TSS 8

41 6 2
                                    

KAIN lap yang sudah dibilas dengan air dari singki, dipusing-pusingkan dan diperah kuat. Selesai, aku terus atur langkah ke arah meja besi yang menempatkan beberapa bahan-bahan yang sudah digunakan. Ada kotak susu yang kosong, aku buang di dalam tong sampah. Ada butir-butir habuk dari bekas adunan tepung, aku lap meja tersebut dengan cermat. 

Mengingati kejadian yang baru sahaja berlaku tadi, bibirku terus terlakar senyuman sinis. Cantik betul gadis yang tiba-tiba hadir itu. Wajahnya ayu dengan kepala berbalut tudung berwarna biru laut. Matanya bulat dan membundar tetapi aku dapat melihat sinar yang hadir dalam pupil itu semasa dia hendak berjumpa Ezzat. Entah-entah salah seorang koleksi dia.

Jika hendak dibandingkan dengan aku, agaknya bagaikan langit dengan bumi. Mujur sahaja gadis itu bukan seperti mana-mana wanita berpakaian 'seksa' yang biasa ditayangkan di dalam drama.

Harap dijauhkan dari aku kerana aku sangat anti spesies yang gedik persis ulat bulu. Ulat bulu pun lagi elok agaknya.

"Hai, maaf menganggu! Awak pekerja baru dekat sini?"

Kerja aku terus terhenti melihat gadis yang baru sahaja aku fikirkan tadi. Panjang umur dia. Dia berdiri di hadapan aku bersama senyuman manis yang tidak lekang di bibir.

"Ya, saya baru kerja dekat sini hari ini. Awak ni siapa ya?" Kain aku letak di atas meja sebelum seluar yang dilatari habuk aku tepuk sedikit agar dapat menghilangkan debu. Dah kebetulan aku nak tahu, apa salahnya aku terus tanya siapa gadis ini.

"Oh! Awak kenal tak Ezzat? Saya ni adik dia. Dah lama saya tak balik jenguk kafe. Dah datang sini, bolehlah tolong apa yang patut." jawabnya mesra. Dari tadi, senyumnya tak pernah pudar diukirkan, menyebabkan terhasilnya lekukan cantik di kedua belah pipinya. Ceria betul orangnya.

"Adik dia rupanya..." Aku berkata sendiri. Aku dah salah sangka tadi. Aku ingatkan gadis ini merupakan salah seorang kekasih Ezzat tak pun bakal isteri dia. Aku tepuk dahi.

"Ammara, kan? Nama saya Ezzara. Kalau ada apa-apa masalah, awak boleh panggil aje sementara saya masih ada dekat sini. Kalau abang saya ada buat hal ke apa, beritahu je saya. Tahulah saya nak ajar dia macam mana..." Ezzara ketawa kecil usai menghabiskan ayat.

Bagus juga dia ni. Kalau lelaki tu selalu buli aku, bolehlah aku roger Ezzara. Terasa lapang sahaja hati aku ini. Sekurang-kurangnya, tak adalah aku terseksa sangat menghadap muka dia selalu.

"Zara!" Pintu tiba-tiba sahaja terkuak. Berdentum bunyinya sehinggakan bahu aku ternaik sedikit kerana tersentak.

Langsung, dua pasang mata terus terarah pada sekujur tubuh tinggi yang kekal merenung kami. Atau mudah untuk aku katakan, pandangan Ezzat itu menghunus wajahku.

"Abang nak apa? Jangan kacau Zara la. Zara nak kenal-kenal dengan staf abang yang cantik ni. Kan, Ammara?" Ezzara pandang aku bersama sengihannya.

Aku telan liur. Lagi-lagi melihat pandangan Ezzat yang serupa nak telan aku. Ada pula karang dia cop aku makan gaji buta padahal adik dia yang terlebih mesra alam dekat sini. Kalau diikutkan, kerja aku dah siap bila Ezzara menjejakkan kaki ke sini jadi aku kira tak adalah makan gaji buta sangat pun.

Lainlah kalau Ezzat sengaja nak mencari pasal.

"Tak boleh, Zara. Kerja dia tak settle lagi tu buat apa ganggu dia? Zara keluarlah dulu, lagipun ada orang panggil tadi. Dia nak jumpa Zara," tutur Ezzat. Dia bersandar tenang pada pintu, memerhatikan adiknya yang sudah terkebil-kebil.

"Siapa dia? Tak boleh ke nak jumpa lain hari?" leter Ezzara. Dalam geramnya, dia tetap juga membuka langkah keluar dari ruangan tersebut, meninggalkan aku seorang diri di sini.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now