BAB 20

4.6K 123 7
                                    

Encik Zul Adam perlahan-lahan turun dari anak-anak tangga. Kepala dipanjangkan ke ruang makan. Tiada tubuh yang dicari. Dihalakan pula ke ruang tamu. Juga tiada. Melepas keluhan kecil, langkahnya diatur mendapatkan bilik tidur tamu yang terletak di tingkat bawah. Perlahan-lahan tombol dipulas lalu dibuka. Dari tempatnya berdiri dia terus nampak isterinya yang sedang duduk di atas sejadah.

Puan Selina hentikan alunan bacaan al-Quran bila nampak suaminya berdiri di muka pintu bilik tidur tamu itu. Mata diangkat lalu menentang sepasang mata lelaki yang sudah 33 tahun menjadi suaminya.

"Ada nak apa-apa ke?" tanya Puan Selina senyum
tipis.

Encik Zul Adam masuk ke dalam bilik tidur tamu itu lalu letak punggung di birai katil queen yang ditempatkan di situ. Wajah isterinya ditenung. Raut itu masih kekal cantik pada pandangannya sampai kini. Walau kedut halus sudah mula nampak, namun wanita ini tak banyak berubah dari segi rupa.

Yang berbeza adalah sepasang mata itu. Setiap kali mata itu jatuh ke wajahnya, cinta yang sarat, sayang yang berat, hanya untuk dia, sudah tiada. Cahaya itu sudah terlalu kabur, tak nampak nyalanya. Hilang melebur begitu saja. Ditiup angin lalu, pergi bersama kenangan silam antara mereka.

"Kenapa tak jemaah dengan saya?" Encik Zul Adam senyum balik.

"Tak apalah. Saya yang lambat tadi. Awak ada nak apa?"

Soalan ulangan isterinya sentuh perasaan Encik Zul Adam. Nampak sangat isteri sendiri tak sudi dia berlama-lama di dalam bilik itu berdua.

"Sampai bila awak nak hukum saya macam ni?"

Puan Selina pandang Encik Zul Adam seketika. Suara yang naik sikit banding biasa. Tanda lelaki ini ada benda nak kata. Yang dia tak puas hati. Lagi.

Puan Selina tutup al-Quran dan letak di atas meja solek sebelum bangun sambil pegang sejadah. Telekung dan sejadah dilipat elok lalu disangkut pada kerusi meja solek.

"Siapa hukum siapa? Bukan ke awak yang jauhkan diri daripada saya? Bukan ke awak yang asingkan hati daripada saya? Bukan ke awak yang cuba-cuba nak nampak isteri yang dah tak ada dalam isteri yang ada ni?"

"Jangan nak menyindir saya, Lina. Awak yang tak dapat terima kenyataan sampai awak sanggup buang darah daging sendiri, tatang anak luar." Encik Zul Adam tunjuk tak suka. Pantang sungguh dia kalau ada yang sentuh pasal Suhailah, isteri keduanya.

Puan Selina senyum.

"Anak luar tulah yang paling dekat mukanya dengan awak. Pergi mana pun orang kata ikut muka awak. Berbintikan pun nama awak!" Ayat akhir itu dia tekan.

Masalah betul kalau bercakap dengan lelaki ini. Lelaki yang fahaman dia saja betul, fahaman orang semua salah. Cakap dia kena dengar, perlu ambil kisah. Cakap orang, dia tak pernah kisah. Suara dia perlu didengar, suara orang lain, jerit selantang nampak anak tekak pun dia pekakkan telinga saja. Dah tu, kalau katanya ditentang atau dibalas, mulalah nak mengata Zandra. Konon bukan darah daging. Dasar lelaki tak percaya hakikat dan kenyataan!

Puan Selina ketap bibir tahan rasa.

"Tak payah nak cerita benda tu. Tak penting pun!" Keras suara Encik Zul Adam.

"Ni apa pulak yang saya dengar pasal budak lelaki keluar masuk rumah kita? Jiran kiri kanan dah tanya saya, siapa. Kalau anak awak tu nak buat benda tak elok, tolong jangan dalam rumah saya!"

"Benda tak elok apa? Saya ada. Abang pun ada jugak. Jangan nak main cakap ikut sedap aje. Mulut ni kalau tak dijaga boleh jadi pedang paling tajam. Salah tala, diri sendiri pun boleh luka. Kalau tak pasti, diam je."

Encik Zul Adam ketap bibir. Berlawan kata dengan isterinya, ada masa dia boleh angkat bendera putih.
Namun, dia tak pernah mahu kalah kalau libatkan Zandra.

[𝓬] 𝐑𝐚𝐟𝐢𝐬𝐪𝐲'𝐬Where stories live. Discover now