Zandra tersenyum melihat gelagat pasangan suami isteri yang sudah mendirikan rumahtangga lebih 30 tahun itu, saling menyuap dessert yang tersedia di atas meja. Comel betul! Senyumannya jadi tawa apabila tengok papa dan mamanya bagi pandangan semacam kepada Zander dan Ameena yang sudah terkebil mata tengok mereka.
Hubungan papa dan mamanya kembali mesra. Sama seperti sebelum Puan Selina tahu suaminya menikahi Puan Suhailah, ibu kandungnya. Alhamdulillah, papanya sudah berubah. Ke arah lebih baik. Dalam menjaga dan menyayangi Puan Selina dan anak-anaknya. Termasuklah Zandra Aleesa.
"Amboi, seronok nampak gelakkan orang..."
Teguran itu alih perhatian Zandra daripada melihat kawasan di bawah khemah yang didirikan untuk jamuan sederhana lepas solat hajat. Malam ini Encik Zul Adam dan Puan Selina mengadakan majlis solat hajat untuk menyambut kelahiran cucu sulung mereka.
Zandra senyum tipis kepada lelaki yang sedang mendekatinya. Ini kali pertama dia lihat lelaki itu tanpa kot putih yang biasa dipakai bila jumpa di hospital selama hampir dua bulan ini.
"Hai, doktor."
"You ni, Leesa. I dah pakai baju kasual macam ni, you still panggil I doktor jugak." Fayyadh labuh punggung sebelah Zandra yang duduk di atas sofa, bawah garaj rumah Zandra.
"Sebab you doktor I, Fayyadh. It's a habit in me since I was a doctor before." Zandra menyeringai.
Aqil Fayyadh. Seorang doktor muda yang Zandra kenal semenjak dua bulan yang lalu. Lelaki itu bertugas di bahagian O&G di salah sebuah hospital swasta sakit puan. Doktor yang memantau keadaan dan kesihatannya selama ini.
Fayyadh senyum seraya tenung sisi wajah Zandra. Entah kenapa dia suka lihat Zandra yang selalu murah senyuman dan senang mesra itu. Zandra betul-betul buatkan dia kembali jatuh cinta. Wanita ini selalu manis di hatinya. Dan wanita ini mengingatkan dia pada seseorang yang dia pernah cinta.
Zandra berdehem. "Jangan selalu tengok I macam tu, Yadh. Macam you tengah jatuh cinta aje. I ni isteri orang tau."
Teguran Zandra sedarkan Fayyadh bahawa yang di sebelahnya ini, seseorang yang tak mungkin dia miliki. Fayyadh tersenyum kelat. " Sorry. Sebenarnya, tak... maksud I, I tak..."
"I tahu, Fayyadh. Renungan jatuh cinta you tu bukan untuk I, kan? Untuk seseorang... yang mungkin pernah buatkan you jatuh cinta?"
Fayyadh mengeluh perlahan kemudian angguk. Pandang Zandra lagi. "Ya, untuk seseorang yang I pernah cinta."
Zandra senyum nipis. Pandangan dihala ke depan. "What happened between you and her?"
Fayyadh mengeluh. "She's my first love. Tapi, I tinggalkan dia..."
Zandra diam seketika. "Why?"
"Family I tak restu." Fayyadh tersenyum lemah. Fayyadh raup muka dengan kedua-dua tangan.
"Fia kan... dalam hidup dia, dia dah banyak kali kena tinggal dengan orang-orang yang dia sayang. I tahu dan I buat benda yang sama. I tinggalkan dia..."
Fayyadh seka air mata yang hampir tumpah. Atas rasa bersalah dan rasa berdosa yang dia masih usung hingga saat ini. Fayyadh tak pernah rasa tenang dan senang. Gundah dan gusar selalu nak bermain dalam hati.
Zandra tarik nafas dan lepas. Apa saja yang hatinya rasa saat ini, dia diamkan. Entah mengapa, dia teringatkan Qaisarnya. Dia juga, tinggalkan lelaki itu. Lelaki yang sayangkan dia sepenuh hati. Tanpa sedar, air mata mula bergenang di birai mata.
"Kalau betul you nak tinggalkan dia, sepatutnya you jumpa dia depan muka dan cakap you nak tinggalkan dia. Bagi sebab kenapa. Don't leave her hanging like that. Biar dia tahu you tak nak dia supaya dia boleh cari orang lain yang boleh sayang dia dan takkan tinggalkan dia lagi," ujar Zandra dengan suara merendah. Sungguh, dia jatuh kesian pada gadis yang bernama Fia itu.