"Mana anak-anak? Sunyi aje," soal Dato' Rizal hairan apabila ruang rehat hanya ada isterinya, menonton TV sendirian. Selalunya waktu begini Qaisar dan Qayyum akan turut bersama.
"Kat luar, bang. Entah apa yang diorang duk bercerita, saya pun tak tau. Asyik gelak memanjang. Mungkin pasal anak dara orang kut. Anak-anak kita dah besar panjang kan, bang?" Datin Quella tersenyum di sisi suaminya. Spontan dipaut lengan lelaki itu.
Sambil itu dia panjangkan juga muka ke pintu gelongsor yang terbuka. Angin malam menyerbu masuk, menyamankan ruang itu. Dari tempat dia duduk, dia nampak Qayyum dan Qaisar duduk berdua di halaman luas rumah banglo dua tingkat itu.
Rumah banglo lama warisan bapa mertuanya yang mempunyai sekitar ruang yang luas. Dan ruang luas itu penuh dengan rumput hijau seperti karpet sebagaimana anak-anak bujangnya suka. Hanya sedikit bunga hiasan di halaman hadapan rumah sebagaimana dia suka.
"Yalah, sayang. Tak sangka masa berlalu cepat sangat. Abang rasa macam baru semalam kita tengah hangat bercinta." Ada tawa di hujung kata-kata Dato' Rizal. Dia kaut jemari tangan Datin Quella pada lengannya, dikucup romantis.
"Abang ni, ke situ pulak!" Manja saja Datin Quella menarik jemari tangannya. Segan-segan mahu.
"Kita dah tua, bang. Anak-anak pun dah besar panjang. Si Qayyum tu... dah layak beristeri pun. Dia bukannya muda lagi, dah 29 tahun. Qaisar pulak tak habis-habis nak mainkan perasaan budak perempuan. Tak taulah bila saya nak dapat menantu kalau gini gayanya, bang," adu Datin Quella, manja menjebik mulut.
"Ella, semua ni terletak pada jodoh. Insya-Allah, adalah jodoh diorang tu. Mungkin belum masanya. Sabarlah. Saya pun nak juga merasa ada menantu."
Datin Quella lepas keluhan. Sesekali dia panjangkan lagi leher, lihat halaman sebelah kanan banglo mereka. Dapat dilihat jelas kemesraan adik-beradik itu.
Apa sajalah yang dibualkan mereka?
🍓🍓🍓
"Betul ke abang dah ayat Arissa tu?" Qaisar macam tak percaya.
"Abang tak ayat, Qaisar. Abang luahkan perasaan abang," tegas Qayyum betulkan. "Beza tu!"
Qayyum bukan nak mainkan perasaan gadis itu, tapi dia serius dengan perhubungan ini. Dia ada niat untuk bawa hubungannya dengan Arissa jadi lebih jauh. Bukan nak mainkan Arissa sebagaimana Qaisar mainkan perasaan perempuan-perempuan yang dekati Qaisar.
"Are you sure? Nak jadikan dia kakak ipar Qaisar? Tak perlukan talian hayat?" Qaisar ketuk-ketuk bawah dagu dengan hujung jari.
Qayyum selamba jentik-jentik bawah dagu yang Qaisar ketuk-ketuk tadinya. Mengekek Qaisar sambil mengelak penderaan acah mak labu abang sendiri.
"Insya-Allah, kalau ada jodoh. Hubungan kami masih awal lagi, Qaisar. Abang tak berani jamin apa-apa," jawab Qayyum sudahnya.
Perjalanan masih jauh. Siapa tahu ada liku di hadapan. Yang Qayyum tahu, liku yang macam mana pun, kalau Arissa sanggup harung, dia berganda kali sanggup. Dia memang tersungkur dengan perasaan cinta buat gadis itu.
"Qaisar tak kisah, cuma..." Kata-kata Qaisar terhenti di situ. Sengaja mahu timbulkan tanda tanya di hati abangnya. Nyata dia berjaya.
"Cuma apa?" soal Qayyum cepat. Ingin tahu apa maksud sebenar Qaisar.
"Qaisar tak tau nak panggil dia Arissa atau Kak Rissa. Yalah, dia kan muda daripada Qaisar. Rasanya dia baru 26 kut. Qaisar ni dah 27."