kertas apa, aku sendiri tidak pasti. Banyak betul sampai berpinar mata aku dibuatnya. Perangai lebih kurang macam CEO aje aku tengok. Heh!

"Duduk." Arahan itu membuatkan aku berdiri keras seperti tiang. Aku menggelengkan kepala, tanda tidak mahu. Aku tak perlukan masa yang lama untuk berada dengannya. Lagipun, aku tak mahu membuang masa menghadap wajahnya lama-lama. Tak tahu kenapa, timbul rasa benci bila mata aku masih kekal merenung wajahnya.

Seandainya aku dapat cucuk biji mata itu, mahu sahaja aku melakukannya.

"Tak, aku tak nak duduk." Aku sebenarnya nak tengok dengan lebih jelas apa betulkah jam itu sama dengan jam yang dipakai si pemandu tempoh hari. Mataku mengintai tangan kanannya namun tiada pula apa yang aku cari. Aku mengeluh hampa.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now