TSS 28

13 6 0
                                    

TEKAK aku terasa haus. Kepala aku terasa berat kerana selepas pertemuan dengan Kak Jena, aku tak menjamah sebarang makanan. Ketika makan malam, ada mama dan Eirman di meja makan. Mama sempat lihat aku mahu meniti anak tangga dan menahan aku.

Aku tersengih kambing. Menggeleng kepala tanda menolak pelawaan mama untuk makan malam dengan mengatakan aku penat. Mama sedia maklum tentang kepulangan Ezzat yang lewat kerana sibuk menguruskan kafe.

Dengan rasa mamai, aku bangkit tergesa-gesa dari katil dan terus meluru ke pintu. Pintu aku buka lalu aku turun tangga tanpa langsung berniat melihat sekeliling. Lantaklah!

Tujuan aku hanya ke dapur.

Aku haus dan aku lapar! Aku tahu aku buat benda bodoh dengan tak makan malam tadi. Semuanya gara-gara mengikut perasaan serupa orang nanar. Hilang selera makan, lalu aku abaikan keperluan yang satu itu. Sedangkan kalau aku skip makan, tentulah aku akan kena gastrik.

Kaki aku menapak laju hingga sampai ke dapur. Aku hanya membiarkan lampu dapur yang tidak terpasang. Aku bimbang sekiranya buka lampu, penghuni rumah akan terjaga. Walaupun kedengaran kurang logik, tetapi aku malas fikirkan tentang itu. Ada benda penting yang harus aku buat.

Aku berdiri di hadapan singki. Paip aku buka lalu aku basuh wajah ini dengan tadahan tangan. Segarnya!

Setelah selesai minum segelas air, aku buka peti ais pula. Aku mencari sesuatu dan menjangkakan ianya ada namun aku diulit kecewa. Lauk malam tadi habis semua ditelan oleh Eirman ke?

Wajah aku berubah muram. Aku terasa mahu menangis mengenangkan semua itu. Aku tak rasa mahu penat masak sekarang ini. Kabinet atas aku geledah namun aku tidak menjumpai makanan yang boleh dibuat kudapan. Mama lupa beli barang dapur agaknya.

Jam kecil di pintu peti ais aku tatap. Pukul tiga pagi. Gila apa aku nak masak beria-ria? Memang tak boleh tidurlah jawabnya! Akhirnya aku termenung di atas kerusi. Kepala aku labuhkan di atas meja. Tak tahu apa yang patut aku rasa ketika ini.

"Kenapa kau tak makan malam tadi?"

Bahu aku terangkat ketika gegendang telinga aku memproses satu suara. Terus aku angkat kepala dan menatap wajahnya dengan tajam. Kus semangat! Aku urut dada perlahan.

"Kau buat apa dekat sini? Pergilah naik atas," halau aku. Aku masih berjauh hati mengingatkan sikap aku macam tunggul semata-mata menunggu lelaki itu.

"Tak nak, malas!" Ezzat jelirkan lidah pada aku. Melihatkan aku yang masih membatu di kerusi, dia tarik kerusi dan melabuhkan duduk di sebelah aku. Matanya meneliti wajah aku. Pipi aku dipagut.

Aku menghela nafas perlahan. Apa lagi yang dia nak buat ni?

"Hmmm... Kenapa ada bengkak kat bawah mata ni? Kau menangis eh?" Ezzat buat serkap jarang. Dia melepaskan tangannya dari pipi aku namun matanya masih lagi kekal pada wajah aku.

"Entah." Aku menjawab malas. Ketika itu, baru aku perasan bahawa lampu telah dihidupkan. Patutlah dia nampak sesuatu di mataku. Namun sedikitpun wajahnya aku tidak pandang. Sebaliknya mata aku terhala lurus ke hadapan. Termenung tengok sofa. Bukan sofa boleh bagi aku makanan pun.

"Macam mana semalam? Kak Jena okey tak?" Ezzat masih lagi cuba mencari cara untuk aku berbual-bual dengannya.

Aku angguk, sekadar mematuhi syarat menjawab soalan. "Okey."

"Okey je?" ujar Ezzat tidak puas hati. Sesaat kemudian, dia bangun daripada kerusi yang didudukinya. Tubuhnya lantas menghilang dari pandangan mata ini.

Aku tergemap. Dia marah aku sekali lagi ke? Mata aku meliar mencari sosok tubuhnya. Aku bangkit dari kerusi dan berdiri termangu-mangu di dapur.

Betul ke Ezzat marah aku? Dia marahkan aku kerana aku bersikap seperti orang yang tidak matang. Aku juga dah salahkan dia macam-macam dan cuba nak hancurkan kafe dan kariernya. Sudah tentulah dia marah sungguh-sungguh pada aku, kan? Ah, bencinya aku pada overthinking!

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now