TSS 2

98 14 10
                                    

SURAM mata menatap suasana nan indah dari alam ciptaan Tuhan ini. Kardigan yang meleret dari bahu aku perkemaskan dan tarik rapat ke dada. Buaian angin sejuk kian menampar pipi. Dibawa bunyi pukulan gemersik ombak yang berdendang di halwa telinga. Rambut panjangku menari-nari di udara.

Jahat ke aku jika aku tak rasa bersyukur? Seakan aku menentang kehendak takdir dan dalam pada itu masih belum boleh menerima hakikat yang sebenar.

Apa yang aku nak sebenarnya dalam hidup aku?

Pekerjaan? Dah tak ada.

Kasih sayang? Jauh sekali hadir untuk aku.

Apa erti bersyukur yang sebenar kalau aku sendiri pun tak tahu?

Berdiam diri, membawa bersama rasa yang tersekat dalam lubuk jiwa. Tangan kananku merapat pada dada, sedang merasai setiap degupan jantung yang berlagu. Aku tak dapat merasakan melodi indah dalam setiap denyutan itu. Jujur, aku rasa...

Dada terasa perit dan sendat. Seolah-olah ada bekas tikaman di situ yang meninggalkan luka terpaling dalam.

Aku tak faham dengan diri sendiri. Kenapa aku jadi lemah macam ini? Apa yang mengganggu fikiranku?

"Aku kena kuat." Bibirku melontar pada bayu. Aku seharusnya mendengar pesanan Mallysa yang tak mahu aku stres. Pasti sahaja dia tak suka kalau tahu aku datang ke sini dengan rasa yang sarat menggunung.

Pandangan aku lemparkan pada sekeliling. Tidak, aku bukan pergi ke luar negara. Aku masih setia berpijak di bumi sendiri. Aku cuma pergi ke satu pantai yang pernah menjadi kegemaranku waktu kecil. Banyak memori lama menggamit diri, namun beberapa saat selepas itu membuatkan aku merengus.

"Kau datang sini untuk ubat hati tapi kau yang sakit sendiri, Ammara," bisikku. Harapnya tiada orang melihat aku di sini dan kalau boleh aku tak mahu ada satu pun bayang mereka. Nanti ada yang kata aku gila dengan muka merusuh begini. Bercakap sendiri bagai orang depresi.

Sejujurnya, aku agak takut untuk menghadapi realiti. Sedangkan kerja yang paling aku suka pun sudah ditarik, apatah lagi emosiku sendiri.

Aku... tak mahu mereka nampak aku sebagai seorang yang lemah.

Aku mahu... sentiasa menjadi kuat di akhirnya. Bukan untuk dipijak sesuka hati walaupun nyatanya, tak adalah orang pijak kepala aku sekarang.

Entahlah, sikap selalu berjaga-jaga yang merubah aku kepada paranoid. Jadi tak senang hati. Jika mata aku ada dua di hadapan dan dua di belakang, agaknya tak perlulah aku putar kepala bagai orang kehilangan sesuatu.

"Sayang... cuba tengok awan dekat atas sana."

Suara berdekatan aku datang menyapa telinga. Anak mata dapat menangkap dua batang tubuh yang berdiri tidak jauh dari buaian yang didudukiku. Kepala mereka terdongak ke atas, menatap kepulan awan yang berarak di udara.

Biarpun aku tahu keadaan sekarang sedang mendung, aku keraskan diri untuk duduk di sini. Selagi hujan belum menumpahkan tangisnya, aku takkan berganjak.

"Kenapa abi tanya pasal awan?" Kanak-kanak kecil yang aku anggarkan dalam usia tujuh tahun, menyoal. Tangannya menggenggam erat tangan si lelaki yang dipanggil abi.

"Sekarang tengah mendung. Tak lama lagi... hujan akan turun. Kalau hujan dah turun, itu tandanya bumi dibasahi dengan rezeki yang datangnya dari Tuhan. Kadangkala, orang macam kita tak pandai menghargai. Mereka selalu mengeluh tentang cuaca panas yang selalu berlaku di negara kita. Tapi, hujan rahmat itulah yang selalu membanjiri kawasan untuk sektor pertanian. Untuk tanaman semula jadi yang jadi sumber dalam kehidupan kita."

"Kalau menangis macam mana abi? Dikira hujan ke?" Kanak-kanak perempuan itu menyoal, polos. Sepertinya dia ingin tahu banyak lagi tentang pendapat abinya.

The Secret SakuraWhere stories live. Discover now