TSS 20

30 2 0
                                    

AKU terkocoh-kocoh mahu melangkah pulang namun langkah aku terus termati sewaktu mataku terpandangkan kelibat Ezzat yang menyinggah di hadapan wajah. Belum sempat aku nak buka pintu, tangannya terlebih dahulu menghalang pintu tersebut. Aku berpeluk tubuh sambil tayang wajah bosan.

"Nak apa?" Aku bertanya dingin. Kemudian, mataku meneroka sekeliling. Tak ramai sangat orang, maka itu bukan satu keperluan untuk aku risaukan. Aku mahu pulang awal sebab waktu kerja aku sudah habis.

"Nak balik dah ke?"

"Taklah, nak sambung kerja sampai tengah malam." Sinis jawapan yang aku beri sehingga mengundang tawa kecil di bibir lelaki itu. Hati aku terus mendongkol geram. Apa masalah dia sebenarnya?

"Ada orang panggil kau. Tengok sana tu!"

Mataku terus mengikut arah tangannya bergerak.

Seketika kemudian, aku kepal penumbuk kuat-kuat. Kosong dan tiada orang. Berani betul dia mainkan aku waktu sekarang. Sudahlah aku terkejar dek masa, dia pula dengan senang hati nak usik aku.

"Ke tepi sekarang! Aku nak balik." Tanpa menghiraukan panggilannya, aku terus meluru keluar.

Mujur sahaja dia tak halang langkah aku, menyebabkan nafas kelegaan terhembus dari bibir. Selaju yang mungkin aku menapak ke kereta. Aku mahu cepat sampai rumah kerana hati aku resah mengenangkan seseorang di rumah.

Beberapa minit aku memandu, akhirnya aku kini berdiri di hadapan pintu pagar. Tangan aku menggagau ke dalam beg tangan, menyelongkar segala isi di dalamnya. Mencari kunci yang hilang entah di mana.

"Kunci mana kunci? Aduh, gatalnya nyamuk gigit!" Aku berdecit perlahan sambil memikirkan sesuatu. Mungkin aku lupa bawa kunci rumah ataupun mungkin juga kunci aku tertinggal di kafe. Keadaan di luar pula semakin gelap menjadikan bulu romaku meremang sendiri.

Bunyi burung-burung yang terbang mahu pulang ke sarang juga tidak kurang membuatkan aku sedikit resah.

Berkali-kali aku goncangkan pagar tersebut namun masih lagi tiada orang menyedarinya. Aku semakin pasrah kerana tiada yang menyahut.

"Cik Ayu! Cik Ayu dengar tak?" Untuk kesekian kalinya, aku berbuat perkara yang sama. Namun tetap juga tiada sahutan dari dalam rumah. Aku rasa wanita itu mungkin sedang berada di dapur. Entahlah, aku betul-betul mengharap akan ada keajaiban yang berlaku kepadaku.

Nyamuk pula semakin rakus membenamkan gigitannya pada kulit jemariku.

Aku garu tangan aku dengan kasar kerana tidak tahan dengan serangan 'jahat' itu. Tak tahu berapa lama aku kena jadi patung di hadapan pagar. Nak buat macam mana, kunci aku dah lesap!

"Terpekik terlolong macam hantu. Nah!"

Aku tersentak kuat sehingga tangan mengurut dada perlahan.

Kus semangat!

Nasib baik aku masih boleh bernafas dengan aman. Sergahan itu memang satu tamparan yang menyentak sehingga ke jantung dan seluruh sistem badan.

Segera aku pusingkan badan ke belakang tanpa sebarang ragu.

"Eh... kunci aku!" Mata aku mengecil melihat segugus kunci yang ditayangkan di hadapan wajah. Aku mahu merampas kunci itu tetapi dari awal lagi dia dah melarikan tangannya ke belakang.

"Cari kunci, Ammara?" Dia tersengih penuh makna. Kunci itu kembali digoyang-goyangkan kepada aku dengan penuh minat. Sajalah tu nak tarik perhatian aku yang sememangnya sedang menahan api amarah.

"Bagi balik kunci tu, Ezzat!" Aku marah Ezzat yang cuma angkat bahu. Pun begitu, aku tak rasa pelik kerana aku dah tahu bahawa kami hidup dalam kawasan kejiranan yang sama. Entah bagaimana dia boleh menjejakkan kaki ke sini dan tahu kawasan rumah aku.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now